Bab 8

Romance Series 72549

AIR kopi panas di dalam cawan yang dilapik dengan piring ditatang dengan cermat oleh Idayu. Sambil mengeluh perlahan, gadis itu berjalan membawa minuman tersebut menuju ke bilik majikannya. Idayu benar-benar bosan dengan tugasnya sekarang. Baru sahaja melangkah masuk ke bilik Adam, Idayu melihat lelaki tersebut sedang berbicara di telefon dengan seseorang.

"Mana boleh macam tu! Kalau macam tu, kita batalkan je kerjasama dengan mereka!" Adam bersuara kuat sambil tangannya menghentak meja. Suara makian Adam yang sedang bercakap di telefon itu mengejutkan Idayu. Disebabkan kejutan tersebut, cawan yang berada di tangan Idayu terlepas dan jatuh ke lantai. Lantai bilik tersebut di basahi oleh air kopi yang tertumpah dan deraian kaca daripada cawan yang pecah. Melihat kejadian tersebut, Adam segera menghentikan perbualannya di telefon.

"Apa yang awak buat ni? Nak bawa cawan pun tak boleh ke? cepat bersihkan." Adam memberikan arahan.

"Ma..maaf Encik Adam.." Idayu menunduk dan merendahkan badannya untuk membersihkan lantai yang dipenuhi oleh serpihan kaca. Adam pula duduk di kerusinya sambil memerhatikan wanita itu membersihkan lantai.

"Ouchh.." Idayu dengan pantas menarik tangannya. Jari wanita itu terluka setelah terkena serpihan kaca daripada cawan yang pecah. Darah mula meleleh keluar pada luka di jarinya. Adam pula tersentak. Lelaki itu segera bangkit dari tempat duduknya dan menghala ke arah Idayu.

"Kenapa?" Adam bertanya ringkas.

"Takde apa.. cuma terluka sikit je.." Idayu menjawab sambil matanya melihat je arah jarinya yang terluka.

"Huh, apa pun tak boleh nak buat.. Dah, mari sini.. hati-hati.." Adam menyambar tangan Idayu dan menarik wanita tersebut untuk mengikutinya. Idayu segera berdiri dan menurut setelah ditarik oleh Adam. Idayu ingin sahaja menarik tangannya daripada pegangan Adam. Namun dia membatalkan niatnya apabila menyedari bahawa mereka adalah pasangan suami isteri. Dia tidak perlu lagi menjaga batasnya terhadap Adam. Idayu hanya mengikuti Adam dan lelaki itu kemudian duduk di sofa yang tersedia di ruang biliknya itu. Idayu turut duduk  di kerusi yang sama, dekat di samping Adam. Setelah melihat luka di jari Idayu, Adam kemudiannya lantas berdiri dan menuju ke satu sudut. Lelaki itu mengambil sebuah kotak berwarna putih dan kembali menuju ke arah Idayu. Kotak yang merupakan kit pertolongan cemas itu diletakkan dan segera dibuka oleh Adam. Lelaki itu lantas mengelap luka pada jari isterinya dan menyapukan ubat luka sebelum di balut. Selesai membalut jari Idayu yang terluka, Adam melepaskan tangan isterinya itu sambil matanya memandang tepat je wajah wanita tersebut.

"Lain kali tolong cermat sikit.. buat apa-apa, tak pernah nak berhati-hati.." Adam memberi nasihat sambil menegur sikap ceroboh Idayu dengan nada yang dingin. Pada pandangan lelaki itu, Idayu sering melakukan hal secara tergopoh gapah dan tidak berhati-hati.

"Baiklah Encik Adam.. maafkan saya.." Idayu menunduk malu. Dia tidak menyangka Adam akan menganggap dirinya sebagai seorang gadis yang ceroboh.

"Dah la.. awak rehat je.. nanti saya suruh cleaner bersihkan lantai tu.. awak jangan buat apa-apa.. awak balik je, rehat kat rumah."

