PENA di tangan Idayu bergerak laju membuat coretan di atas kertas. Gadis itu tekun menghasilkan rekaan corak pakaian terbaru setelah mendapat ilham. Idayu tidak pernah bosan dengan minatnya itu bahkan dia tidak meluputkan cita-citanya untuk menjadi seorang pereka fesyen walaupun jalannya ke arah tersebut masih terlihat kelam. Kini pandangan gadis itu masih terfokus ke arah kertas yang dicontengnya. Pena di jarinya masih menari laju.
Tidak lama kemudian, Idayu menghentikan pekerjaannya itu. Pen dilepaskan dari tangan dan diletakkan di atas meja. Sambil melihat ke arah hasil karyanya di kertas, wanita itu melepaskan satu hembusan panjang. Seraya itu juga dia tersenyum dan berpuas hati dengan hasil rekaannya. Matanya kemudian beralih melihat ke arah jam di dinding. Waktu sudah hampir menjengah ke tengah hari. Idayu segera menyusun helaian kertas yang berselerakan di atas meja dan dimasukkan ke dalam sebuah fail. Peralatan melukisnya turut dikemas dan di simpan ke dalam beg khas yang mengandungi pelbagai alatan melukis.
Selesai mengemas, Idayu segera menuju ke arah dapur dan meninggalkan fail yang mengandungi hasil rekaan pakaiannya di atas meja di ruang tamu. Dia perlu bergegas untuk memasak dan menyediakan makanan untuk makan tengah hari buat suaminya. Adam yang baru pulang dari hospital masih berehat dan tidur di dalam bilik. Idayu yang perlu menjaga suaminya itu memilih untuk menemani Adam di rumah lelaki tersebut memandangkan ibu mentuanya sudah pulang dari sana. Sedang wanita itu ralit memasak di dapur, Adam pula baru keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Belum sempat lelaki itu melabuhkan punggungnya di sofa, matanya terpandang ke arah fail yang ditinggalkan Idayu sebentar tadi. Adam langsung menempatkan punggungnya di sofa, seraya mencapai fail milik isterinya.
"Fail apa pula ni?" Adam tertanya-tanya mengenai fail tersebut. Dia baru ingin membuka fail di tangannya itu namun hajatnya tiba-tiba tergendala apabila telefon Idayu yang juga berada di atas meja di depannya itu berdering. Adam lantas meletakkan kembali fail di tangannya ke atas meja dan mencapai telefon bimbit milik isterinya. Tertera di layar telefon, suatu nombor yang tidak dikenali sedang membuat panggilan masuk. Adam terdiam sambil menatap layar skrin telefon.
"Adam, awak dah bangun rupanya.." Tiba-tiba Idayu muncul. Dia bergegas menuju ke ruang tamu setelah mendengar deringan daripada telefon bimbit miliknya. Wanita itu meneruskan langkah kakinya menuju ke arah Adam yang sedang memegang telefon miliknya. Tanpa sebarang bicara, Adam menghulurkan telefon tersebut kepada Idayu. Setelah mengambil telefonnya daripada Adam, Idayu mengerutkan dahi apabila melihat nombor yang tak dikenali sedang membuat panggilan kepadanya. Tanpa terus membuang masa, gadis itu cuba untuk menjawab panggilan tersebut.
"Hello.. siapa ni?" Idayu lantas menjawab. Dia kemudian terdiam sejenak, seakan fokus terhadap suara pemanggil yang menghubunginya. Setelah beberapa saat, Idayu segera mematikan panggilan yang diterimanya itu.
"Siapa call?" Adam bertanya. Dia sangat ingin tahu gerangan pemanggil yang telah menghubungi isterinya itu.
