ADAM melangkah masuk ke dalam ruangan pejabat. Dia melewati beberapa meja pekerja yang berada di ruangan tersebut. Adam kemudian mencuri lihat ke arah Idayu dalam sekilas pandang. Gadis itu sedang tekun menghadap komputer di meja kerjanya. Adam melanjutkan gerakan kaki melangkah menuju ke arah biliknya. Tiba di bilik, Adam bersandar di kerusi empuk sambil mendongakkan kepala. Dalam sekejap masa, lelaki itu mula mengelamun. Kata-kata Ibunya yang memaksa untuk dirinya berkahwin dengan Idayu seakan terngiang-ngiang di telinga. Sejurus kemudian, bayangan wajah Idayu yang sedang memapah ibunya muncul dibenak. Adam semakin hanyut dibawa arus lamunan.
Tidak semena-mena, Adam teringat pula kejadian disaat dia merangkul tubuh Idayu untuk mengelakkan daripada gadis itu jatuh ke lantai setelah mereka berlanggar. Wajah Idayu yang merona kemerahan ketika itu terimbau kembali di ingatan Adam. Adam kemudian tersentak daripada lamunan. Sebuah nafas berat dihembus dari mulutnya. Lelaki itu kemudian memanggil setiausahanya. Beberapa saat kemudian, seorang lelaki yang berperanan sebagai setiausaha kepada Adam muncul.
"Shakir, panggilan Idayu untuk jumpa saya.. kerani yang baru kerja tu.." Adam memberikan tugasan. Setiausaha yang bernama Shakir itu langsung akur kepada arahan yang diberikan sambil menganggukkan kepala. Lelaki penurut itu segera keluar dari bilik Adam dan menemui Idayu. Beberapa minit kemudian, pintu bilik Adam diketuk dari luar. Idayu membuka pintu dan memunculkan dirinya di depan mata Adam.
"Ada apa Encik Adam nak jumpa saya?" Idayu segera bertanya.
"Mari sini.." Adam menguit jarinya, mengarahkan Idayu agar datang lebih dekat dengan mejanya. Idayu hanya menurut arahan yang diberikan.
"Duduk." Adam memberi perintah agar Idayu duduk di kerusi yang menghadap ke mejanya. Idayu tanpa sebarang bantahan langsung menurut dan melabuhkan punggungnya di kerusi yang menghadap ke arah majikannya itu. Idayu hanya mendiamkan diri sambil melihat ke arah Adam yang memandang ke arah sisi. Lelaki itu langsung tidak melihat ke arah Idayu yang sedang berhadapan dengannya.
Setelah beberapa minit berlalu, Adam masih tidak bersuara. Matanya juga tidak melihat ke arah Idayu. Gadis didepannya itu mula kebingungan. Entah kenapa majikannya memanggil dia ke sana namun langsung tidak memberikan apa-apa arahan kepadanya. Idayu menatap wajah Adam yang terlihat sedang resah. Gadis itu pula yang menjadi rimas. Disebabkan tidak ingin keadaan sunyi sebegitu terus berlarutan, Idayu segera membuka mulut.
"Encik Adam.. ada apa yang saya boleh bantu? Kenapa Encik Adam panggil saya ke sini?"
"Emm.." Adam hanya bergumam sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Lelaki itu bingung dan tidak tahu bagaimana untuk memulakan ucapan. Sejenak kemudian, pandangan Adam berkalih ke Idayu. Kedua belah sikunya di tongkat ke atas meja dan tangannya digenggam dengan jari kanan dan kiri diletakkan bersilang. Melihatkan pergerakan daripada Adam, Idayu mula memasang telinga dan memberikan fokus. Dia tidak ingin terlepas sepatah pun ayat yang akan dilontarkan oleh majikannya itu sebentar lagi.
"Ayu.. saya nak.. awak.. kahwin dengan saya.." Adam melafazkan ucapan sambil mengalihkan pandangannya ke samping. Idayu yang mendengar kata-kata majikannya itu segera terbeliak matanya. Mulutnya terlopong dek tergamam.
"Apa?! Kahwin?! Ap..apa maksud.. Encik Adam ni?" Idayu tanpa sengaja menguatkan suaranya. Gadis itu benar-benar terkejut dan tidak menduga permintaan daripada majikannya itu.
"Syyhh.. perlahankan suara awak.. jangan sampai orang lain dengar.." Adam meletakkan jari telunjuknya di bibir sebagai isyarat agar Idayu tidak membuat suara yang bising.
"Ta..tapi.. saya.." Idayu kebingungan.
"Hmm.. macam ni.. saya upah awak untuk jadi isteri saya, boleh?" Adam membuat penawaran. Dia sendiri bingung dengan tawaran yang baru dia berikan kepada Idayu. Adam merasakan dirinya seperti orang bodoh kerana ingin mengupah seorang perempuan untuk menjadi isterinya.
"Hah? Upah jadi isteri? Apa yang Encik Adam mengarut ni?" Idayu semakin bingung dengan permintaan majikannya itu.
"Okay, macam ni.. biar saya berterus terang.. saya perlukan seorang perempuan untuk jadi isteri saya dalam masa terdekat ni.. saya rasa awak orang yang sesuai untuk berlakon jadi isteri saya.. saya akan upah awak, tiga ribu sebulan untuk jadi isteri saya.. gaji awak sebagai pembantu tadbir kat syarikat ni pun akan tetap berjalan macam biasa.. macam mana?" Adam memberikan penerangan.
"Tapi.. mana ada orang upah untuk kahwin.. Ini kerja gila Encik Adam.. Ada ke nak kena berlakon jadi isteri.. baik kahwin betul je terus." Idayu meluahkan pemikirannya.
"Ya.. kita kahwin betul la.. tapi hanya sebagai kontrak." Adam menjawab. Idayu merasakan darahnya berderau setelah mendengar pengakuan Adam.
'Hmm.. ni mesti kes tak minat kat perempuan la ni.. sebab tu nak ajak kahwin kontrak.. nak berlakon depan orang, konon dia tu minat kat perempuan.. huh, dasar kunyit..' Getus hati Idayu.
"Tapi.. kenapa saya pula..? kan ramai lagi perempuan lain.." Idayu cuba berdalih. Dia sebenarnya tidak ingin bersekongkol untuk menjayakan rencana lelaki bernafsu songsang tersebut. Adam terdiam seketika. Dia menatap wajah Idayu dengan pandangan yang dalam.
"Sebab saya nak pilih awak.. apa masalahnya? baiklah, saya akan bagi awak hantaran 20 ribu.. dan elaun setiap bulan tiga ribu.. awak jadi isteri saya buat seketika je.. bila dah selesai semua urusan, kita berpisah.. nanti saya akan bagi pampasan lagi untuk perceraian. macam mana? Boleh awak tolong saya?"
"Tapi.. saya tak cintakan Encik Adam.." Idayu ingin berterus terang. Adam pula menepuk dahi mendengarkan pengakuan Idayu.
"Saya pun tak suka awak.. Walaupun kita kahwin betul, tapi kita cuma berlakon.. kita takkan tinggal bersama, dan takkan buat apa-apa.. saya cuma nak awak ada bersama saya je kalau saya nak kemana-mana dan perlukan awak untuk temankan.. Selain tu, kita buat je urusan masing-masing." Adam memberikan penjelasan. Idayu pula terbungkam. Gadis itu sepertinya sedang memikirkan tawaran yang sedang diberikan kepadanya.
'Kalau kahwin dengan mat kunyit ni, dia akan bagi wang hantaran 20 ribu.. elaun lagi setiap bulan.. tiga ribu.. lebih banyak dari gaji aku kerja kat sini.. nanti boleh la aku rawat kaki mak nanti..lagipun, dia bukan minat kat perempuan.. tak perlu tidur bersama, tak perlu tinggal bersama.. cuma temankan dia je kalau nak kemana-mana.. lepas bercerai, nanti dapat pampasan lagi.. hmm, tak rugi pun.. lagipun dia pun handsome..' Idayu bermonolog, memikirkan faedah yang dia akan dapat jika menerima tawaran Adam.
