KAKI Idayu melangkah dengan penuh semangat, melepasi pintu gedung yang menjadi tempatnya bekerja. Pagi itu, Idayu sangat ceria dan senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya, setiap kali dia berpapasan dengan orang. Mungkin disebabkan dirinya sudah tidak perlu khawatir mengenai keadaan ibunya yang telah pun pulang dari hospital. Malah ibunya yang lumpuh itu kini dijaga dan ditemani oleh Mak Jah di rumah. Idayu yang dahulunya sentiasa kelam kabut diwaktu pagi kerana perlu menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum pergi kerja, kini semakin selesa dan ringan bebannya. Namun hari itu masih seperti biasa, dimana Idayu tetap bersendirian menuju ke syarikatnya bekerja. Dia sama sekali tidak ingin bersama Adam kerana ingin mengelakkan diri mereka dilihat bersama oleh rakan kerja yang lain.
Setelah tiba di ruangan kerjanya, Idayu berasa aneh apabila melihat beberapa orang yang merupakan rakan setugasnya sedang berkerumun di suatu sudut. Malah Idayu semakin penasaran apabila melihat pada wajah mereka yang masing-masing seakan gembira. Perlahan-lahan, kaki wanita itu diarahkan menuju ke kerumunan. Idayu tahu, di sana menempatkan papan notis yang menjadi tempat pengumuman dan penyebaran sebarang berita di pejabat. Dia yakin, pasti di papan tersebut sedang dipamerkan suatu berita yang menyenangkan, memandangkan rata-rata pekerja di sana menunjukkan reaksi teruja dan gembira.
"Kenapa ramai duk berkumpul ni? Ada berita apa sampai nampak gembira je semua orang? Pengumuman dapat bonus ke?" Idayu menyapa salah seorang rakan kerjanya.
"Ah, ada harapan nak dapat bonus.." Wanita di hadapan Idayu menjawab.
"Eh, banyak ke dapat bonus? Wah, ini dah bagus.." Idayu turut teruja.
"Sorang je yang akan dapat.. tapi semua orang ada peluang yang sama.." Wanita itu membalas.
"Aik, kenapa sorang je yang akan dapat?"
"Syarikat kita akan buat bekerjasama dengan ELBY untuk hasilkan design baju buat atlet dan petugas sukan negara untuk sukan Komanwel nanti.. Tahun depan kan negara kita akan jadi penganjur sukan Komanwel.. Selain tu, kita juga kena design baju yang akan dipakai oleh beberapa artis tanah air yang akan buat persembahan kat majlis perasmian Komanwel tu. Inilah masanya untuk kita tunjukkan kemampuan kita dimata dunia.. Syarikat kita dan ELBY yang dapat tender untuk hasilkan design tu semua.. Jadi syarikat akan adakan satu pertandingan untuk ciptakan design tu. Selain tu, Syarikat juga akan lantik siapa yang menang pertandingan tu nanti sebagai Ketua Jabatan Design dan dapat bonus tiga bulan gaji. Kita sekarang kan masih tiada ketua jabatan.. Bagus juga Encik Adam buat pertandingan macam ni.. bagi peluang sama rata kepada semua orang untuk naik pangkat.. takde la sistem jawatan tu di dominasi ikut senioriti.. Kalau senior, tapi tak reti buat kerja pun tak guna.. So, dengan pertadingan macam ni, orang yang akan jadi Ketua Jabatan nanti adalah orang yang betul-betul layak dan berkemampuan."
"Wah, betul ke? bagus la kalau macam tu.." Idayu turut teruja setelah mendengar perkhabaran yang diterimanya.
"Tapi jangan terlalu berharap.. bukan senang nak menang. Kat syarikat kita, selama ni, Nora je yang selalu dapat anugerah design terbaik. Susah nak bersaing dengan dia.. lagipun dia timbalan ketua jabatan." Seorang pekerja lain pula menyampuk.
"Hmm.. tapi pertandingan ni terbuka kepada semua kan? tak kira pangkat atau jawatan.. kiranya dah adil la.. tak kisah la pekerja baru ke, lama ke, semua dapat peluang yang sama.." Idayu membalas.
"Ya.. harap-harap boleh la salah seorang daripada kita yang akan menang nanti.. janganlah si Nora tu yang menang."
"Ish, tak baik cakap macam tu.. dia pun ada peluang yang sama.. kita sama-sama la hasilkan design yang terbaik dan bertanding secara adil."
"Okey..good luck semua.."
Setelah selesai berbual, mereka mula bersurai dan menuju ke meja kerja masing-masing. Setelah melabuhkan punggungnya di kerusi, Idayu termenung seketika. Wanita itu kemudian tersenyum sendiri. Dia tekad untuk menghasilkan rekaan yang terbaik dan memenangi pertandingan tersebut. Impiannya selama ini semakin kelihatan sinarnya. Idayu tidak ingin mensia-siakan peluang yang muncul. Inilah masanya untuk dia membuktikan kemampuan dirinya dan mencapai cita-cita untuk bergelar seorang pereka fesyen yang berjaya.
Tiba waktu tengah hari, Idayu menghentikan tugasnya. Badannya disandarkan pada kerusi sambil kepalanya tengadah memandang siling. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, menandakan adanya pesanan ringkas yang masuk. Wanita itu segera mencapai telefon dan melihat ke arah skrin. Satu mesej daripada Adam diterimanya. Idayu langsung membuka dan membaca pesanan daripada suaminya itu.
"Sayang, datang bilik abang sekarang."
Seraya itu juga Idayu tersenyum lalu jari jemarinya bergerak laju menaip di telefon untuk membalas mesej daripada suaminya itu.
"Encik Adam.. sekarang ni kita kat pejabat. Jangan duk bersayang-sayang sangat."
Mesej tersebut segera dihantar. Tidak lama kemudian, Idayu menerima satu lagi mesej balasan.
"Kat mesej je pun. Bukan orang lain tahu. Cepat la. Datang dengan segera."
Setelah membaca isi mesej yang diterimanya, Idayu langsung mengemaskan meja kerjanya. Tas tangannya dicapai dan wanita itu langsung bangkit berdiri dari kerusi, lantas membuka langkah kakinya untuk menuju ke bilik Adam.
Sesampainya Idayu di bilik Adam, dia langsung masuk ke dalam bilik. Adam pula terlihat sedang duduk di sofa sambil tersenyum ke arah isterinya itu. Sesaat itu juga Adam bangkit berdiri.
"Jom, ikut abang.." Adam bersuara sambil merapikan baju kot yang dikenakan pada badannya.
"Nak pergi mana pulak?" Idayu mula pelik.
"Ikut je la.. kita pergi lunch.." Adam terus tersenyum. Lelaki itu kemudian menarik tangan Idayu untuk mengikutinya keluar dari bilik. Idayu pula segera menepuk tangan suaminya itu agar pegangan tangannya dilepaskan. Dia tidak ingin jika kelakuan mereka itu dilihat oleh orang lain dan membongkarkan hubungan mereka berdua.
Share this novel