"Entah.. scammer bodoh mana yang nak kacau.. tiba-tiba mengaku pegawai polis dari bukit aman.. Kononnya IC saya ada ditemui kat tempat serbuan kes dadah. Padahal IC saya elok je ada dalam purse tu.. mana pernah hilang.. Kalau betul IC saya ada kat sana, kenapa nak tanya lagi berapa nombor IC saya.. baca je la kat IC yang ada kat dia tu.. Ingat saya bodoh ke? Lagipun kalau betul dia pegawai polis dan saya terlibat dalam kes jenayah, takdenya polis nak main call orang macam tu.. polis akan terus je datang rumah dan tangkap, bawa ke balai untuk siasatan.. tak pernah terjadi lagi polis call penjenayah. Takkan la polis nak call bagitahu, encik ada terlibat dalam kes jenayah.. tunggu kat rumah ye sebab nanti kami nak pergi tangkap.. jangan ke mana-mana tau.. nanti susah pula kami nak tangkap encik.." Idayu mula berleter dengan membuat memek muka yang melucukan semasa mengajuk percakapan yang dibuatnya. Adam langsung tertawa apabila melihat tingkah laku isterinya itu.
Menyedari Adam yang ketawa mendengar celotehnya, Idayu terdiam dan memandang ke arah lelaki tersebut. Tiba-tiba bibir wanita itu menguntumkan satu senyuman. Selama ini dia tidak pernah melihat Adam ketawa. Lelaki itu sentiasa berwajah tegang dan masam mencuka. Melihat suaminya itu ketawa, terjentik rasa bahagia di hati Idayu. Dia gembira kerana pertama kali melihat wajah ceria majikannya itu.
"Pandai jugak awak, tak layan scammer macam tu.. tapi entah berapa ramai dah yang terkena dan tertipu dengan scammer tak guna macam tu.. beratus juta dah duit orang mereka tu tipu.." Adam menghentikan tawanya.
"Itulah.. kasihan kat orang yang dah jadi mangsa puak scammer tu.. kebanyakan mereka adalah pesara dan orang tua.. orang tua ni, mereka mana la tahu pemanggil tu semua penipu.. bila di minta nama, nombor IC, akaun bank, mereka terus bagi sebab masa tu dah kelam-kabut dan cemas. Ye la, mereka dah di takutkan dan diugut jika mereka tu terlibat dalam kes jenayah sedangkan mereka selama ni berbuat baik je.. siapa tak cuak kalau orang call, bagitahu mereka tu polis dan menuduh kita sebagai penjenayah." Idayu membalas.
"Betul tu.. tak kira la siapa call.. polis atau mana-mana yang pihak berkuasa pun, mahkamah ke, kastam ke, lembaga hasil ke, jangan sesekali bagi maklumat peribadi kita seperti nama penuh, alamat, IC, akaun bank.. maklumat peribadi kita adalah rahsia dan jika diperlukan, hanya boleh diberi di pejabat je secara rasmi.. bukan melalui panggilan telefon." Adam menambah dan memberi sokongan kepada penyataan Idayu.
"Eh, lupa pula gulai kat atas dapur.." Idayu yang baru teringat dengan masakannya yang sedang dimasak di dapur segera meletakkan telefonnya ke atas meja dan bergegas menuju kembali ke arah dapur.
Adam tersenyum memerhatikan Idayu yang beransur menjauh darinya. Lelaki itu masih kekal diam di tempat duduknya. Seketika kemudian, dia mengalihkan pandangannya ke arah meja di depan. Fail milik Idayu kembali ditatap, lantas dicapai semula. Mata Adam terbuntang luas apabila melihat rekaan fesyen yang dilakarkan di dalam fail tersebut.
"Ini..." Adam terpegun apabila melihat tandatangan Idayu pada lembaran kertas yang dilakarkan rekaan corak fesyen tersebut. Lembaran kertas itu dikeluarkan dari fail. Adam semakin terkejut apabila mendapati masih terdapat beberapa helaian kertas lain yang turut mempunyai lakaran fesyen yang berbeza. Lelaki itu semakin teruja. Setiap daripada kertas yang mempunyai lakaran fesyen itu turut diletakkan tanda tangan milik Idayu. Itu membuktikan semua hasil lakaran tersebut dihasilkan oleh Idayu sendiri. Adam semakin asyik menatap hasil kerja isterinya itu satu persatu. Tidak lama kemudian, pandangannya berkalih ke arah ruang dapur walaupun kelibat Idayu tidak kelihatan.
'Ah, dia pernah bagitahu, sebelum ni dia menjual design rekaannya kepada syarikat ELBY.. maknanya memang betul la dia mampu hasilkan design..' Adam bermonolog dengan matanya yang terkebil-kebil. Adam kemudian memasukkan kembali semua kertas lukisan milik Idayu ke dalam fail. Fail tersebut diletakkannya kembali ke tempat asalnya, di atas meja.
