BIBIR Idayu mengukir satu senyuman kepuasan. Helaian kertas yang baru disalin melalui mesin pencetak diambil dan dikepilkan bersama hasil rekaan pakaian yang baru dia hasilkan. Hasil kerjanya itu kemudian di masukkan ke dalam satu fail. Idayu gembira dan berpuas hati dengan hasil kerjanya yang terbaru. Itu adalah hasil rekaannya yang pertama semenjak bergelar seorang pereka fesyen. Setelah berjaya mencapai impiannya, wanita itu semakin bersemangat dan menanam tekad untuk menghasilkan pelbagai rekaan yang menarik dan namanya akan dikenali suatu masa nanti di dalam industri. Bahkan Idayu sangat optimis jika dia akan berjaya dalam masa yang singkat memandangkan syarikat milik suaminya itu adalah salah satu perusahaan terbesar dalam bidang pakaian dan peragaan fesyen.
Setelah meneliti kembali hasil rekaannya yang telah siap dan tersusun di dalam fail, Idayu kemudian bangkit dari kerusi dan meninggalkan meja kerjanya. Dia menuju ke bilik timbalan ketua jabatan yang merupakan pegawai atasannya untuk menyerahkan hasil kerja yang baru disiapkan. Menyedari pegawainya itu masih berada di dalam bilik, Idayu lantas mengetuk pintu.
"Masuk." Kedengaran suara dari dalam bilik. Tanpa berlengah, Idayu segera membuka pintu dan masuk ke dalam bilik tersebut.
"Ya, ada apa?" Timbalan ketua jabatan yang bernama Nora bertanya akan tujuan kedatangan Idayu.
"Puan Nora.. ini, saya nak serahkan hasil rekaan saya yang baru disiapkan." Idayu tersenyum, seraya meletakkan fail yang mengandungi hasil kerjanya di atas meja pegawai atasannya. Nora segera mengambil fail tersebut dan melihat isi kandungannya. Matanya fokus meneliti setiap inci lembaran kertas yang berada di tangannya itu. Helaian demi helaian kertas dibelek dan diperhatikan. Tidak lama kemudian, Nora menutup kembali fail tersebut dan mencampakkan fail ditangannya itu di atas meja.
"Macam ni awak panggil design terbaru? Apa yang menarik pasal design ni? Perincian yang awak bagi pun banyak merapu dan tak lengkap. Corak entah apa-apa.. Kalau awak tak mampu nak buat design yang menarik dan kreatif, baik awak berhenti je kerja.. Jangan buang masa saya dan bazirkan duit syarikat untuk bayar gaji awak yang tak tahu buat kerja!" Nora sedikit meninggikan suara. Idayu terkejut dengan reaksi pegawai atasannya itu.
"Maaf..maafkan saya Puan Nora.. nanti saya akan belajar dengan lebih baik.. tolong beri tunjuk ajar kat saya." Idayu cuba merendah diri kerana sedar dirinya adalah pekerja baru di dalam bidang tersebut. Dia berazam untuk terus belajar dan menghasilkan rekaan mengikut spesifikasi yang diinginkan mengikut prosedur syarikat.
"Dah, awak boleh keluar.. berikan hasil yang lebih baik kalau awak nak terus kekal bekerja di sini.." Nora berkata dengan tegas.
"Baiklah Puan Nora.. err.. rekaan saya tu, boleh saya ambil semula? nanti saya akan betulkan balik." Idayu ingin mengambil kembali fail yang diserahkannya sebentar tadi.
"Ini? buat apa nak ambil balik. Buang je sampah ni.. awak buat yang baru." Nora segera mencapai kembali fail di atas mejanya dan mecampakkan fail tersebut ke dalam tong sampah di tepi mejanya. Idayu agak terkilan apabila melihat hasil kerjanya itu di lempar ke dalam bakul sampah, seolah hasil kerjanya itu langsung tiada nilainya. Namun wanita itu menguatkan hatinya untuk terus bersabar. Dia mengangguk perlahan dan segera keluar dari bilik tersebut.
Setelah kembali ke meja kerjanya, Idayu menghempaskan punggung di kerusi dengan kasar. Satu keluhan terluah dari mulutnya. Dia benar-benar kecewa apabila hasil kerjanya yang pertama sebagai seorang pereka fesyen telah ditolak dan dihina sedemikian rupa. Di dalam menahan rasa kecewa, tangannya digenggam kemas. Dengan penuh geram, tangannya menghentak meja. Mata Idayu terpaku kepada helaian kertas putih kosong yang tersusun di atas meja kerjanya. Wanita itu diam sambil termenung jauh.
"Aku tak boleh mengalah.. jadikan kegagalan ini sebagai pemangkin untuk aku terus menghasilkan rekaan yang lebih baik." Idayu cuba berfikiran positif. Dia tidak ingin terus lemah setelah hasil rekaannya ditolak. Dia sedar, dirinya masih baru di dalam bidang tersebut dan banyak hal yang perlu dia pelajari. Tangan Idayu segera mencapai pen dan kertas di atas mejanya. Tanpa membuang masa, dia mula membuat lakaran di atas kertas putih yang dihamparkan di atas meja kerjanya itu.
