Bab 13

Romance Series 72549

Di sebuah restoran mewah, Adam dan Fairuz terlihat sedang makan bersama. Hubungan mereka kelihatan mesra, mungkin kerana sangat jarang bertemu. Sesekali, Fairuz cuba memegang tangan Adam, namun lelaki tersebut segera menepis. Lelaki itu seolah kurang selesa untuk bersentuhan dengan Fairuz. Namun begitu, Adam tetap juga melayani Fairuz dengan baik. Sebagai teman dari bangku sekolah, Adam sama sekali tidak ingin menyakiti Fairuz. Namun bagi Fairuz pula, dia tidak pernah berputus asa untuk terus mendampingi lelaki tersebut. Dia tahu sikap Adam yang dingin terhadap perempuan, namun Fairuz tetap berusaha agar lelaki itu tertarik kepadanya. Sebagai teman lama dan satu-satunya wanita yang diterima oleh Adam untuk didekati, Fairuz yakin dia pasti akan berjaya memikat Adam suatu hari nanti. Sedang mereka makan sambil berbual, tiba-tiba telefon bimbit Adam berdering. Tanpa berlengah, lelaki itu segera menjawab panggilan yang diterima.

"Assalamualaikum Ibu.. ada apa call Adam masa ni?" Adam pantas bertanya setelah menerima panggilan daripada ibunya.

"Waalaikummussalam.. Adam sibuk ke? Ibu saja je call, nak tanya.. Adam duk buat apa? dah makan ke belum? Tak boleh ke?" Kedengaran suara Khadijah di sebalik corong telefon.

"Eh, kenapa pula tak boleh.. Adam tengah makan la ni.. baru je selesai.." Adam membalas.

"Hmm.. Adam makan dengan Ayu ke?" Khadijah bertanya lagi.

"Emm.. bukan.. Adam sekarang ni tengah makan dengan Fairuz."

"Fairuz? Fairuz mana? Kawan Adam masa sekolah dulu tu ke?"

"Ah.." Adam menjawab ringkas seraya mengiyakan pertanyaan ibunya.

"Laa.. dah tu, Ayu dah makan ke belum?"

"Mana la Adam tahu.. mungkin dah kot.."

"Ish, kamu ni Adam.. Ayu tu kan isteri kamu.. makan minum dia dah jadi tanggung jawab kamu.. itu nafkah yang kamu perlu tanggung ke atas diri dia. Mana boleh jawab tak tahu.." Khadijah lantas memberikan ceramah terhadap anak lelakinya berkenaan tanggung jawab. Adam pula menggaru kepala.

"Sekarang kan waktu rehat.. mesti dia dah makan la tu.."

"Jangan cakap macam tu.. sebagai suami, kamu kena uruskan pasal makan minum dia.. satu lagi, ibu tak suka Adam duk keluar dengan Fairuz tu.. Adam tu dah kahwin.. nanti apa pula kata Ayu? Orang sekeliling pun pasti akan mengata.. Jangan buat Ayu kecil hati dengan perbuatan kamu.. Fairuz tu pun, bukan macam orang lain.." Khadijah terus berleter. Adam mula mengerutkan dahi. Dia tahu ibunya tidak suka dia rapat dengan Fairuz. Namun Adam juga tidak ingin membuang Fairuz dengan mudah daripada hidupnya. Malah Adam sebenarnya terhutang budi dengan Fairuz yang sebelum ini sudah mengajar dan berkongsi pengetahuan kepada Adam mengenai urusan perniagaan. Temannya itulah yang menjadi pendorong dan penasihat Adam ketika lelaki itu baru ingin mula berjinak dalam dunia perniagaan suatu ketika dahulu.

"Takpe la bu.. Adam nak balik office dulu.. ada urusan pula sekejap lagi." Adam ingin menghindari bebelan ibunya dan ingin menamatkan perbualan mereka dengan secepat mungkin.

"Hah, itulah perangai kamu.. asal Ibu tegur sikit, mula la.. sibuk sana, sibuk sini.."

"Bukan macam tu Ibu.. Adam betul-betul kena balik office ni.. nanti lambat pula." Adam cuba memberikan alasan.

