SEORANG wanita separuh usia berjalan melepasi pintu gedung syarikat Kencana Tekstil. Wanita yang berkaca mata hitam itu terlihat anggun dan penuh bergaya walaupun sudah agak berusia malah langkah kakinya juga kelihatan gagah dan tersusun rapi. Pada masa yang sama, Idayu pula sedang berjalan beriringan bersama rakannya, Nadia. Mereka berencana untuk keluar dan makan bersama-sama ketika waktu rehat pada hari tersebut. Sambil berjalan, mereka turut berbual-bual dan bergelak ketawa.
"Sejak duduk kat department design, bukan main susah lagi nak jumpa dengan kau." Nadia merungut kepada Idayu.
"Nak buat macam mana... dah jabatan kita pun lain-lain dah sekarang.. sebab tu aku ajak kau keluar makan sama-sama hari ni.. dapat juga berbual dengan kau jarang-jarang.." Idayu membalas.
"Tercapai juga cita-cita kau nak jadi designer.. tapi aku pelik betul.. kenapa la kau selalu dapat tukar department, tukar jawatan? Padahal baru sebulan jadi kerani, lepas tu kena tukar jadi pembantu Encik Adam.. sekarang dapat jadi designer pula.. Ke kau ada apa-apa dengan Encik Adam?" Nadia meluahkan rasa curiganya.
"Eh, kau jangan nak mengarut la.. dia kan tak suka rapat dengan perempuan.." Idayu tiba-tiba menjadi kelam-kabut apabila ditanya mengenai hubungannya dengan Adam.
"Hmm.. ye tak ye jugak kan.. dia kan geng kunyit.." Nadia memperlahankan suaranya. Dia risau jika tuduhan yang dilemparkan kepada majikan mereka itu didengari oleh orang lain. Padahal itulah tomahan yang sering menjadi khabar angin dan buah mulut para pekerja di sana mengenai Adam. Lelaki kacak yang kaya dan berjaya itu sangat dingin terhadap wanita dan sukar sekali didekati.
"Mana ada.. dia bukan macam tu la.. Encik Adam sebenarnya trauma dengan perempuan.. tapi dia bukan minat dengan kaum sejenis.. tak baik kau cakap dia macam tu.." Idayu cuba menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap suaminya itu. Dia perlu menghentikan fitnah yang menjadi buah mulut orang ramai selama ini. Padahal suatu ketika dahulu, dia juga turut terpengaruh dan mempercayai fitnah tersebut sebelum dirinya berkahwin dengan Adam.
"Dia trauma dengan perempuan? Kenapa? Eh, nanti jap... Macam mana kau tahu dia tak macam tu? Macam mana kau tahu dia ada trauma dengan perempuan?" Nadia semakin pelik dengan Idayu. Rakannya itu bukan hanya mempertahankan Adam daripada di fitnah, malah wanita itu juga turut mengetahui kisah dan latar belakang majikan mereka.
"Ah, itu.. aku.. aku kan pernah jadi pembantu dia.. aku tahu la.." Idayu menelan liur dan teragak-agak untuk menjawab.
"Jadi pembantu je.. tapi macam mana kau tahu pasal kisah hidup dia? ke kau... memang ada apa-apa.. dengan dia?" Nadia membuat tebakan. Belum sempat Idayu menjawab, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Wanita itu lantas membuka tas tangannya dan mendapatkan telefon bimbitnya. Paparan skrin telefon menunjukkan nama Adam. Idayu menjadi cemas dan risau jika perbualannya di telefon akan ketahuan oleh Nadia.
"Nadia, kau tunggu aku kat depan.. aku nak jawab panggilan telefon jap.." Idayu bergegas meninggalkan Nadia dan menuju ke satu sudut yang jauh daripada orang. Nadia pula meneruskan langkah kakinya untuk keluar daripada gudang pejabat tersebut. Setelah memastikan tiada orang yang berdekatan dengannya, Idayu segera menjawab panggilan telefon daripada Adam.
"Hello.. ada apa?"
"Sayang nak keluar makan dengan Nadia.. kan tadi dah bagitau.. Hmm.. ye la.. abang nak kirim apa-apa tak? Nanti sayang belikan.." Idayu berbual di telefon. Setelah panggilan dimatikan, Idayu bergegas berjalan dengan laju sambil memasukkan kembali telefon bimbitnya ke dalam tas tangan. Dia perlu melajukan langkah kakinya agar Nadia tidak tertunggu lama menantikan dirinya. Dengan langkah kaki yang laju dan matanya pula fokus ke arah tas tangan yang digalas, Idayu yang berpapasan dengan seorang wanita dengan cuainya telah melanggar wanita tersebut. Akibat perlanggaran tersebut, wanita separuh usia itu telah rebah ke lantai dan Idayu juga hampir jatuh namun berjaya menstabilkan kembali tubuhnya.
"Maaf.. maafkan saya.. salah saya.. saya terlalu kelam-kabut.. saya tak sengaja." Idayu langsung meminta maaf sambil membongkokkan badannya dan cuba membantu wanita yang dilanggarnya itu berdiri kembali.
