KERETA BMW yang dipandu oleh Adam meninggalkan pekarangan hospital. Idayu yang berada di kerusi penumpang, sebelah lelaki tersebut tersenyum gembira. Dia tidak menyangka jika suaminya itu mengajaknya pergi ke hospital untuk mengaturkan janji temu dengan doktor bagi rawatan kaki ibunya. Ternyata Adam turut mengambil berat mengenai keadaan ibunya yang terlantar lumpuh selama ini. Walaupun baru mengenali ibu mentuanya, namun sikap prihatin dan bertanggung jawab jelas terlihat daripada tingkah laku lelaki tersebut. Bagi Idayu, dia sama sekali tidak ingin menyusahkan suaminya itu. Namun sikap yang ditunjukkan oleh Adam, semakin lama, semakin menambat hati. Idayu tidak dapat menafikan perasaannya sendiri. Walaupun pada awalnya mereka berkahwin hanya sekadar satu kontrak semata, kemudian Idayu cuba menerima Adam setelah kasihan dan menyedari tentang keadaan Adam yang tidak mampu berpisah dengannya, namun kini Idayu mulai sedar, hatinya sudah terpaut pada majikannya itu.
Seketika kemudian, mereka menyusuri sebatang jalan dengan pemandangan sebuah tasik disebelah kiri. Kawasan tasik itu pula terhias oleh pepohonan yang besar, menaungi jalan yang disediakan khas bagi pejalan kaki. Terlihat juga beberapa buah bangku dan wakaf yang dibangunkan disekitar kawasan tasik tersebut. Malah pelbagai jenis pokok bunga yang berwarna-warni turut ditanam, menghiasi pemandangan. Idayu terpesona. Pemandangan disekitar tasik tersebut kelihatan sangat mendamaikan.
"Cantik betul kawasan tasik ni.. kalau tengah sedih, kepala berserabut, memang elok kalau datang kat sini.. boleh healing.." Idayu meluahkan pendapat. Adam yang sedang memandu kereta tetap fokus pada pemanduannya.
"Nanti ada masa, kita pergi la kat sana.." Adam membalas sambil matanya terus menatap jalan raya di hadapannya.
"Eh, buat apa nak pergi sana? Abang tengah sedih ke? Ke ada masalah apa?" Idayu mengalihkan pandangan dan memandang tepat ke arah Adam yang duduk di sebelahnya.
"Takkan la nak tunggu ada masalah baru boleh pergi sana.. kawasan tu, ramai je orang sebelah petang.. orang duk jogging, beriadah.. kalau hari minggu lagi la ramai." Adam melirik pandangan mata buat seketika kepada isterinya. Lelaki itu kembali fokus kepada pemanduan setelah selesai berbicara.
"Hmm.. betul juga.. hari minggu ni kita pergi.. boleh?"
"Tengok la dulu macam mana.. kalau free boleh la."
"Eh, hari minggu pun busy ke?"
"Mana la tahu.. lagipun mak kan baru keluar hospital.. kita luangkan la masa dengan mak dulu. Abang pun baru nak kenal dengan mak."
"Emm.. betul jugak.. Jadi sekarang kita nak kemana?" Idayu bertanya lagi,
"Apa lagi, pergi lunch la.." Adam tersengih sambil matanya sempat mengerling sesaat ke arah isterinya.
"Jauhnya nak lunch.. kita nak pergi ke mana sebenarnya?"
"Adalah.. ikut je.." Adam masih enggan mendedahkan lokasi yang mereka sedang tujui. Lelaki itu tetap fokus pada pemanduannya. Idayu yang tidak mahu terus bertanya akhirnya mengunci mulutnya sambil menjuihkan bibir. Dia sedikit merajuk setelah melihat Adam yang acuh tak acuh menjawab pertanyaan.
Beberapa belas minit kemudian, Adam memperlahankan kenderaannya. Keretanya itu kemudian masuk ke petak parkir di hadapan sebuah restoran mewah. Setelah enjin kereta dimatikan, Adam dan Idayu segera keluar dari kereta. Mata Idayu sedikit terbuntang apabila melihat ke arah restoran mewah di hadapannya. Seumur hidupnya, dia sama sekali tidak pernah menjejakkan kakinya ke tempat mewah sebegitu. Wanita itu kemudian mengalihkan pandangannya kepada Adam sambil jarinya menunjukkan ke arah restoran di hadapan mereka.
"Kita nak makan kat sini?" Idayu bertanya. Adam hanya mengangkat keningnya sambil tersenyum tanpa menjawab pertanyaan isterinya itu. Lelaki itu kemudian mencapai tangan Idayu dan menuntut isterinya itu untuk berjalan bergandingan dengannya.