MENJELANG petang, waktu bekerja juga sudah tamat. Idayu segera berkemas dan menuju ke bilik Adam. Sesekali, dia melihat ke sekeliling arah agar tidak ada yang melihat pergerakannya menuju ke arah bilik pemilik syarikat tersebut. Idayu tidak ingin hubungannya dengan Adam terbongkar kepada pekerja lain di syarikat tersebut. Malah Idayu juga risau jika dirinya akan dituduh cuba untuk menggoda majikan mereka itu kerana dirinya sering terlihat menuju ke sana.
Tiba di bilik Adam, Idayu langsung mengetuk pintu dan masuk ke dalam bilik. Ketika itu, Adam masih khusyuk menatap layar komputer di meja kerjanya. Menyedari kehadiran Idayu, lelaki tersebut segera menghentikan kerjanya. Mata Adam tertumpu kepada isterinya sambil bibirnya mengukir senyuman.
"Dah nak balik?" Adam bertanya ringkas.
"Ye la.. jom la kita ke hospital.. kali ni kita pergi sama-sama.. apa pun yang terjadi, hari ni abang kena jumpa dengan mak." Idayu segera menjawab. Adam semakin melebarkan senyuman. Tentu sahaja dia tidak ingin menolak permintaan isterinya itu. Adam nekad. Kali ini dia akan pastikan dirinya bertemu dengan ibu mentuanya.
"okey.. tunggu jap.. abang nak kemas meja, nak save kerja dalam komputer ni dulu.." Adam membalas. Matanya kembali berkalih ke arah layar skrin komputer di depannya.
"Abang siapkan je la dulu kerja tu.. yang atas meja ni, biar sayang tolong kemaskan.." Idayu menawarkan diri untuk membantu suaminya itu mengemas meja kerjanya. Tangannya pantas mencapai beberapa fail yang berada di atas meja dan disusun dengan rapi. Tiba-tiba Idayu terfokus kepada salah satu fail di atas meja Adam itu. Secara spontan dia membuka fail tersebut untuk melihat isi kandungannya. Mata wanita itu tiba-tiba membuntang luas. Darahnya terasa berderau. Di dalam fail yang dilihatnya itu, terdapat hasil kerja rekaannya yang telah di tolak oleh timbalan ketua jabatannya sebelum ini. Idayu berdiri kaku sambil menatap rekaan fesyen tersebut.
"Itu.. design terbaru daripada Nora.. cantikkan? memang patut la dia jadi penolong ketua jabatan design tu.. sayang nanti banyakkan belajar daripada dia." Adam berkata setelah terperasan Idayu yang tidak berkedip melihat ke arah lukisan rekaan pakaian di atas mejanya itu. Idayu terus terdiam setelah mendengar penjelasan daripada Adam. Jelas bagi Idayu, jika Nora sudah mencuri hasil kerjanya. Pegawai atasannya itu bahkan berpura-pura menolak hasil kerjanya itu sehingga mencampakkannya ke dalam tong sampah. Namun pada masa yang sama, pegawai tersebut telah mencuri dan mengaku hasil rekaan fesyen tersebut adalah miliknya setelah dihantar kepada ketua pegawai eksekutif syarikat.
Kini Idayu berasa sangat kecewa. hasil penat lelahnya telah dihina sebelumnya. Namun sekarang terbukti pula hasil rekaannya telah dicuri. Ingin sahaja dia menjerit dan meluahkan rasa kecewanya sekarang. Namun wanita itu tetap menguatkan dirinya. Air mata yang bertakung di kelopak mata juga turut ditahan agar tidak menitis keluar dari bendungannya. Adam pula mula berasa aneh setelah melihat isterinya itu berdiri kaku tanpa sebarang kata.
"Sayang.. kenapa ni? ada apa-apa yang tak kena ke?" Adam cuba menduga perasaan isterinya.
"Tak.. takde apa-apa.." Idayu segera menjawab sambil menggelengkan kepala. Dia kemudiannya memalingkan wajahnya daripada dilihat oleh Adam dan mengesat air yang bertakung pada matanya. Dia tidak ingin Adam menyedari keadaan dirinya diketika itu.
"Sayang.. kalau ada masalah, tolong bagitahu.. kan kita dah janji, takkan ada rahsia lagi antara kita.." Adam cuba memujuk. Dia yakin Idayu sedang menyembunyikan sesuatu kepadanya.
"Betul la.. takde apa-apa.. sayang cuma terpegun tengok design yang dihasilkan tu.. kalau boleh, sayang pun nak buat macam tu.. tapi banyak lagi sayang kena belajar.." Idayu tersenyum setelah berpaling kembali ke arah Adam. Jujurnya, dia tidak ingin memanjangkan masalah yang sedang dia hadapi. Malah di dalam hati Idayu, dia cuba berdalih terhadap janji yang diungkitkan oleh Adam sebentar tadi. Janji itu hanya termaktub untuk hubungan mereka sebagai suami isteri sahaja. Tidak termasuk untuk urusan kerja di pejabat. Idayu tidak ingin melibatkan urusan peribadi ketika di pejabat. Begitu juga sebaliknya, dia tidak ingin melibatkan urusan kerja ketika bersama suaminya.
Share this novel