"Hmm.. ye lah.. Ah, ibu hampir lupa nak bagitahu.. nanti lusa, Adam bawa Ayu datang rumah Ibu.."

"Eh, kenapa pula? baru je beberapa hari lepas Ibu datang rumah Adam.. kan baru je jumpa.."

"Itu Ibu yang ke sana.. sekarang Ibu nak Adam bawa Ayu datang rumah Ibu.. takkan la dah kahwin, dia tak pernah kenal rumah mentua dia sendiri.. Dah, tak payah bagi alasan.. Lusa ibu nak Adam datang dengan Ayu.. Ibu akan masak sedap-sedap.." Khadijah menyampaikan keinginannya dengan penuh semangat. Adam pula terus menggarukan kepala sambil mengerutkan dahi.

"Emm.. baiklah.. nanti Adam bagitahu dia.." Adam membalas. Setelah menamatkan panggilan telefon, Adam lantas bangkit berdiri. Fairuz yang duduk berhadapan dengannya hanya memerhati.

"Awak dah nak pergi ke?" Fairuz bertanya.

"Ah, saya kena balik pejabat.. ada hal yang nak diselesaikan."

"Kalau macam tu, awak pergi la dulu.." Fairuz tersenyum. Wanita itu kemudian meneruskan ucapannya.

"Ah, rasanya ada barang saya tertinggal kat pejabat awak.. nanti saya pergi balik ke sana."

"Okay.. saya pergi dulu." Adam langsung membuka langkah kakinya dan meninggalkan Fairuz sendirian di sana. Setelah keluar dari restoran tersebut, Adam segera menuju ke keretanya. Enjin kereta dihidupkan dan Adam terus meluncurkan kenderaannya itu meninggalkan kawasan tersebut. Dia perlu kembali ke pejabatnya dengan segera.

Setibanya Adam dipejabat, lelaki tersebut langsung menuju ke arah biliknya. Kelihatan Idayu sedang duduk di meja kerjanya, di hadapan pintu bilik Adam. Tanpa banyak bicara, Adam mengajak Idayu untuk masuk ke dalam bilik bersamanya. Idayu yang penurut segera akur. Setelah mereka berdua berada di dalam bilik, Adam menatap wajah Idayu dengan pandangan yang dingin.

"Awak dah makan?" Adam memulakan perbualan. Idayu pula menggelengkan kepala tanpa bersuara untuk menjawab pertanyaan majikannya. Pandangan matanya pula terarah ke lantai.

"Kenapa tak makan? kan waktu rehat?" Adam tidak senang dengan jawapan Idayu yang hanya menggelengkan kepala. Lelaki itu menyambung lagi kata-katanya.

"Kalau perut tu masuk angin macam mana? Saya juga yang susah nanti.."

Mendengar kata-kata Adam, Idayu tersentak.

"Kenapa pula? Apa kaitan dengan Encik Adam?" Idayu mula bersuara.

"Awak tu isteri saya.. kalau jadi apa-apa kat awak, bukan ke saya akan susah sama?"

"Tapi.. kitakan.. cuma.."

"Apa pun, awak tetap isteri saya.. dah, jap lagi pergi makan.." Adam lantas meningkah kata-kata Idayu yang belum sempat di habiskan. Idayu terdiam. Dia benar-benar tidak faham dengan pemikiran majikannya itu.

"Hmm.. pasal tadi, saya minta maaf.." Adam memalingkan mukanya dibahagian sisi kanan. Idayu pula semakin tercengang. Lelaki di hadapannya itu dirasakan sangat aneh. Padahal tadi, majikannya itu terlihat marah dan menuduh Idayu sebagai pisau cukur. Namun sekarang suaminya itu meminta maaf pula secara tiba-tiba. Bagi Idayu, memang sepatutnya lelaki tersebut meminta maaf. Namun perubahan emosi secara mendadak yang ditunjukkan oleh Adam itu benar-benar membingungkan. Dia tidak tahu kenapa suaminya bertindak sedemikian.

"Bukan ke kita dah janji tak kan masuk campur urusan peribadi masing-masing?" Idayu ingin Adam mengingati perjanjian mereka.