Lama Adam termenung di sofa. Matanya asyik tertumpu ke arah fail milik Idayu. Tanpa dia sedari, Idayu kemudian muncul kembali di ruang tamu dan mendekati suaminya itu.
"Abang.. makanan tengah hari dah siap.. jom makan." Idayu menyapa Adam yang masih termenung. Mendengar suara isterinya, Adam mula tersedar dari lamunan.
"Abang?" Adam terasa aneh dengan panggilan daripada Idayu terhadapnya. Padahal selama ini Idayu hanya menggunakan panggilan tersebut hanya ketika mereka bersama ibunya sahaja. Sedangkan sekarang mereka hanya tinggal berdua di rumahnya itu.
"Kenapa? Tak boleh ke saya nak panggil Abang? Ke nak kena panggil Encik Adam?" Idayu bertanya untuk mendapatkan kepastian.
"Kan ibu takde sekarang.." Adam membalas.
"Hmm.. jadi depan ibu je la boleh panggil abang? Baiklah.. maafkan saya Encik Adam." Idayu sedikit tersinggung. Padahal dia sudah mengumpulkan keberanian untuk memanggil suaminya itu dengan panggilan yang lebih mesra, namun suaminya itu seakan tidak selesa dengan panggilan tersebut.
"Ada ke saya cakap tak boleh? Kitakan kat rumah.. bukan kat pejabat.. tak payah nak berencik-encik kat rumah." Adam lantas berdiri sambil menatap Idayu.
"Hmm.. tapi saya kan dah berhenti kerja.. saya dah hantar surat resign."
"Permohonan awak ditolak.. awak tak boleh berhenti." Adam membalas dengan tegas.
"Eh, saya bukan nak mohon cuti.. saya nak berhenti.."
"Saya dah cakap, awak tak boleh berhenti.."
"Boleh pula macam tu.." Idayu mencebikkan bibir.
"Saya nak awak terus bekerja.. tapi bukan sebagai pembantu saya dah.. saya nak awak tukar ke department lain.. Gaji awak akan dinaikkan, sesuai dengan jawatan awak selepas ni." Adam memberikan penegasan.
"Eh, tukar department? Habis tu, saya kena kerja kat mana?" Idayu terkejut mendengar ucapan majikannya itu.
"Awak berbakat dalam hasilkan design.. kenapa awak tak mohon jawatan sebagai designer lebih awal? Kenapa sebelum ni awak jadi kerani?" Adam ingin tahu. Matanya merenung tepat ke mata Idayu.
"Ah.. sa..saya.. saya.. jadi, awak dah tengok isi dalam fail saya tu?" Idayu tidak menjawab pertanyaan yang ditujukan. Dia sempat mengerlingkan hujung matanya ke arah fail yang berada di atas meja. Dia yakin Adam sudah melihat isi di dalam fail tersebut. Disebabkan itu Adam mula mempersoalkan mengenai kemampuannya dalam menghasilkan rekaan fesyen dengan tiba-tiba.
"Jawab dulu yang saya tanya.. kenapa awak tak mohon jawatan designer dari awal?" Adam mengulangi pertanyaannya.
"Saya.. sebenarnya saya tak layak nak mohon jawatan tu. Saya mana ada kelulusan dalam bidang design. Saya cuma minat melukis design fesyen dan ada impian nak jadi fashion designer.. tapi sebab takde kelulusan, saya terpaksa mohon je apa-apa jawatan, asalkan dapat tempatkan diri terlebih dahulu je kat syarikat yang terlibat dalam fesyen." Idayu cuba menjawab dengan jujur.
"Huh.. Tugas sebagai designer tak mementingkan kelulusan pun. Dalam iklan jawatan kosong, memang la diletakkan syarat untuk memiliki minimum diploma. Tapi itu bukan keutamaan.. Menjadi seorang designer, paling penting mempunyai minat dan kreatif. Sentiasa mengeluarkan idea-idea baru dan menarik, sesuai dengan kehendak pasaran semasa.. Kalau ada PhD sekalipun, kalau tak boleh hasilkan design yang bagus, takde gunanya.. Setidaknya tunjukkan portfolio dan hasil kerja awak selama ni sebagai contoh untuk membuktikan kemampuan awak.." Adam menegur kesilapan Idayu selama ini kerana merendahkan kemampuan diri sendiri hanya disebabkan oleh kekurangan dalam sijil akademik.