"Jom.." Adam mula melangkah menuju ke pintu masuk restoran sambil memimpin tangan Idayu. Idayu pula hanya menurut langkah kaki suaminya itu tanpa sebarang bantahan. Hatinya mula berbunga-bunga apabila Adam menolak pintu kaca restoran tersebut dan mempersilakan dirinya untuk masuk terlebih dahulu. Setelah pintu kaca itu ditutup, Adam kembali memimpin tangan Idayu dan membawa isterinya itu menuju ke arah meja makan di sana. Tiba di salah satu meja, Adam menghentikan langkah kakinya. Di meja tersebut, seorang wanita sudah sedia duduk di sana.
"Eh, Puan.." Terpacul dimulut Idayu setelah menyedari wanita yang sedang duduk di meja makan tersebut. Wanita itu adalah Maizura yang pernah ditemuinya beberapa hari yang lepas.
"Ah, Ayu.. kenalkan.. ini Dato' Seri Maizura.. pemilik syarikat ELBY.." Adam memperkenalkan Idayu kepada Maizura yang sedikit mendongak memandang ke arah mereka. Maizura langsung tersenyum setelah melihat kehadiran Adam dan Idayu di sana.
"Eh, maafkan saya Dato' Seri.." Idayu segera meminta maaf setelah menyedari kekhilafannya dalam memberi panggilan kepada tokoh wanita di hadapannya itu. Tangannya segera dihulur untuk bersalaman dengan Maizura. Tanpa berlengah, Maizura segera menyambut tangan yang dihulurkan oleh Idayu sambil terus tersenyum.
"Mama.. kenalkan.. ini isteri saya, Ayu.." Adam menarik satu kerusi dan mendorong Idayu untuk duduk disitu. Lelaki itu kemudian duduk dikerusi bersebelahan isterinya itu dan menghadap tepat dengan Maizura.
"Hah? Adam dah kahwin? Jadi... oh, awak rupanya.. hmm.." Maizura sedikit mencebikkan bibir setelah mengenali wajah Idayu. Idayu pula tertunduk, tersipu malu apabila mengingatkan kejadian perkenalannya dengan wanita. Dia agak kesal kerana pertemuan pertama kalinya dengan tokoh usahawan tersebut berlaku melalui cara yang tidak menyenangkan. Disebabkan sikap ceroboh dan terburu-burunya, dia tanpa sengaja telah melanggar Maizura. Pasti sahaja kejadian tersebut telah memberi pandangan yang tidak menyenangkan Maizura terhadap dirinya. Adam yang menyedari suasana disitu agak canggung, mula memainkan peranannya.
"Kita teruskan saja ke tujuan utama kita hari ni.. Mengenai projek usaha sama kita.."
"So, macam mana? Adam dah mulakan?" Maizura bertanya sambil memandang tepat ke arah Adam.
"Dah.. Tapi untuk design baju artis dan athlet tu, Adam buatkan pertandingan." Jawab Adam sambil tersenyum.
"Pertandingan?"
"Ya.. memandangkan syarikat kami sekarang tiada pengarah jabatan untuk design, Adam nak berikan peluang kepada pekerja paling berbakat untuk menjabat jawatan tu.. Siapa yang dapat hasilkan design terbaik, nanti akan diberi bonus dan peluang, promosi kenaikan pangkat untuk menjadi pengarah jabatan. Rasanya itulah cara paling adil untuk melantik pegawai yang berkemampuan.." Adam memberikan penjelasan.
"Oh, baguslah kalau macam tu.."
"Disebabkan tender tu sebenarnya diberikan kepada ELBY, dan Mama pula serahkan projek tu kepada Adam, nanti kami akan berikan hasilnya 50-50.. macam mana?"
"Hmm.. Mama tak kisah pun pasal tu.. lagipun, nanti Adam kata nak berikan bonus kepada pemenang tu kan? Jadi macam ni la.. Adam ambil 70.. bagi kat syarikat Mama 30 peratus je.." Maizura memberikan saran.
"Well.. kalau itu kemahuan mama, Adam ikutkan.." Adam membalas dengan senyuman.
"Sayang, ,tolong catatkan.. nanti sediakan kontrak antara Kencana Tekstil dan ELBY." Adam berkalih kepada Idayu di sebelahnya sambil memberikan arahan.
"Jadi Ayu ni setiausaha Adam?" Maizura ingin tahu setelah melihat Adam memberikan arahan kepada wanita yang dikatakan sebagai isterinya itu.