"Iya.. saya minta maaf.. saya terlalu ikutkan emosi.. memang salah saya." Adam mengakui kesalahannya. Pandangan matanya lurus menatap lantai sambil kepalanya terangguk kecil. Terpamer rasa kesal pada wajah lelaki tersebut.

"Oh, ya.. tadi Ibu call.. dia minta kita pergi ke rumahnya lusa." Adam menyampaikan pesan daripada ibunya.

"Eh, kenapa pula? bukan ke baru je jumpa?" Idayu lantas bertanya.

"Mana la saya tahu.. Ibu yang nak awak pergi ke rumah dia.."

"Hmm.. baiklah.." Idayu menjawab perlahan sambil matanya merenung jauh. Mindanya seakan sedang memikirkan sesuatu. Sejenak kemudian, terdetik di hati Idayu.

'Emm.. patutlah datang minta maaf, nak berbaik dengan aku.. nak ajak pergi rumah ibu dia rupanya..'

"Awak pergilah makan.. jangan duk berlapar." Adam bersuara, memecah kesunyian antara mereka.

"Takpe.. nanti saya makan la.." Idayu membalas. Adam tiba-tiba memegang kedua belah tangan Idayu dan menatap tepat ke mata isterinya itu. Idayu yang tersentak bagaimanapun tidak bereaksi untuk menolak. Dia hanya mendiamkan diri kerana tergamam dengan tindakan Adam.

"Jangan duk berlapar, nanti perut masuk angin.. awak kena makan. Jangan buat saya risau." Adam bersuara lembut. Idayu terpempan. Tutur kata Adam terdengar penuh ikhlas dan sangat prihatin. Wanita itu langsung tidak menyangka, suaminya itu akan bersikap sedemikian. Di saat itu, lidah Idayu langsung menjadi kelu. Pandangan mata mereka yang saling bertaut itu membuatikan Idayu terpesona. Tatkala merasakan tangannya diramas lembut oleh Adam, jantung Idayu mula berdebar kencang.

Tanpa mereka sedari, di luar bilik Adam, Fairuz yang kembali ke sana untuk menemui Adam telah melihat kelakuan lelaki tersebut yang sedang memegang tangan Idayu. Wanita itu berdiri di luar bilik dan mengintip melalui cermin kaca. Pasangan yang sedang bertatapan mata dan berdua-duaan di dalam bilik itu telah menimbulkan rasa kurang senang di hati Fairuz. Wanita itu kemudian mendengus kencang, seraya berpaling badan dan berlalu dari situ.

Manakala, di dalam bilik pula, Adam mula melepaskan pegangan ke tangan Idayu. Kedua mereka kemudian saling menatap lantai dan tersipu malu. Bukan sahaja Idayu yang bingung dengan perlakuan Adam, bahkan Adam sendiri tidak menyangka dirinya akan bertindak sebegitu terhadap Idayu. Dia tidak tahu, entah kenapa dia sangat mengambil berat tentang pekerjanya itu.

"Kalau takde apa-apa, saya keluar dulu.." Idayu cuba meminta diri untuk beredar.

"Iya.. pergilah sambung kerja awak.." Adam membalas. Idayu kemudian segera berpaling punggung dan melangkahkan kakinya menuju ke arah pintu bilik. Adam masih setia menatap Idayu yang sedang berjalan untuk keluar dari bilik pejabatnya. Setelah Idayu keluar dan menutup pintu, Adam kembali ke tempat duduk di meja kerjanya. Telefon bimbitnya segera di capai dan dia membuat panggilan.

"Shakir.. tolong belikan makanan untuk lunch.." Adam menelefon setiausahanya.

"Lunch? nak saya belikan apa?" Kedengaran suara Shakir disebalik panggilan.

"Kau beli je la apa-apa pun.. asal boleh buat makan tengah hari ni.. nasi ke.. bungkus, dan beri kat Idayu." Adam memberikan arahan.

"Bagi kat Ayu? Kenapa pula?"

