Bab 2

Romance Series 72549

SEORANG wanita tergeletak di tempat tidur. Badannya kurus dan berwajah cengkung. Idayu mendatangi wanita tersebut sambil membawa semangkuk bubur nasi. Setelah meletakkan mangkuk yang berisi bubur nasi itu di atas meja yang berada di samping katil, Idayu mengangkat tubuh wanita separuh usia itu dan menyandarkan badan wanita tersebut pada susunan bantal. Wanita yang lumpuh itu adalah Zaiton, ibu kepada Idayu.

Hampir dua tahun yang lalu, Zaiton telah mengalami kecelakaan di jalan raya. Kemalangan tersebut telah meragut nyawa ayah dan adik lelaki Idayu. Hanya ibunya sahaja yang terselamat daripada terkorban, namun mengalami kelumpuhan. Mujur sahaja ketika kemalangan itu berlaku, Idayu tidak bersama keluarganya. Jika tidak, entahlah bagaimana nasib mereka. Setidaknya, kini Idayu yang berperanan untuk menjaga dan merawat ibunya itu. Demi merawat ibunya yang lumpuh itu, Idayu tidak memilih pekerjaan. Dia sentiasa melakukan lebih daripada dua kerja setiap hari untuk mencari wang. Gadis itu bersyukur, sejak sebulan yang lalu, dia telah mendapat pekerjaan tetap sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat tekstil. Kini dia dapat meluangkan lebih masa untuk ibunya. Namun begitu, gadis itu masih juga melakukan pekerjaan sampingan yang lain demi mencari wang untuk rawatan ibunya.

Perlahan-lahan Idayu menyuakan sudu yang dicedok bubur nasi ke arah mulut ibunya. Walaupun tangan Zaiton masih mampu digerakkan, namun demi berbakti kepada orang tuanya itu, Idayu tetap memilih untuk menyuapkan makanan ke mulut ibunya. Selepas mengunyah dan menelan bubur nasi yang disuap oleh anaknya, Zaitan tersenyum memandang ke arah anak gadisnya itu.

"Ayu.. bila lagi kau nak kahwin? umur dah nak masuk 30 tahun.. kalau kau ada suami, senang sikit hidup kau.. takdelah terkejar ke sana sini, buat kerja cari duit.." Zaiton menegur anak gadisnya.

"Mak.. tak payah duk fikir la pasal Ayu kahwin ke tak.. sekarang ni Ayu nak mak sihat je dulu.. Ayu nak tengok, mak boleh berjalan semula.." Idayu membalas kata-kata ibunya.

"Mak ni dah tua Ayu.. hidup pun dah tak lama.. tak payah la kau fikir pasal mak sangat.. kau tu satu-satunya anak mak.. waris keluarga kita. Kalau kau tak kahwin, takde anak, nanti takde la keturunan kita." Zaiton meluahkan kegusaran yang melanda hatinya.

"Ish, mak ni.. ke situ pula.. nanti kalau ada jodoh, sampai masa.. Ayu kahwin la.."

"Hmm.. macam mana dengan Farhan? kau dengan dia dah lama berkawan.. dia pun baik orangnya.. doktor pula tu."

"Mak.. Ayu dengan Farhan tu kawan je.. kenal dari zaman sekolah lagi, tapi kami takde apa-apa.."

"Sebab dah lama berkawan la senang.. dah kenal hati budi dia macam mana.. dia pun banyak dah tolong kau dan rawat mak kat hospital.."

"Mak.. dah tugas dia sebagai doktor. memang la dia kena tolong rawat mak.. kebetulan Ayu kenal dia, senang la nak berhubung untuk dapatkan maklumat pasal sakit mak tu.. dah la mak.. tak payah la sebut pasal Farhan lagi.. Ayu dengan dia memang takde apa-apa.." Idayu cuba meningkah kata-kata ibunya. Dia tidak senang apabila ibunya cuba menjodohkan dia dengan kawan yang dikenalinya sejak zaman sekolah itu.