"Eh, bukanlah.. cuma Ayu ni pernah jadi pembantu peribadi Adam.. tapi sekarang dia dah jadi salah seorang designer kat Kencana Tekstil." Adam memberi penjelasan bagi menjawab pertanyaan Maizura.
"Pembantu peribadi? Oh, jadi sebab tu la hubungan dia dan Adam boleh jadi rapat? Ambil peluang untuk mendekatkan diri dengan majikan?" Maizura seakan tidak menyenangi Idayu. Baginya Idayu seperti seorang perempuan yang ingin mengejar kekayaan dengan cara yang mudah dan mendekati Adam demi kesenangan. Idayu yang mendengar ucapan Maizura itu langsung tersentap dan menggigit bibir. Dia benar-benar geram dengan wanita separuh usia tersebut. Demi menghormati wanita dihadapannya dan Adam yang sedang bersamanya, Idayu terpaksa menahan diri dari membalas penghinaan yang dilemparkan terhadapnya. Padahal Idayu sama sekali tidak ingin dirinya dikatakan seorang perempuan materialistik. Bahkan pernikahannya dengan Adam juga bukanlah keinginannya sendiri melainkan permintaan daripada Adam.
"Mama, jangan tuduh Ayu macam tu! Ayu bukan perempuan murahan. Bahkan kami menikah pun atas keinginan Ibu Adam sendiri.. Ibu yang nak Adam kahwin dengan Ayu.. Dan Ayu jadi pembantu Adam pun selepas kami dah nikah!" Adam menghentak meja. Lelaki itu kemudian terus berdiri dan mencapai tangan Idayu. Tangan isterinya itu terus ditarik untuk mendorong Idayu turut berdiri bersamanya.
"Adam boleh maafkan mama dan terima mama kembali selepas apa yang dah terjadi selama ni sebab Adam hormatkan mama sebagai orang yang lebih tua dan mengenangkan hubungan kita sebelum ni.. tapi kalau mama tak boleh nak menghormati isteri Adam, Adam rasa cukuplah pertemuan kita setakat ni. Kerjasama kita pun dibatalkan! Ayu, jom pergi!" Adam mengeraskan suaranya sambil mengajak Idayu untuk meninggalkan tempat tersebut.
"Tunggu! Adam.. maafkan mama.. mama tak sengaja cakap macam tu tadi.. tolong maafkan mama.." Maizura segera meminta maaf dan ingin memujuk mantan calon menantunya itu. Seraya itu juga Adam mendengus kencang. Tangannya dikepal dengan kuat sambil menahan emosi. Adam benar-benar tidak betah untuk membiarkan isterinya terus di rendahkan. Idayu yang terdiam sejak dari tadi hanya terpaku pandangannya kepada Adam. Wajah Adam merona kemerahan kerana menahan marah. Walaupun melihat Adam yang sedang beremosi, namun Idayu semakin kagum dengan suaminya itu. Wanita itu berasa dilindungi dan terharu dengan Adam yang telah mempertahankan maruahnya. Tangan wanita itu perlahan-lahan merangkul lengan Adam. Terdetik rasa bahagia dihati Idayu. Fikirnya, mungkin begitulah rasanya dicintai dan disayangi oleh seorang lelaki.
"Mama.. Adam boleh bersabar kalau mama nak hina Adam, malukan Adam, jatuhkan Adam.. Tapi Adam takkan diam walau siapa pun yang cuba merendahkan isteri Adam.. bahkan Mama sendiri pun, jangan salahkan Adam kalau Adam bersikap kurang ajar." Adam memberikan amaran sambil menuding jari ke arah Maizura. Maizura tergamam. Selama ini dia sama sekali tidak pernah melihat Adam berkelakuan kasar sebegitu. Dia mula gusar. Namun dia tahu dirinya yang bersalah. Walaupun kelakuan Adam terlihat biadap, namun semua itu berpunca daripadanya sendiri. Bahkan dia tidak menyangka Adam akan mempertahankan isterinya itu sehingga sebegitu.
"Maaf.. Maafkan mama.. mama tahu mama yang salah.. mama tak patut kata macam tu kat Ayu.. sebenarnya Mama masih kesal sebab Adam berkahwin dengan orang lain.. Mama dah anggap Adam macam menantu Mama.. anak mama sendiri.." Maizura mengakui kesalahannya.
"Kesal? Mama kesal sebab Adam tak jadi menantu mama? Mama sedar tak? Padahal dulu Mama yang buang Adam dan putuskan pertunangan Adam dengan Lia.. Sekarang mama kata mama kesal? Adam membentak. Dia tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh Maizura. Mendengar kata-kata Adam itu, Maizura langsung menjatuhkan pandangan wajahnya. Air matanya mula tumpah dan membasahi pipi sambil badannya bergoncang menahan sedu sedan.