"Kau jangan banyak tanya boleh tak? Beli je makanan untuk Ayu makan. Dia belum makan apa-apa lagi.." Adam mengeraskan suaranya. Dia tidak suka arahannya di persoal.

"Baiklah..nanti saya belikan." Shakir akur.

"Jangan duk tunggu nanti.. sekarang! aku nak kau pergi beli sekarang!"

"Ya.. sekarang juga saya pergi." Shakir tidak berani melengahkan arahan majikannya. Panggilan telefon antara mereka kemudian dimatikan.

"Hmm.. kenapa aku ambil berat sangat pasal dia?" Adam tertanya-tanya dirinya sendiri. Dia mula bingung dengan tindakannya yang memikirkan keadaan Idayu. Lelaki itu kemudian menggelengkan kepalanya beberapa kali sebelum membuka fail di atas mejanya. Helaian dokumen di dalam fail tersebut dibelek dan dibaca satu persatu oleh Adam.

Di luar bilik, Idayu juga masih kebingungan. Dia masih terbayang-bayangkan tindakan Adam sebentar tadi terhadapnya. Fikirnya, tadi majikannya itu terlihat sangat romantik. Idayu tidak mampu menafikan, jiwanya mengalami getaran ketika Adam memegangan tangan dan menatap tepat ke matanya. Tiba-tiba, ingatannya kembali ke saat dimana dia mencium suaminya itu di depan ibu mentuanya. Mengingatkan kejadian tersebut, wajah Idayu mula merona kemerahan. Itu adalah ciuman pertamanya. Dia langsung tidak menyangka, ciuman pertamanya itu akan dilakukan bersama Adam. Padahal perkahwinan mereka hanyalah sekadar lakonan semata-mata. Namun demi menyelamatkan rahsia hubungan mereka, Idayu terpaksa bertindak memberikan ciuman kepada majikan yang menjadi suaminya itu.

Tidak lama kemudian, Fairuz muncul kembali dan mendekati Idayu. Melihat kehadiran Fairuz, Idayu mula menjadi tidak selesa. Dia benar-benar tidak suka melihat sosok wanita tersebut. Namun demi meraikan kedatangan tetamu tersebut, Idayu terpaksa melontarkan sebuah senyuman walaupun agak hambar.

"Ini cek, 30K.. kau ambil ni, dan jauhi Adam.. Aku nak kau berhenti kerja dari sini." Fairuz meletakkan sekeping cek di atas meja Idayu.

"Apa maksud awak? Saya perlukan kerja ni.. mana boleh saya berhenti.." Idayu menjawab.

"Aku taknak kau terus goda Adam.. dasar perempuan murahan. Kau ambil cek ni, kau berhenti kerja." Fairuz langsung mengutuk Idayu dengan merendah-rendahkan wanita tersebut. Idayu pula langsung merasakan darahnya mula naik ke kepala. Telinganya terasa panas setelah mendengar kata-kata wanita di depannya itu.

"Awak ingat 30 ribu ni cukup untuk tampung kehidupan saya?" Idayu membalas. Matanya mula menyorot tajam ke arah Fairuz yang berdiri di depan meja kerjanya.

"Oh, jadi 30 ribu ni tak cukup la ya? Okay.." Fairuz membuka tas tangan yang disandangnya. Wanita itu kemudian mengeluarkan sekeping lagi cek dan melemparkannya ke arah Idayu.

"Ini aku tambah lagi 30K.. jadi 60K.. Kau kerja kat sini empat, lima tahun pun takkan mampu kumpul duit sebanyak tu.. dan.. ini.. ambil lagi, 3ribu cash.." Fairuz menghulurkan beberapa keping duit not seratus ringgit kepada Idayu. Idayu pula tersenyum sinis. Dia tidak menghiraukan duit yang dihulurkan oleh Fairuz, malah gadis tersebut mengambil dua keping cek yang berada di atas mejanya. Idayu segera mengoyakkan dua keping cek tersebut. Helaian kertas yang dicarik itu kemudian di campakkan kembali ke arah Fairuz yang berdiri di depannya.

"Kau..!" Fairuz mula geram dengan tindakan Idayu.

"Maaf.. saya kat sini bekerja untuk Encik Adam.. Saya ada perjanjian dengan dia dan dah sign kontrak.. Awak simpan je la duit awak tu.. saya tak perlu pun.. saya cuma perlukan duit yang saya cari dan hasilkan sendiri melalui usaha saya.." Idayu membalas.

"Tak guna.. perempuan mata duitan.. aku tahu kau nak kikis duit Adam kan? Kau sengaja duk kat sini sebab kau nak goda dia.. Baik kau sedar diri dari awal.. Adam takkan tergoda dengan pujuk rayu kau tu." Fairuz membuat tuduhan.

"Kalau betul saya nak goda dia pun, apa salahnya? Kalau dia ajak tidur bersama pun saya sanggup.. asalkan saya buat kerja.. sebab tu saya tak harapkan duit percuma dari awak.." Idayu sengaja menyindir untuk menyakitkan hati lawannya. Dia sedar, tiada guna jika dia terus melawan kata-kata wanita di hadapannya itu. Di sebabkan itu, Idayu sengaja mengiyakan pertuduhan yang dibuat ke atasnya agar Fairuz kehilangan kata-kata untuk terus menyerangnya.

"Kau pasti akan menyesal.. Aku takkan biarkan kau goda Adam.. kau ingat! dasar perempuan murahan." Fairuz semakin geram. Idayu pula semakin geli hati. Dia tahu, rancangannya sudah membuahkan hasil. Sejurus itu juga Idayu mencebikkan bibirnya kepada Fairuz.

"Hmm.. ye la.. saya ni perempuan murahan.. kerja memang goda lelaki je.. Halang je la kalau awak mampu.. Jangan sampai saya mengandungkan anak Adam pula.." Idayu terus meniupkan api kemarahan ke dalam hati Fairuz.

"Dasar perempuan murah." Fairuz sudah kehabisan kata-kata. Dia kemudian segera berpaling badan dan meninggalkan Idayu dengan terburu-buru. Idayu semakin geli hati. Rancangannya berjaya di laksanakan. Gadis itu berhasil membuatkan Fairuz hilang kendali dan tidak mampu meneruskan hinaannya.

Setelah Fairuz hilang dari pandangan, Idayu tersenyum lebar. Dia sangat berpuas hati apabila berjaya menyakitkan hati wanita yang cuba menghinanya. Sejenak kemudian, Idayu mengalihkan pandangannya ke arah cermin kaca di di dinding. Dia melihat Adam sedang sibuk menatap komputer dan menguruskan kerjanya. Fikir Idayu, pasti Adam tidak menyedari kehadiran Fairuz di sana. Dia berharap, semoga Adam tidak tahu apa yang telah berlaku di antara dirinya dan Fairuz sebentar tadi.

Sejurus selepas itu, Shakir pula muncul dan mendatangi Idayu. Satu bungkusan plastik di letakkan oleh lelaki tersebut di atas meja Idayu.

"Apa ni?" Idayu ingin tahu.

"Ini makanan untuk awak.. Encik Adam yang suruh berikan makanan ni kat awak.. katanya awak tak makan lagi." Shakir segera menjawab. Idayu tercengang seketika.

"Baiklah.. terima kasih." Idayu tersenyum kepada Shakir. Lelaki itu turut membalas senyuman sebelum berpaling dan pergi dari sana. Idayu kembali mengintip Adam yang berada di dalam bilik melalui cermin di sampingnya. Wanita itu kemudian tersenyum sendirian.

'Tak sangka, dia betul-betul prihatin dan ambil berat pasal aku..' Idayu bermonolog di dalam hati. Dia semakin tertarik dengan sikap Adam. Di sebalik wajah dingin, lelaki itu sebenarnya mempunyai hati yang lembut. Idayu berkalih pula pandangan ke arah bungkusan makanan yang dibawakan oleh Shakir kepadanya. Idayu kemudian membuka bungkusan tersebut dan ingin menjamu selera dengan segera. Segala masalah yang melanda dirinya tadi kini sudah dilupakan. Dia hanya fokus kepada makanannya.

Share this novel

yue
2024-08-22 17:37:37 

tq update


NovelPlus Premium

The best ads free experience