"Hmm.. dah tu, kau dah ada lelaki yang kau suka ke?" Zaiton ingin mengorek perasaan hati anak gadisnya.

"Takde la mak.. dah la..tak payah cakap pasal lelaki, pasal kahwin.. nanti sampai masa, ada la tu jodohnya.. sekarang mak makan je dulu.." Idayu menyuapkan bubur nasi ke mulut Ibunya. Zaiton menerima lagi suapan daripada anaknya. Setelah menelan nasi yang lembut itu melepasi kerongkongannya, Zaiton mengelus pipi Idayu dengan lembut.

"Mak kesiankan kau je Ayu.. nak kena kerja cari duit lagi.. nak kena jaga mak, rawat mak lagi.." Zaiton meluahkan rasa kasihan terhadap anak gadisnya.

"Pasal tu mak tak payah risau.. pandai la Ayu jaga diri Ayu macam mana.. Ayu masih mampu untuk berusaha.. Walau apa pun yang berlaku, Ayu tetap akan berusaha untuk jaga mak dan pulihkan semula kaki mak tu." Idayu tersenyum, lantas mencium pipi ibunya. Gadis itu kemudian meletakkan mangkuk yang berisi bubur nasi ke atas meja dan mencapai gelas yang mengandungi air putih. Gelas air itu diberikan kepada ibunya untuk diminum.

SUASANA di pasar kedengaran hingar bingar dengan laungan peniaga yang sedang mempromosikan jualan mereka. Suara di antara para peniaga berselang seli seolah mereka sedang bertanding suara yang paling kuat. Suara tawar menawar harga di antara pembeli dan peniaga turut sesekali menghiasi suasana. Di celah kerumunan orang ramai itu, Idayu yang berjalan, menghentikan pergerakannya di sebuah gerai sayur-sayuran. Beberapa jenis sayur dipilih dengan cermat oleh gadis tersebut.

Setelah selesai membuat pembayaran, Idayu beralih pula ke arah kawasan peniaga ikan. Tiba-tiba, seorang wanita separuh usia tergelincir dan rebah di sebelah Idayu. Gadis itu dengan pantas menghulurkan bantuan dan membantu wanita yang rebah tersebut untuk bangkit berdiri.

"Makcik tak apa-apa?" Idayu memapah wanita yang baru rebah itu.

"Ah, rasanya takde apa-apa.." Wanita itu tersenyum hambar sambil dahinya berkerut menahan rasa sakit setelah rebah. Idayu pula membantu mengambil plastik yang jatuh ke lantai. Plastik itu tadi dibimbit oleh wanita yang rebah tersebut.

"Hmm.. orang tua ni, nak bawa plastik macam tu pun dah tak larat.. sampai rebah.. buat malu je.." Wanita yang rebah sebentar tadi ketawa setelah mengutuk dirinya sendiri. Idayu pula tersenyum simpul.

"Ish, tak baik cakap macam tu.. saya tengok makcik ni gagah lagi.. nak buat macam mana kalau dah lantai licin.." Idayu tidak ingin merendahkan wanita yang berdiri disampingnya itu.

"Terima kasihlah dah tolong makcik." Wanita tersebut ingin mengambil kembali plastik yang dibawanya tadi dari tangan Idayu.

"Eh, takpe la makcik.. biar saya tolong bawakan.. makcik nak ke mana? kereta makcik ada parking kat mana?" Idayu cuba untuk terus berbuat baik dan menghulurkan bantuan kepada wanita yang seusia ibunya itu.

"Makcik datang dengan teksi.. nanti balik pun naik teksi. Biasanya kat depan pasar tu, selalu ada je teksi duk menunggu.. Haa.. nama makcik Khadijah.. panggil je Cik Jah.. yang cantik manis ni, nama apa?" Wanita itu memperkenalkan dirinya.

"Saya Idayu.. panggil Ayu je.." Idayu turut memperkenalkan diri dengan mempamerkan senyuman pada bibirnya.