"Iya.. memang mama yang salah.. tolong maafkan mama.. mama janji takkan buat macam tu lagi."
"Mama tak perlu minta maaf kat Adam.. Mama sepatutnya minta maaf kat Ayu.." Adam masih mengeraskan suaranya.
"Ayu.. mama minta maaf.. tolong maafkan mama.." Maizura segera berkalih pandang ke arah Idayu yang sedang merangkul lengan suaminya. Melihatkan air mata yang bercucuran membasahi pipi wanita berusia itu, hati Idayu mula terusik. Dia tidak tegar untuk terus melihat seorang wanita yang berusia seperti ibunya itu menangis, apatah lagi mereka sekarang berada di dalam restoran yang dikunjungi oleh ramai orang. Malah sikap kasar yang ditunjukkan oleh Adam terhadap Maizura mula dirasakan keterlaluan oleh Idayu. Hati wanita itu terlalu lembut untuk terus menanamkan dendam. Idayu mula mengasihani Maizura. Namun wanita itu menjadi ragu-ragu untuk mengeluarkan kata. Maizura yang dikenali sebagai Dato' Seri itu sebentar tadi tiba-tiba membahasakan dirinya sebagai mama sebagaimana wanita itu berucap kepada Adam. Idayu baru sahaja ingin membalas panggilan yang sama kepada Maizura namun segera menyedari situasi hubungan diantara mereka.
"Abang.. cukuplah.. maafkanlah dia.." Idayu berbisik ke telinga Adam. Wanita itu kemudian mengalihkan pandangan kepada Maizura kembali.
"Sudahlah Dato' Seri.. tak perlu dipanjangkan lagi hal ni.. saya tak simpan dalam hati pun kata-kata Dato' Seri tadi. Kalau ada salah silap Dato' Seri tadi, saya maafkan.."
"Tolong,, maafkan mama.. Mama dah tiada sesiapa selain Adam.. Maafkan mama Adam.. maafkan mama Ayu.." Maizura segera bangkit berdiri dan memegang lengan Idayu yang sedang merangkul tangan Adam. Lengan Idayu itu ditarik dan rangkulan terhadap Adam pun dileraikan. Maizura memegang tangan Idayu dengan erat sambil menggoncangkan tangannya.
"Ya, sudahlah.. kalau Ayu maafkan, Adam pun takkan panjangkan hal ni.." Adam terpaksa mengalah memandangkan isterinya sudah pun memaafkan Maizura.
"Terima kasih Adam.. terima kasih Ayu.. Mama minta maaf.. mama janji takkan cakap macam tu lagi." Maizura kelihatan benar-benar kesal dengan ucapannya tadi. Tindakan Adam sebentar tadi sungguh telah menyentak hati dan membuka matanya. Maizura tidak sanggup jika Adam terus membencinya. Baginya, cukuplah Adam menyimpan dendam kepadanya selama berbelas tahun selama ini. Adam yang menatap wajah Maizura pula kemudiannya mengalih pandangan kepada Idayu. Tubuh wanita disebelahnya itu dirangkul erat. Adam tekad, dia sama sekali tidak akan membiarkan isterinya itu disakiti atau pun direndahkan oleh sesiapa sahaja. Cukuplah isterinya itu menderita selama ini demi menjaga ibunya yang lumpuh. Adam berazam akan terus menjaga dan membahagia Idayu semampunya. Pada masa yang sama, Idayu turut merasa bahagia. Adam benar-benar seorang suami yang dapat diandalkan. Sifat pelindungan yang ditunjukkan oleh Adam benar-benar menambat hati Idayu. Walaupun selama ini Adam terkenal dengan sikap dingin terhadap wanita, namun dia langsung tidak menyangka, majikannya itu sebenarnya memiliki hati yang penyayang dan prihatin. Tiba-tiba Idayu teringatkan kejadian disaat Adam jatuh sakit setelah ditinggalkan. Sangat jelas, lelaki itu sebenarnya memiliki cinta yang sangat besar kepada seorang wanita. Cinta yang sangat besar itulah yang ingin lelaki itu pertahankan. Disebabkan itu, Adam tidak mampu bertahan jika cinta yang dipegangnya itu terlepas. Lelaki sebegitu, sangat sukar untuk memberikan cintanya, Namun jika dia sudah jatuh cinta, seluruh jiwa raganya ditumpahkan kepada wanita kesayangannya.
Share this novel