"Eh, tapi saya luka sikit je.. saya masih boleh buat kerja.."

"Saya suruh awak rehat kan? tak kisah la awak luka ke, tak luka ke, saya nak awak balik ke rumah sekarang."

"Tapi.. saya masih kena kerja.."

"Awak kerja dengan siapa? siapa bos awak?" Adam mencerlungkan matanya ke arah Idayu. Dia benar-benar tidak suka jika ada orang yang tidak mendengar arahannya.

"En..encik.. Adam.." Idayu tersengih dengan muka yang berkerut sambil menuding jarinya ke arah Adam.

"Dah tu? saya arahkan awak rehat kat rumah.. kalau awak tak nak dengar, saya potong gaji awak." Adam cuba mengancam. Idayu pula kebingungan. Gadis itu segera meggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Dia seolah tidak dapat menerima arahan yang tidak masuk akal daripada majikannya itu.

"Baiklah Encik Adam.. saya balik sekarang.. tapi jangan potong gaji saya.." Idayu segera bangkit berdiri dari sofa dan berjalan meninggalkan Adam.

'Tak pernah aku dengar, bos bayar gaji untuk rehat.. siap ugut potong gaji kalau taknak rehat.. gila ke bos aku ni? hmm..entahlah..susah nak faham pemikiran orang berjiwa songsang ni.. nafsu terbalik.. buat kerja pun terbalik.. kahwin pun tak macam orang lain.. dengan aku sekali terlibat.. mental betul..' Idayu bersungut di dalam hatinya. Wanita itu keluar dari bilik Adam dan segera duduk di meja kerjanya. Idayu lantas mengemas barang-barangnya untuk pulang sebagaimana arahan yang telah diberikan.

"Ahh.." Idayu kesakitan apabila jarinya yang berbalut akibat luka tadi tersentuh dengan barang yang ingin dia pegang. Matanya melihat ke arah balutan yang menutupi luka pada jarinya. Fikiran Idayu kembali mengingat kejadian yang berlaku beberapa minit sebelum ini. Lukanya itu di balut oleh Adam, suami dan juga majikannya. Ketika membalut luka Idayu tadi, wajah Adam terlihat sangat prihatin dan tidak dingin seperti kebiasaannya.

'caring juga suami aku ni..' Idayu dalam diam memuji sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Adam sebentar tadi. Gadis itu mula tersenyum sendirian. Dia kemudian segera berkemas dan mula bergerak untuk pulang ke rumah.

Sampai di rumah, Idayu segera menemui ibunya. Zaiton yang terlantar di pembaringan biasanya hanya tidur disaat Idayu tiada di rumah. Jika tidak pun, wanita lumpuh itu akan menonton rancangan televisyen. Idayu memang sengaja meletakkan alat kawalan jauh untuk televisyen berhampiran dengan ibunya bagi memudahkan ibunya menghidupkan atau mematikan sendiri televisyen di saat bersendirian. Pada kali ini, satu insiden yang tidak dijangka telah berlaku. Apabila Idayu menemui Zaiton, ibunya itu terlihat sangat lemah dan sukar untuk bernafas. Gadis itu segera membawa ibunya ke hospital bagi mendapatkan rawatan dengan segera di unit kecemasan.

Idayu menangis di saat menunggu ibunya yang sedang di rawat. Dia hanya mampu untuk berdoa agar kesihatan ibunya dapat dibaik pulih oleh doktor yang merawat. Ketika termenung mengenangkan nasib dan keadaan ibunya yang sedang di rawat, Idayu turut bersyukur kerana Adam telah mengarahkan dirinya untuk balik ke rumah lebih awal. Jika dia tidak pulang ketika itu, entah bagaimana nasib yang akan menimpa ibunya. Pasti saja dia tidak akan mampu untuk menghantar ibunya itu ke hospital ketika itu.

'Terima kasih Adam..' Idayu berbicara sendirian sambil menyeka air matanya yang masih tersisa. Ternyata arahan tidak masuk akal daripada majikannya itu telah membantu Idayu untuk memberikan rawatan secepat mungkin kepada ibunya. Tidak lama kemudian, doktor kelihatan keluar dari bilik rawatan. Idayu segera mendapatkan doktor yang merawat ibunya itu.

"Doktor, macam mana keadaan mak saya?" Idayu tidak dapat menahan diri daripada bertanya. Dia benar-benar merisaukan keadaan ibunya itu.

"Mak awak.. dia diserang jangkitan kuman pada paru-paru.. hal tersebut juga dah menyebabkan jantungnya menjadi lemah.. itulah kenapa dia jadi susah nak bernafas.. sekarang, keadaan dia masih tak stabil dan kami terpaksa tahan dia di wad untuk pemantauan dan rawatan lanjut. kadar oksigen dia juga sangat rendah.. sekarang ni mak awak sangat lemah dan terpaksa diberikan alat bantuan pernafasan untuk bantu stabilkan oksigen dalam badan dia. Nasib baik dia dibawa ke sini tepat pada masanya.. kalau terlambat..." Doktor yang merawat Zaiton memberi penjelasan sambil menggelengkan kepalanya di akhir kata-katanya yang masih tergantung, namun dapat di fahami oleh Idayu.

"Baiklah doktor.. tolong rawat mak saya sebaik mungkin."

"Insyallah.. tugas saya sebagai doktor, memang untuk menjaga kesihatan dan mengutamakan nyawa pesakit.. bersabarlah dan banyakkan berdoa." Doktor tersebut tersenyum sebelum melangkah pergi meninggalkan Idayu. Idayu kemudian menempatkan punggungnya di kerusi hospital sambil menundukkan kepala buat seketika. Gadis itu kemudian mendongakkan kepala dan bersandar pada kerusi yang di dudukinya.

"Terima kasih Adam sebab dah suruh saya balik awal.. kalau tanpa arahan bodoh awak tu, mungkin mak saya tak dapat diselamatkan.." Idayu masih terkenangkan arahan tak masuk akal yang diberikan oleh Adam terhadapnya. Tanpa disangka, arahan yang dianggap gila oleh Idayu tadi akhirnya telah menyelamatkan nyawa ibunya sendiri. Fikir Idayu, mungkin itulah rencana yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya. Allah yang menjadikan hati Adam terdetik untuk mengarahkan dirinya pulang. Dia tidak tahu, rencana Allah sebenarnya adalah untuk Idayu menyelamatkan ibunya yang sedang terlantar sakit di rumah.

"Eh, Ayu.. kenapa duk kat sini?" Tiba-tiba seorang lelaki menyapa Idayu yang terduduk di kerusi hospital itu.

"Farhan?" Balas Idayu setelah melihat ke arah lelaki yang menyapanya itu.

"Kenapa awak duk kat hospital ni?" Lelaki yang bergelar Farhan itu mengulangi pertanyaannya seraya melabuhkan punggungnya di kerusi, sebelah tempat duduk Idayu.

"Mak saya.. terkena jangkitan kuman pada paru-paru.. dan masalah jantung.." Idayu menjawab perlahan.

"Ya Allah.. dah masuk wad?" Farhan bertanya lagi.

"Baru lepas rawatan.. nanti kena pindah masuk wad.."

"Awak jangan risau.. saya pasti akan tolong awak.. bersabarlah Ayu.."

"Terima kasih Farhan." Idayu tersenyum sambil menatap wajah lelaki yang duduk di sebelahnya itu.

"Takpe.. ingat Ayu, saya akan sentiasa ada di sisi awak." Farhan turut melihat tepat ke arah Idayu. Kini pandangan mereka mula bertembung dan saling bertatapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience