IDAYU menatap wajah ibunya yang tidak bermaya. Zaiton sudah pun sedar namun masih terlalu lemah dan perlu memakai alat bantuan pernafasan. Wanita itu masih belum mampu untuk bercakap. Disebabkan keadaan yang masih tidak stabil, ibu Idayu itu perlu ditempatkan di unit rawatan rapi bagi mendapatkan penjagaan yang lebih khusus. Di sebabkan berada di unit tersebut, ahli keluarga juga tidak dibenarkan untuk menjadi penjaga dan berada bersama pesakit. Pelawat hanya dibataskan pada waktu melawat sahaja. Oleh itu, Idayu mengambil peluang untuk menemui ibunya sepanjang masa lawatan dibuka oleh pihak hospital. Pulang dari pejabat, Idayu segera melawat ibunya sehinggalah waktu lawatan tamat. Jam enam petang, gadis itu mula keluar dari wad. Tanpa disangka, gadis itu bertemu pula dengan Farhan yang turut melewati lorong hospital tersebut.
"Ayu, dah nak balik ke?" Farhan menyapa.
"Ya lah.. waktu melawat pun dah tamat.. saya nak kena balik rumah la.." Idayu membalas.
"Emm.. awak sibuk ke?" Farhan bertanya.
"Kenapa pula?"
"Kalau awak tak sibuk, apa kata kita pergi minum sekejap."
"Hmm.. boleh juga.. saya pun lapar sebenarnya."
"Elok la kalau macam tu.. boleh makan sekali." Farhan tersenyum lebar apabila permintaannya untuk minum dan berbual bersama Idayu dipersetujui oleh gadis tersebut.
"Sekejap.. saya nak buat panggilan.." Idayu segera mendapatkan telefon dari tas tangan yang dibimbit. Dia berhajat untuk memaklumkan keberadaannya kepada Adam. Dia tidak ingin suaminya itu ternanti-nanti kepulangannya tanpa diberitahu. Malah, ibu mentuanya juga masih berada di rumah suaminya itu.
"Aduh.. telefon mati pula.." Idayu merungut apabila menyedari telefon bimbitnya sudah mati kerana kehabisan bateri. Dia mula risau jika Adam dan ibu mentuanya tertanya-tanya tentang dirinya yang masih belum pulang ke rumah.
"Pakai je telefon saya.. nak call siapa?" Farhan menawarkan Idayu untuk menggunakan telefon miliknya sambil menghulurkan telefon pintar tersebut kepada Idayu.
"Eh, takpe la.. lagipun, saya mana ingat nombor yang nak call tu.. rasanya, tak jadi la kita pergi makan.. saya kena balik dulu." Idayu memberikan alasan. Dia sebenarnya tidak mahu membuat suami dan ibu mentuanya tertunggu-tunggu.
"Kenapa pula tak jadi? please Ayu.. sekejap je.. tak nak makan pun, kita minum je.. saya ada hal nak bincang dengan awak."
"Nak bincang pasal apa? Pasal kes mak saya ke?" Idayu ingin mendapatkan kepastian. Jika urusan yang melibatkan kes ibunya, gadis itu akan sanggup menghabiskan masanya.
"Aaa..." Farhan agak gugup untuk menyatakan.
"Kalau pasal mak saya, saya akan ikut awak.. tapi kalau hal peribadi, saya minta maaf." Idayu langsung meluahkan pendiriannya.
"Ah, ada hal nak bincang pasal mak awak." Farhan terpaksa menggunakan alasan yang tidak akan ditolak oleh Idayu.
"Okay.. baiklah.." Idayu menyatakan persetujuan untuk keluar bersama Farhan. Mereka berdua kemudian menuju ke kafe hospital untuk melanjutkan perbualan mereka sambil menikmati air minuman. Farhan terpaksa membicarakan hal mengenai penyakit ibu Idayu bagi meluangkan masa bersama gadis tersebut. Lelaki itu tahu, hanya itulah satu-satunya cara untuk dia terus mendekati Idayu. Sejak dari kecil, Idayu sering membataskan pergaulannya dengan lelaki. Walaupun Farhan menyimpan perasaan terhadap Idayu semenjak mereka masih bersekolah, namun untuk mendekati Idayu itu sangat sukar sekali melainkan terbatas sekadar teman biasa sahaja. Sikap Idayu yang tidak gemar untuk mempunyai apa-apa hubungan dengan lelaki selain daripada berkawan itulah menyebabkan Farhan sukar meluahkan perasaannya dan disebabkan itu jugalah Idayu tidak menyimpan hasrat untuk berkahwin. Malah, setelah kehilangan bapa dan adiknya, Idayu semakin fokus untuk menjaga ibunya yang sudah lumpuh. Hal tersebut menguatkan lagi alasan Idayu untuk tidak tertarik kepada lelaki bagi dijadikan suami.
DI rumah Adam, Khadijah mulai resah apabila menantunya masih tidak pulang. Padahal azan maghrib juga sudah berkumandang. Berkali-kali dia cuba menghubungi telefon bimbit Idayu namun tidak berhasil. Panggilannya gagal untuk diterima. Wanita itu mundar mandir di dalam rumah. Sesekali, dia menjenguk ke arah jendela dan melihat jika Idayu sudah tiba di rumah. Dia terus merasa hampa. Adam juga turut membuat panggilan terhadap isterinya namun tetap juga gagal.
Tidak lama kemudian, Idayu tiba di hadapan rumah Adam dengan kereta Perodua Axianya. Wanita itu bergegas berjalan dengan kelam kabut untuk masuk ke dalam rumah. Setelah memberi salam, Idayu langsung masuk ke dalam rumah. Salamnya itu di jawab oleh Khadijah yang sudah menunggu menantunya itu dari tadi.
"Ayu.. Ayu ke mana? Kenapa ibu call tak dapat? Ibu risau tau.." Khadijah segera mendapatkan menantunya yang baru masuk ke rumah.
"Maaf Ibu.. Ayu ada urusan sikit kat hospital tadi.. Ayu pun nak call Adam tadi, nak bagitahu, Ayu akan balik lewat sikit.. tapi telefon Ayu dah mati habis bateri.." Idayu menjelaskan situasi yang terjadi.
"Ya lah.. lain kali bagitahu la awal-awal kalau nak kemana-mana.." Khadijah meneruskan nasihatnya.
"Ya Ibu.. Ayu minta maaf.. lain kali Ayu akan pastikan, perkara macam ni tak terjadi lagi.."
"Hmm.. Ayu buat apa pergi hospital? Ada orang sakit ke?" Khadijah ingin tahu.
"Biarlah Ibu, dia nak kemana.. pandai la dia jaga diri.. Ayu pun dah penat tu.. biarlah dia pergi mandi, rehat dulu." Adam segera menyampuk. Lelaki itu sebenarnya tidak selesa apabila mendengar Idayu pergi ke hospital. Dia mula teringat kembali kejadian ketika dia melihat Isterinya itu berbual berduaan dengan Farhan.
"Ha.. ye la.. Ayu pergi la mandi, rehat dulu.. dah maghrib pun.. nanti lepas solat, kita makan malam sama-sama.." Khadijah menolak lembut belakang badan menantunya itu agar Idayu segera berehat dan membersihkan diri.
"Baik Ibu.." Idayu mengangguk perlahan. Dia mula melangkah meninggalkan Adam dan Khadijah yang sedang berada di ruang tamu rumah. Idayu yang tiba di bilik tidurnya segera melepaskan pakaian dan mandi. Sesuai dengan perkataan ibu mentuanya tadi, setelah selesai membersihkan badan dan menunaikan solat, Idayu segera ke dapur untuk makan malam bersama suami dan ibu mentuanya itu. Selesai makan malam, Idayu mula mengemas dapur dan mencuci pinggan mangkuk. Khadijah pula menuju ke tandas. Adam yang melihat ketiadaan ibunya ketika itu dengan segera mendekati Idayu. Tangan Idayu lantas ditarik dengan kasar.
"Abang.. Aa..Adam.. kenapa?" Idayu yang terkejut dengan tindakan suaminya itu lantas bertanya. Adam pula menyorotkan pandangan yang tajam ke arah Idayu.
"Awak pergi hospital tadi buat apa?" Adam langsung bertanya dengan suaranya yang dingin.
"Saya.. tadi.. saya pergi hospital sebab nak jumpa.."
"Nak jumpa lelaki tu lagi?!" Adam memintas percakapan Idayu.
"Ahh..bu.. bukan.." Idayu tergamam. Dia mula teringat peringatan yang Adam berikan kepadanya sebelum ini. Namun dia tidak berani untuk menafikan jika dia sudah bertemu dengan Farhan. Dia benar-benar bertemu dan minum bersama Farhan siang tadi. Namun itu semua hanyalah semata-mata untuk mendengarkan masalah kesihatan ibunya. Malah dia ke hospital juga sebenarnya semata-mata untuk menemui ibunya. Tetapi Adam kini ternyata sudah salah sangka. Walau bagaimana pun, kata-kata Adam juga ada benarnya. Idayu memang ada berjumpa Farhan. Gadis itu tidak mampu untuk menafikan.
"Bukan ke saya dah cakap, jangan jumpa lelaki lain? saya ni suami awak." Adam mencekik leher Idayu. Namun cengkamannya tidaklah terlalu kejap. Dia hanya bertindak untuk menakut-nakutkan isterinya itu sahaja tanpa niat untuk mencederakan.
"Bu..bukan macam tu.. saya sebenarnya.."
"Sebenarnya apa? awak suka kat dia? Hah?"
"Adam.. awak jangan salah sangka.."
"Saya yang salah? awak keluar jumpa lelaki lain, waktu maghrib baru nak balik, saya yang salah?
"Bukan macam tu.. bagi la saya jelaskan dulu.."
"Kalau bukan macam tu, macam mana lagi? Awak tak boleh ke hormatkan saya sikit?" Adam mengeraskan suara.
"Adam!" Tiba-tiba Khadijah muncul dan menjerit menyebut nama anaknya. Adam dan Idayu masing-masing tersentak dengan kemunculan wanita berkenaan. Adam segera melepaskan cekikan pada leher Idayu. Khadijah pula mula mendekati pasangan suami isteri tersebut.
"Ibu tak pernah ajar Adam untuk bertindak kasar macam ni! Kenapa sampai mencekik isteri kamu ni? Baru kahwin berapa hari, dah berkasar dengan isteri.. ni ibu masih ada.. kalau ibu takde kat rumah kamu ni, macam mana? entah-entah kau selalu pukul Ayu ni.." Khadijah memarahi Adam. Idayu pula segera mencapai tangan ibu mentuanya dan merapati mentuanya itu.
"Ibu.. bukan macam tu.. ini semua salah faham je.. Adam tak pernah pukul Ayu.." Idayu cuba menenangkan khadijah terlebih dahulu. Dia tidak ingin melihat ibu mentuanya itu terus memarahi dan menuduh suaminya sebegitu rupa.
"Betul Adam tak pernah pukul Ayu?" Khadijah menginginkan kepastian.
"Betul ibu.. ibu jangan la salah faham.. tadi kami duk bincang pasal masalah sikit je.. tapi takde la sampai pukul memukul.. memang salah Ayu tadi sebab Ayu balik lewat tapi tak bagitahu.." Idayu masih cuba memujuk ibu mentuanya.
"Betul ni?"
"Iya.. Ibu jangan la risau.. Kalau Adam tu suka pukul, takkan la Ayu nak kahwin dengan dia.. kan bang?" Idayu bijak dalam meredakan suasana tegang yang berlaku sebentar tadi. Adam pula terus terbungkam. Kata-kata Idayu sebentar tadi menjentik hatinya. Seolah Idayu memang ikhlas untuk menjadi isterinya. Bukan hanya sekadar berlakon sebagai isteri demi menerima upah semata-mata.
"Kalau macam tu tak pe la.. tapi kalau Adam ada pukul Ayu, bagitahu je kat Ibu.. biar Ibu ajar budak ni.." Khadijah mencucuk lengan Adam menggunakan jari telunjuknya. Adam terus terdiam manakala Idayu pula tersenyum melihat gelagat ibu mentunya.
"Ibu.. Ayu nak masuk tidur dulu ya.. letih sangat dah rasa badan ni.." Idayu menyampaikan keinginannya untuk masuk ke bilik bagi merehatkan badan.
"Hmm.. ye la.. pergilah rehat dulu.. tidur biar cukup." Khadijah menyampaikan pesan sambil menepuk lembut lengan menantunya itu.
"Abang.. Ayu masuk tidur dulu ya.." Idayu berkata pula kepada suaminya.
"Hmm.." Adam hanya bergumam dengan menganggukkan kepala. Lelaki itu kemudian langsung menuju ke ruang tamu rumah.
"Ishh, budak ni.." Khadijah tidak selesa dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Adam terhadap Idayu. Pada pandangannya, anak lelakinya itu masih tidak menghargai Idayu yang sudah menjadi isteri. Khadijah segera mengikuti Adam dan menuju ke ruang tamu. Idayu pula tidak ingin terus membuang masa. Matanya sudah dirasakan terlalu mengantuk akibat keletihan. Dia perlu mendapatkan tidur dengan segera. Gadis itu lantas berjalan menuju ke kamar tidurnya.
Di ruang tamu, Khadijah duduk di sofa bersama Adam. Wanita itu menatap anak lelakinya dengan pandangan yang tajam.
"Adam jangan buat Ayu macam tu.. hargai dia sebagai isteri Adam.. Ibu taknak Adam berkasar dengan dia.. Ayu tu budak baik.. lemah lembut.. Adam jangan sesekali sakiti dia." Khadijah menasihati anak tunggalnya itu. Adam pula masih berdiam diri. Dia sebenarnya khawatir jika hubungan palsunya dengan Idayu segera terbongkar.
"Ingat Adam.. Ibu takkan maafkan Adam kalau sampai Adam sanggup pukul Ayu tu.. Adam patut bersyukur Ayu tu sanggup jadi isteri Adam.. Ibu takkan salah dalam menilai.. Ibu tahu dan Ibu yakin, Ayu tu budak baik. Tolong jaga dia elok-elok.. Jangan sampai nanti suatu hari Adam menyesal sebab tak jaga dia baik-baik." Khadijah memberikan amaran kepada anaknya. Adam termenung mendengarkan ucapan ibunya itu. Sebenarnya Adam turut kesal dengan tindakannya tadi terhadap Idayu. Dia sedar, dirinya sudah keterlaluan. Namun fikiran Adam tiba-tiba terganggu oleh sesuatu. Dia mulai bingung, kenapa dia harus bertindak sedemikian terhadap isterinya itu. Apakah dia benar-benar cemburu, Adam sendiri tiada jawapan. Padahal dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap isteri yang diupahnya itu. Mustahil untuk dia merasa cemburu.
Beberapa waktu berlalu bersama ibunya, Adam akhirnya menuju ke bilik tidur. Di bilik, dia melihat Idayu sudah pun lena diulit mimpi. Disebabkan perlu berlakon di depan ibunya, Adam memaksa Idayu untuk tidur sebilik dengannya bagi memastikan ibunya itu tidak mengesyaki apa-apa dalam hubungan mereka. Walaupun tidur sebilik, mereka yang saling tidak menyimpan perasaan bersetuju untuk tidak bertindak lebih daripada batasan. Mereka hanya bersama untuk tidur semata-mata. Di kala itu, Adam menatap wajah Idayu yang nyenyak di pembaringan. Wajah polos gadis tersebut terlihat menawan dan memikat hati Adam.
'Maafkan aku Ayu.. aku tak tahu, kenapa aku tak dapat mengawal perasaan aku bila fikirkan kau bersama lelaki lain.. aku tak suka memikirkan hal sebegitu.. kau.. kau adalah isteri aku.. kau dah jadi milik aku..' Adam berbicara di dalam hatinya. Matanya masih terpaku menatap wajah isterinya. Lelaki itu kemudian mengelus lembut rambut Idayu yang sedang tidur.
Share this novel