"Macam mana? Awak boleh tak jadi isteri saya?" Adam menginginkan jawapan daripada Idayu.
"Emm.. Baiklah.. Saya setuju." Idayu menyatakan keputusannya. Bagi Idayu, dirinya tidak akan rugi apa pun jika berkahwin dengan Adam. Mereka tidak akan bertindak sebagai suami isteri yang sebenar pun dalam perhubungan mereka nanti walaupun bakal menjadi pasangan yang sah. Malah lebih penting bagi gadis itu, dia dapat mengumpulkan wang dengan lebih cepat untuk merawat kaki ibunya yang sedang lumpuh. Padahal, Adam juga seorang lelaki yang mempunyai rupa paras dan penampilan yang menarik. Lelaki itu sememangnya menjadi kegilaan para wanita selama ini. Idayu tidak perlu merasa segan jika keluar berduaan dengan lelaki tersebut nanti. Fikir Idayu, orang ramai pasti tidak akan tahu mengenai lelaki yang akan menjadi suaminya itu nanti sebenarnya bernafsu songsang dan tidak menyukai perempuan.
"Ah.. Encik Adam.. macam mana dengan kenduri perkahwinan?" Idayu melontarkan pertanyaan.
"Tak payah.. tak perlu buat pun.. kita kahwin pun cuma olok-olok.."
"Tapi.. kita akan kahwin betul kan?" Ayu ingin mendapatkan pengesahan yang pasti.
"Ya.. kita memang akan kahwin betul.. tapi orang ramai tak perlu tahu.. tak perlu la kita nak umum, nak buat kenduri.. diam-diam je.." Adam memberi penegasan.
'Pelik betul mamat kunyit ni.. kata nak kahwin.. nak suruh berlakon depan orang.. tapi taknak orang tahu pasal perkahwinan.. apa yang dia nak sebenarnya? sewel agaknya dia ni.. lantak la.. janji aku dapat duit yang dia dah janjikan tu.' Bisik hati Idayu. Gadis itu merasa aneh dengan permintaan Adam yang dirasakan agak tidak masuk akal. Wajah lelaki itu direnung lama.
"Nanti saya akan maklumkan semula untuk kita pergi ke pejabat agama.. hmm.. macam mana dengan wali?" Adam bersuara sambil bertanya mengenai wali yang akan menikahkan Idayu nanti.
"Saya dah tiada wali mujbir.. ayah dan adik dah meninggal.. datuk dan bapa saudara pun takde.. terpaksa kena pakai wali hakim je la.." Idayu memberikan penjelasan.
"Hmm.. baiklah kalau macam tu.." Adam mengangguk faham. Urusan pernikahannya akan sedikit memakan masa untuk menguruskan wali hakim yang pastinya akan melibatkan urusan dengan mahkamah syariah. Namun, pada masa yang sama, Adam juga merasa lega kerana tidak perlu untuk berurusan secara langsung dengan keluarga Idayu. Jika wali kepada gadis itu masih ada, mereka tidak boleh mengetepikan kewujudan orang yang bertanggung jawab untuk menikahkan Idayu. Adam pasti terpaksa berhadapan dan menyatakan keinginannya untuk menikahi Idayu kepada keluarga gadis tersebut. Kini mereka hanya perlu memohon kepada Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah untuk pelantikan wali hakim bagi Idayu. Urusan tersebut tidaklah terlalu rumit, namun agak melecehkan dan mengambil sedikit masa. Kini Adam mula tersenyum. Kehendak ibunya nanti pasti akan ditunaikan. Dia tidak perlu lagi sakit kepala memikirkan desakan daripada ibunya untuk berkahwin. Mengikut perancangannya, nanti dia akan bercerai dengan Idayu dan memberikan alasan terdapat ketidak sefahaman antara dirinya dan Idayu kepada ibunya nanti. Dengan begitu, pasti ibunya itu tidak mampu lagi untuk terus mendesak.
Share this novel