"Ayu.. cantik namanya.. sesuai pula tu dengan orangnya.. muka pun ayu je.." Khadijah memberikan pujian kepada gadis yang membantunya itu. Idayu pula hanya terus tersenyum, tidak membalas kata-kata daripada wanita separuh usia itu.

"Haa.. jom ikut Cik Jah.." Khadijah mula melangkah sambil menuntun tangan Idayu.

"Eh, nak kemana pula Cik Jah?" Idayu hanya mengikut jejak langkah wanita tersebut sambil membimbit plastik kepunyaannya dan Khadijah bersama.

"Ikut Cik Jah ke kedai makan kat depan tu.. Cik Jah nak belanja sebab Ayu dah tolong Cik Jah.. sambil tu, boleh kita berbual dan kenal-kenal lagi." Khadijah menyatakan hasratnya. Idayu pula hanya menurut tanpa sebarang bantahan. Tidak jauh berjalan, mereka pun tiba di sebuah restoran yang berdekatan dengan pasar. Di sana, mereka semakin rancak berbual dan memperkenalkan latar belakang. Hidangan tomyam yang menjadi menu utama di restoran ala Thailand itu menjadi pilihan sebagai juadah mereka.

Sedang mereka makan dan berbual, tiba-tiba Khadijah mendiamkan diri. Dia mula menggaru-garu lengan mukanya. Tidak lama kemudian, lengan dan wajah Khadijah mula terlihat bintat-bintat kemerahan. Seluruh tubuhnya mula berbedan.

"Kenapa ni Cik Jah?" Idayu mula merasa aneh apabila melihat perubahan pada kulit Khadijah.

"Rasanya, kedai ni dah masukkan udang dalam tomyam ni.. Cik Jah alahan dengan udang.. padahal dah bagitahu tadi, tomyam ni taknak udang.."

"Kalau macam tu, kita kena pergi klinik.. tak boleh dibiarkan.." Idayu membalas. Gadis itu segera memanggil pekerja restoran dengan mengangkat tangannya. Apabila melihat Idayu yang mengangkat tangan, pekerja di sana segera mendekat.

"Ye kak?"

"Tomyam ni.. tadi kami order, taknak udang.." Idayu segera memberitahu.

"Kan takde udang tu.."

"Memang la dalam tomyam ni takde udang.. tapi ni mesti tukang masak masakkan sekali dengan hidangan orang lain kan? letak udang sekali dalam masakan.. kat sini takde isi udang, tapi air udang tu tetap ada.." Khadijah pula menjawab.

"Apa masalahnya? dah taknak udang, memang kami tak letak la udang.."

"Masalahnya, makcik ni alergik dengan udang.. awak faham tak? dah kalau orang order taknak udang, maknanya orang taknak la masakan tu bubuh udang.."  Idayu menguatkan sedikit suaranya. Gadis itu mula menjadi geram dengan sikap acuh tak acuh pekerja restoran tersebut.

"Lain kali cakap la awal, masak asing dengan pelanggan lain.. air udang pun tak boleh.. kalau setakat cakap taknak udang je, kami memang tak letak la udang.. tapi tukang masak akan masak sekaligus je.. kami pun kena kejar masa nak layan pelanggan yang lain.. takkan nak masak dua, tiga kali benda yang sama.." Pekerja tersebut masih tidak ingin mengalah dan tetap menyalahkan pelanggan. Idayu sudah hampir hilang kesabaran. Namun dia tidak ingin untuk terus bertekak. Kini, keadaan Khadijah yang perlu diutamakan. Bintat-bintat merah semakin banyak dan jelas timbul pada permukaan kulit wanita tersebut. Idayu segera membuat bayaran dan memapah Khadijah untuk keluar dari restoran.

Mujur sahaja kereta perodua axia milik Idayu di parkir tidak jauh dari situ. Gadis itu segera memasukkan Khadijah ke dalam keretanya dan dia tergesa-gesa memandu, menuju ke arah klinik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience