BAB 13

Horror & Thriller Completed 10493

Tujuan Farah mengikut rakan baiknya bekerja di Petaling Jaya semata-mata mahu menimba pengalaman sambil mencari wang saku sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Idea itu memang tidak disenangi ayahnya, apatah lagi bekerja di pusat beli belah yang jauh dari rumah.

Genap dua bulan, Farah mengalah dengan permintaan ayah dan kembali ke kampungnya. Memandangkan banyak lagi barang yang ditinggalkan di rumah sewanya, kakaknya Farihin bersetuju menemani mengambil barang-barangnya itu.

Mereka menaiki bas jam satu petang mengikut laluan lama dan tiba di Kuala Lumpur pada jam tujuh malam.

Resam orang muda, apabila sudah berjumpa kawan lama, sudah tidak ingat perkara utama. Farihin dan Farah dibawa rakan bersiar-siar hingga lupa mendapatkan tiket balik ke kampung.

Lebih malang lagi, semua tiket bas kehabisan dan yang ada hanya tiket bas untuk perjalanan esoknya pada jam 8 pagi. Rancangan pulang ke kampung malam itu juga, tinggal impian. Hendak tak hendak, terpaksalah mereka menginap semalaman di situ.

Kawan-kawan Farah mempelawa mereka bermalam di rumah sewa, tetapi Farihin menolak kerana kurang selesa tidur di atas lantai. Ditambah pula, keadaan kesihatannya yang mudah diserang selsema.

Farihin lebih rela menyewa bilik di sebuah rumah tumpangan di tengah bandar. Namun idea itu kurang dipersetujui Farah dan rakan-rakannya.

Entah mengapa, Farihin sendiri kurang periksa. Suasana suram menyambut kehadiran mereka. Rumah tumpangan yang disangka Farihin bangunan kedai, rupanya banglo lama dua tingkat yang dibina sejak zaman kolonial lagi.

Selepas berurusan dengan kaunter mendaftar masuk, hanya tinggal satu saja bilik yang masih kosong di tingkat atas banglo berkenaan. Satu-satunya bilik yang ada pun, nun di tingkat atas.

“Rezeki kami agaknya,” kata hati Farihin. Bukan saja sewanya hanya RM30 semalam tetapi ruangnya juga besar memuatkan dua katil bersaiz queen. Peliknya, sebaik saja memberitahu Ain dan rakan-rakannya mengenai bilik sewaannya di tingkat atas, air muka mereka terus berubah.

Masing-masing kelihatan cemas, pucat dan ketakutan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience