SEMINGGU Berlalu. Para pekerja yang menyertai pertandingan rekaan fesyen semakin gemuruh dan tidak sabar untuk menantikan pengumuman pemenang. Setiap daripada mereka sangat berharap akan diumumkan sebagai pemenang dan mendapatkan hadiah berupa bonus dan kenaikan pangkat. Masing-masing sudah tidak sabar untuk menunggu kehadiran keputusan. Setelah kemunculan Shakir yang menjaadi wakil kepada Ketua Pegawai Eksekutif, semua orang mula tersenyum dan berwajah ceria. Sambil tersenyum, Shakir membuka fail yang berada di tangannya.
"Nampaknya, semua orang dah tak sabar nak tahu siapa pemenangnya.." Shakir memulakan ucapan. Setiap orang yang berada disana mula berdebar dan berharap agar nama mereka terpacul keluar dari mulut setiausaha Ketua Pegawai Eksekutif tersebut.
"Disebabkan pemenang hanya seorang.. mungkin ramai yang akan kecewa. Jadi disebabkan itu, Encik Adam mengambil keputusan, selain pemenang utama, CEO juga telah memilih tiga design terbaik yang lain untuk diberikan bonus." Shakir terus berucap. Lelaki itu kemudian melanjutkan lagi kata-katanya bagi mengumumkan pemenang pertandingan.
"Tiga karya terpilih itu adalah Hanis, Adila dan Nora.. manakala pemenang utama pula, yang akan menjawat sebagai ketua jabatan selepas ini ialah.. Idayu.. Tahniah diucapkan kepada pemenang, dan terima kasih di atas penyertaan semua orang. Idayu, nanti boleh pergi ke pejabat CEO untuk dapatkan penghargaan dan surat pelantikan sebagai ketua jabatan."
"Wah, tahniah Ayu.. aku dah cakap, kau memang boleh menang!" Hanis gembira sambil memegang tangan Idayu.
"Terima kasih Hanis.. tapi design kau pun terpilih juga kan.. Tahniah juga untuk kau.." Idayu turut gembira dengan keputusan yang telah diumumkan. Seketika kemudian, Shakir merapati Idayu.
"Puan Ayu.. Encik Adam pesan, supaya puan pergi ke pejabat dia sebelum tengah hari.." Shakir menyampaikan pesan. Lelaki itu kemudian langsung berpaling dan meninggalkan kawasan tersebut.
"Puan? Encik Shakir panggil kau Puan Ayu? Padahal dia lagi tua kot.. kenapa tak panggil Cik je.. Ke kau dah kahwin ke Ayu?" Hanis berasa pelik dengan panggilan yang diberikan oleh Shakir kepada Idayu.
"Aa.. ahh.. aku sebenarnya dah kahwin.." Ayu tersengih.
"Hah, kau masih muda macam ni dah kahwin? Siapa suami kau? Nanti kenalkan la dengan aku.."
"Kenapa kau nak kenal dengan suami aku pulak?"
"Laa.. kena la kenal suami kawan.. kalau tak kenal, nanti aku terjumpa suami kau, aku syok kat dia macam mana? Setidaknya kalau dah kenal, nanti kalau aku nampak suami kau keluar dengan perempuan lain, aku boleh bagi report." Hanis menghamburkan tawa.
"Ish, kau ni.. suami aku bukan macam tu la.. dia bukan suka duk dekat dengan perempuan.." Idayu tersenyum apabila mengingatkan gelaran yang diberikan oleh para pekerja di pejabat kepada suaminya itu.
"tak suka dekat dengan perempuan, habis tu dia kahwin dengan kau tu macam mana?"
"Err.. kami menikah kerana pilihan orang tua." Idayu cuba berselindung. Dia tidak ingin mengatakan perkahwinanya itu bermula atas dasar sebuah kontrak semata-mata.
"Hmm.. entah-entah suami kau tu Encik Adam, CEO kita?" Hanis cuba menduga.
"Kau..kau jangan nak mengarutlah.." Idayu segera membantah. Dia sangat terkejut apabila temannya itu berjaya menebak dengan tepat. Namun Idayu sama sekali tidak ingin mendedahkan hubungannya dengan Adam kepada sesiapa, terutamanya kepada para pekerja di syarikat tersebut.
"Dah kau kata suami kau tak suka duk dekat dengan perempuan.. sama macam Encik Adam.. sebelum ni pun, kau asyik duk bela Encik Adam, seolah tahu kisah hidup dia sebelum ni.. malah kau pernah dapat jadi pembantu peribadi Encik Adam.. dan kau dapat masuk ke jabatan ni pun sebab sokongan daripada Encik Adam sendiri.. hmm.. baru kerja berapa minggu kat sini, terus dapat naik pangkat jadi ketua jabatan.. tak ke pelik.." Hanis cuba mengusik. Idayu pula mula menggelabah.
"Bu..bukan macam tu la.. kau.." Idayu cemas dan tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kata Hanis.
"Ye la.. aku tahu la.. kau dapat naik jadi ketua jabatan tu sebab dah menang pertandingan.. aku memang percaya design kau yang terbaik dan memang layak untuk menang.. aku bergurau je pun. Kau jangan la ambil serius sangat.." Hanis kembali memujuk setelah menyedari wajah Idayu yang sudah merona kemerahan.
"Kau jangan cakap macam tu.. kalau orang dengar, atau Encik Adam sendiri yang dengar, tak ke nanti jadi fitnah.."
"Ye la.. aku minta maaf.. aku tak cakap macam tu lagi.." Hanis menyedari kekhilafan dirinya sebentar tadi. Padahal dia hanya ingin bergurau namun dia tidak menyangka Idayu akan menganggap gurauannya itu sebagai serius.
ADAM yang berada di bilik pula sibuk menguruskan kerja dan membaca dokumen yang bertimbun di atas meja kerjanya. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar. Fairuz menjengah masuk ke ruangan bilik Adam setelah pintu dibuka. Adam yang menyedari kehadiran Fairuz meneruskan kerjanya. Lelaki itu sebenarnya tidak senang dengan kehadiran Fairuz di sana. Namun disebabkan mereka sudah berteman semenjak dari kecil, Adam terpaksa menerima kedatangan temannya itu.
Malah Adam sebenarnya terhutang budi dengan Fairuz kerana setelah dia jatuh terpuruk suatu ketika dahulu akibat putus tunang dan diberhentikan kerja, Fairuz adalah orang yang menyemangati Adam untuk bangkit kembali dalam hidupnya dan menyarankan Adam untuk menubuhkan syarikatnya sendiri. Malah Fairuz yang terlebih dahulu berkecimpung dalam dunia perniagaan itulah yang mengajar Adam mengenai selok belok perniagaan dan memperkenalkan Adam dengan ramai pelanggan pada peringkat awal penubuhan syarikatnya. Disebabkan hal tersebut, Adam sama sekali tidak mampu untuk menghindari Fairuz walaupun hubungan diantara mereka tidak disukai oleh ibu Adam sendiri.
Melihat Adam yang sibuk bekerja, Fairuz mendekati lelaki tersebut perlahan-lahan dari sisi kanan. Fairuz dengan berani menggerakkan tangannya dan diletakkan pada kedua belah bahu Adam. Bahu lelaki itu diurut dengan tujuan menggoda.
"Sibuk betul hari ni.." Fairuz menyapa.
"Ada apa awak datang ke sini?" Adam bertanya, namun matanya masih fokus menatap ke arah dokumen yang berada di atas meja kerjanya.
"Hmm.. tak boleh ke kalau saya datang nak jumpa awak?" Fairuz bertanya kembali.
"Bukan tak boleh.. tapi.. hari ni saya busy.. banyak kerja nak kena siapkan.."
"Saya nak ajak awak temankan saya lunch hari ni.. boleh tak?" Fairuz membuat suara lembut untuk menggoda.
"Maaf.. hari ni tak boleh.. saya ada meeting dengan client sekejap lagi.."
"Ala.. apa kata saya ikut awak meeting sekali? tak salah kan? mana tahu client awak tu kenal saya ke.. mungkin akan memudahkan kerja awak nanti.." Fairuz cuba memujuk.
"Tak boleh la.. tempat tu saya dah tempah awal.. dah set untuk berapa orang.. lain kali je la kita keluar. Maaf, saya kena pergi sekarang.. dah lambat ni." Adam melihat jam ditangannya. Dia segera menyedari jika waktu yang dijanjikan sudah hampir tiba. Adam perlu bergegas dengan segera untuk bertemu dengan pelanggannya sebentar lagi. Di saat itu juga Fairuz memusingkan kerusi yang diduduki oleh Adam. Kini Fairuz mula berdiri dan bertatapan muka dengan Adam yang sedang duduk di atas kerusi. Wanita itu kemudian langsung duduk di riba Adam. Tangannya memegang tali leher yang dipakai oleh Adam dan membetulkan kedudukan tali leher tersebut. Setelah melurutkan tali leher yang dipakai Adam, Fairuz meletakkan telapak tangannya di dada bidang lelaki tersebut.
"So, bila kita boleh keluar bersama? Esok? atau malam ni?" Fairuz masih berusaha untuk menggoda. Walaupun sudah bertahun-tahun mengejar, namaun wanita itu tidak pernah berputus asa untuk memiliki Adam. Bahkan dia sudah banyak membantu lelaki tersebut selama ini. Dia yakin, suatu masa nanti, Adam akan menjadi miliknya walaupun dia sedar ibu Adam agak memandang serong kepadanya.
Tangan Adam mula memegang pergelangan tangan Fairuz. Adam menolak tangan wanita itu agar tidak terus menekap di dadanya. Disaat itu, tiba-tiba pintu bilik Adam dibuka. Idayu yang muncul secara tiba-tiba terkejut melihat gelagat Fairuz dan Adam yang sedang bermesraan. Adam juga turut terperanjat dan kelam-kabut dengan kehadiran isterinya yang tidak diduga itu. Fairuz yang masih duduk di riba Adam pula tersenyum. Wanita itu menarik tangannya sehingga pegangan Adam terlepas. Fairuz segera merangkul kedua belah tangannya ke leher Adam. Adam yang masih terpempan dengan kehadiran Idayu itu menjadi kaku. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan keadaan sebenar yang sedang berlaku kepada isterinya itu.
Idayu juga masih tergamam. Padahal sebelum masuk ke bilik Adam, dia sangat gembira dengan kenaikan pangkat yang telah diterima olehnya. Dia awalnya berhajat untuk berkongsi kegembiraan tersebut kepada Adam. Namun harapannya kini musnah. Hatinya terasa sangat pedih, seakan ditusuk oleh belati. Dia langsung tidak menyangka, bagaimana suaminya yang selama ini terkenal dengan sikap dingin terhadap wanita, namun dalam diam menjalinkan hubungan dengan Fairuz, seorang usahawan kosmetik yang terkenal. Walaupun sebelum ini Idayu tahu, mereka berdua memiliki hubungan yang baik, namun fikirannya tidak pernah membayangkan mereka berdua akan mesra sebegitu.
Share this novel