"Aduh... kat mana awak letak mata? Berjalan tak tengok depan ke?" Wanita separuh usia itu merungut setelah berdiri sambil menggosok punggungnya yang masih terasa sakit akibat terjatuh.
"Tolong maafkan saya.. saya betul-betul tak sengaja.. Puan tak apa-apa?" Idayu masih berasa kesal dengan tindakan terburu-burunya tadi sehingga melanggar orang lain. Beg yang berada di lantai turut dikutip oleh Idayu dan diberikan semula kepada wanita yang dilanggarnya sebentar tadi. Melihat ketulusan Idayu, wanita separuh usia itu mula tersenyum. Cermin mata hitamnya ditanggalkan dan pandangan matanya mula bertembung dengan mata Idayu.
"Ya sudahlah.. saya pun tak apa-apa.."
"Puan bukan pekerja di sini kan? Sini adalah pejabat urusan Kencana Tekstil.. kalau nak cari kain atau pakaian, gudang jualan kami sebelah sana.. atau Puan ada urusan apa datang ke pejabat?" Idayu cuba melayan dengan baik wanita yang terlihat asing di gudang pejabatnya itu.
"Hmm.. kat mana bilik CEO?"
"CEO? Puan ada janji temu dengan CEO ke?"
"Tak.. saya takde buat apa-apa janji temu.. tapi saya perlu jumpa CEO sekarang."
"Ke... puan nak laporkan kecuaian saya? Saya minta maaf.. tadi saya betul-betul tak sengaja.. tolong maafkan saya.. Jangan laporkan hal ni kat CEO.." Idayu dengan pantas membuat andaian.
"Eh, takde la.. takkan la benda macam tu pun saya nak kena bagitahu kat CEO.. lagipun saya tahu, awak tak sengaja.. benda macam tu, takde siapa yang minta nak jadi.." Wanita itu tertawa kecil setelah mendengar celoteh Idayu. Perempuan muda di hadapannya itu benar-benar bersikap ceroboh dan menggelikan hati.
"Kalau macam tu, jom ikut saya.. saya bawakan Puan ke bilik CEO.." Idayu cuba menawarkan diri untuk membawa dan menunjukkan arah.
"Ayu, nak kemana pulak tu?" Suara Nadia tiba-tiba kedengaran. Wanita itu yang menunggu Idayu di muka pintu melaung memanggil nama rakannya.
"Kejap.. Aku nak bawa Puan ni ke bilik Encik Adam jap.." Idayu langsung membalas dengan suara yang sedikit kuat.
"Kalau awak ada hal, pergi je la.. kesian kawan awak duk menunggu tu.. saya boleh pergi sendiri.." Wanita separuh usia itu berkata kepada Idayu.
"Eh, takpe.. biar saya bawakan Puan ke bilik CEO dulu." Idayu masih ingin memberikan budi.
"Jangan buat orang menunggu.. kesian dia.. awak pergi je la.. bagitahu je kat mana arah bilik CEO.. nanti saya pergi sendiri je.."
"Emm.. kalau macam tu, Puan pergi arah kanan.. depan tu ada lif. Naik tingkat lima... keluar dari lif, pergi arah kiri.. bilik CEO ada kat hujung sekali." Idayu memberikan arah petunjuk.
"Okey.. terima kasih." Wanita separuh usia itu tersenyum.
"Saya minta maaf sebab tak tolong bawakan sendiri Puan ke sana.." Idayu menundukkan sedikit kepalanya di hadapan wanita asing tersebut.
"Tak apa.. awak bagitahu kat mana bilik CEO pun dah cukup membantu.. pergilah cepat.. kesian kawan awak menunggu tu.. terima kasih atas bantuan awak."
"Sekali lagi saya minta maaf pasal kejadian tadi.." Idayu masih kesal dengan sikap cerobohnya sebentar tadi.
"Dah..takde apa la.. okey, jumpa lagi.." Wanita itu tersenyum dan langsung bergerak menuju ke arah yang ditunjukkan oleh Idayu kepadanya sebentar tadi. Melihat wanita itu mulai beredar, Idayu juga turut beransur pergi dan mendapatkan Nadia yang sedia menunggunya dari tadi.
Setelah keluar daripada lif ditingkat lima, wanita separuh usia itu terus bergerak mengikut arah yang diberitahu oleh Idayu kepadanya. Sampai di depan bilik Ketua Pegawai Eksekutif, wanita itu segera mengetuk pintu.
"Masuk.." Kedengaran suara Adam dari dalam bilik. Mendengar suara yang memberi kebenaran, wanita separuh usia itu segera memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik Adam. Langkah kakinya diatur perlahan-lahan menuju ke arah Adam yang sedang khusyuk menatap skrin komputer dimeja kerjanya. Mata wanita itu asyik menatap ke arah Adam yang masih leka dengan kerjanya.
"Adam.." Wanita itu mula bersuara untuk menyapa. Mendengar suara wanita tersebut, Adam segera menoleh dan melihat ke arah individu yang mendatanginya itu. Setelah merenung seketika, mata Adam tiba-tiba terbuntang luas. Dia benar-benar terkejut apabila menyedari wanita yang berdiri di hadapannya itu.
Share this novel