Idayu tergamam dan merasa terpukul dengan kata-kata Adam. Kata-kata lelaki itu ada benarnya. Selama ini Idayu terlalu merendahkan dirinya hanya disebabkan ketiadaan sekeping sijil kelulusan untuk mencapai cita-citanya. Wanita itu langsung tertunduk dan mula menyedari kesilapannya selama ini. Dia bahkan tidak berani untuk mencuba memohon jawatan yang dia impikan selama ini.
"Maknanya saya dah tersilap.. Saya dah buang masa selama ni hanya untuk masuk je dulu dalam syarikat fesyen. Saya ingatkan, bila dah masuk ke dalam syarikat, nanti akan lebih mudah untuk saya tunjukkan hasil design saya selama ni. Sebab tu saya berikan design saya sebelum ni kat Hafiz.. tapi dia menolak malah nak ambil kesempatan ke atas saya.. Padahal saya hanya minta tolong untuk dia serahkan design saya tu kat jabatan design je.." Idayu menceritakan semula detik bagaimana Hafiz mula ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya suatu ketika dahulu.
"Kenapa awak tak bagi kat saya je selama ni? Bahkan selepas dah kahwin pun, awak tak pernah bagitahu saya pasal ni." Adam meluahkan rasa kecewa.
"Itu.. saya.. sebenarnya.. saya tak nak nanti dianggap cuba ambil kesempatan.. kita kahwin pun hanya sebatas kontrak kerja je.. bukan jadi suami isteri betul-betul pun.. saya tak nak nanti dianggap sebagai perempuan murahan dan cuba ambil kesempatan mengejar impian saya dengan mendekati awak." Idayu terpaksa berterus terang. Dia tidak ingin berselindung apa pun lagi terhadap Adam.
"Tapi kita tetap dah kahwin betul-betul.. kita suami isteri yang sah.." Adam tersenyum seraya memegang kedua belah bahu Idayu. Mata mereka yang bertentangan membuatkan Idayu menjadi gugup serta merta.
"Maksud awak?"
"Panggil macam tadi.. apa yang awak panggil saya tadi?" Adam mendekatkan wajahnya ke arah muka Idayu.
"A..abang?" Idayu semakin gugup.
"Kekalkan panggilan macam tu.." Adam semakin melebarkan senyuman. Dia benar-benar merasa bahagia apabila dipanggil sebegitu oleh isterinya.
"Tapi... Kalau kat pejabat?"
"Terserah.."
"Tapi.. saya tak nak nanti orang tahu kalau kita dah kahwin.. nanti apa pula kata orang kat pejabat.." Idayu meluahkan kegusaran. Dia sejujurnya tidak ingin rakan-rakan di pejabat mengetahui hubungannya dengan Adam. Dia khawatir jika nanti dirinya akan dituduh sebagai perempuan murahan dan ingin menggoda majikan mereka.
"Kalau macam tu, kita teruskan jadi macam biasa kat pejabat.." Adam membalas. Idayu menelan liur. Dia mula merasakan Adam sudah berubah perilaku secara mendadak. Lelaki itu kini sangat rapat dengan dirinya malah bersuara dengan penuh romantis.
"Sayang.." Adam memejamkan mata dan semakin mendekatkan bibirnya ke arah wajah Idayu.
"A..Abang.. jom makan.. sejuk pula lauk tu.. dari tadi duk terhidang.." Idayu berundur ke belakang lantas membuka langkah menuju ke dapur. Dia tiba-tiba menjadi sangat gugup apabila melihat perubahan suaminya. Lelaki yang dingin selama ini secara mendadak berubah dan mendekati dirinya. Tanpa Idayu sedari, wajahnya sudah merona kemerahan. Adam pula mencelikkan kembali matanya setelah menyedari Idayu menjauhinya. Lelaki itu langsung tersenyum dan mula membuka langkah, membuntuti isterinya itu.
"Sayang.. ingat, nanti masuk kerja, tukar ke department design.. make your dreams come true." Adam sedikit melaung kepada Idayu yang berada di depannya.
Share this novel