Mati Suri

Fantasy Series 616

“Kami naik atas dulu ye Kak Na.” Sila, Anjel, Nora dan Mimi melangkah menaiki tangga menuju ke tingkat atas rumah setelah selesai membasuh pinggan.

“Ok Bye. Selamat malam. Tidur jangan lewat sangat. Esok kelas tu.” Amena mengingatkan empat pelajar Kolej PTPL Shah Alam sekali gus rakan serumahnya.

Mereka berlima menyewa rumah teres dua tingkat di Seksyen 13 Shah Alam. Kebetulan Amena baru mula bekerja di salah sebuah klinik swasta di Padang Jawai Shah Alam. Sebaik sahaja membaca iklan di papan iklan di Seven Eleven Seksyen 9, terus Amena membuat keputusan menyewa rumah tersebut meskipun penyewa lain semuanya masih berstatus pelajar.

Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Masih awal bagi Amena yang setiap hari tamat waktu bertugas pukul 10 malam. Amena merupakan pekerja shif kedua yang bertugas dari pukul 5 petang sehingga 10 malam. Menjadi kebiasaan baginya yang kini berusia 26 tahun untuk tidur lewat sehingga pukul satu pagi. Melayan televisyen atau video. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Bukannya dia kerja pada sebelah pagi. Bukan juga ada kelas seperti rakan - rakan serumahnya.

Sedang Ameena menonton siaran HBO, secara tiba- tiba kepalanya berasa ringan bagaikan hampir melayang.

“Kenapa ringan je ni.” Amena bercakap sendirian sambil menggeleng beberapa kali.

Usai Amena mematikan televisyen, dia berjalan menuju ke bilik tidurnya yang terletak di sebelah dapur. Terasa jauh pula bilik tidurnya kali ini.
Rasa bagaikan berjalan di atas buaian. Semakin melemah. Amena mula merangkak pula. Seraya berharap agar dapat berbaring segera di tilam. Namun belum sempat tiba di pintu bilik, Amena mula mengesot seperti tentera. Hanya kedua-dua tangan mampu mengheret tubuh yang meniarap. Sebelum sempat masuki bilik yang memang sedia terbuka pintunya. Pandangannya menjadi gelap. Hilang tiba-tiba.


Sila ialah yang paling awal bersiap turun ke tingkat bawah pada pagi itu.
“Woi cepat woi! Lambat dah ni. Ngamuk Puan Zainab kang!”

“Ya Allah, Kak Na!!” Jerit Sila sebaik sahaja melihat jasad Amena tertiarap di pintu biliknya. Segera berlari mendapatkan Amena. Kepala Amena dipangku.
Anjel, Nora dan Mimi yang mendengar jeritan Sila bergegas turun ke bawah.

“Kak Na kenapa ni Sila?” Nora mengusap kepala Amena. Sejuk.

“Aku tak tau. Tadi aku turun je dia dah memang macam ni.”

“Korang, sejuknya kaki Kak Na ni.” Anjel bersuara takut.

Mimi letak jari telunjuk di hidung Kak Na. Kak Na tidak bernafas!.
Masing masing saling memandang sesama sendiri. Tergamam. Sila pegang pergelangan tangan Amena. Tiada apa-apa. Tiada nadi!

“Anjel kau pergi ketuk rumah Makcik Eton jap.” Sila bersuara separa berbisik. Mata tetap menatap wajah Amena yang tenang bagaikan sedang tidur.

Anjel, diikuti Mimi segera berlari ke rumah sebelah. Mata basah dengan air mata. Sejuk ketar kedua tangan. Kali pertama mereka berdepan situasi seperti itu. Kuliah dan tutorial terus hilang dari fikiran mereka.

Pak Samad yang sedang menghirup kopi berasa pelik mendengar pintu diketuk bertubi- tubi. Macam orang mengamuk lagaknya. Dipandang wajah Isterinya yang sedang menemaninya di meja makan. Segera Makcik Eton bangun.

“Laa, kenapa ni Mimi, Anjel... kenapa nangis ni?” Seraya memegang pergelangan tangan dua jirannya masih remaja. Tambah kuat suara tangis mereka berdua.

“Cuba cakap kenapa. Pakcik dengan makcik ada ni.” Kata Pak Samad yang muncul di belakang Makcik Eton.

“Makcik, Pakcik.. Kak Na. Kitorang tak tau apa jadi. Kitorang takut.” Dalam teresak – esak Anjel cuba bersuara. Mimi pula semakin kuat esaknya.

“Jom pakcik tengok.” Segera Pak Samad dan Makcik Eton ke rumah sebelah. Kesian budak-budak ni. Sampai teruk menangisnya. Amena cedera ke? Pingsan ke? Sakit ke?.

*****

“Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Rojiun.” Ucap Pak Samad sebaik sahaja memeriksa nafas dan nadi Amena.

Segera Pak Samad menelefon ambulan. Makcik Eton pula berusaha menenangkan empat pelajar PTPL yang sedang menangis. Entah menangis sedih, entah kerana terkejut atau takut. Dia kurang pasti.

Pak Samad menyuruh semua yang ada mengambil air wuduk kecuali Anjel yang bukan beragama Islam. Masing-masing membuka surah yasin di telefon bimbit dan mula mengikut Pak Samad membaca surah yasin. Beberapa jiran yang diberi tahu turut hadir. Ambulan dalam perjalanan. Ibu bapa Amena juga dalam perjalanan.

Tiba-tiba jenazah Amena duduk. Kain batik lepas disampingkan ke tepi. Amena pandang sekeliling. Masing-masing khusyuk membaca surah yasin.

“Kenapa semua orang baca yasin ni?” Perlahan namun jelas kedengaran suara Amena.

Semua yang ada berubah pucat dan terkejut. Takut dan tergamam. Beberapa anak jiran tetangga lari lintang pukang. Mana yang tua memegang dada yang berdebar bagai nak pecah tulang rusuk. Rakan-rakan serumahnya pula sudah menjerit-jerit menyorok di belakang Makcik Eton.

“Kenapa semua takut ni?” Tanya Amena lagi. Entah bila pula dia boleh terbaring di ruang tamu. Siap diselimuti kain batik lepas. Rasanya baru sahaja beberapa detik dia tidak sedarkan diri.

“Subhanallah. Subhanallah.” Beberapa lelaki dewasa mula bertasbih.

“Amena ok ke?” Makcik Eton menghampiri Amena sambil memegang tangan dan pipi Amena. Hangat. Dah tak sejuk. Lega hati Makcik Eton.

Ambulan tiba tidak lama kemudian. Setelah membuat pemeriksaan terhadap Amena. Semuanya normal. Maka paramedik memutuskan Amena tidak perlu dibawa ke hospital.

“Alhamdulillah. Syukur makcik rasa.” Makcik Eton mendakap Amena lembut.

“Amena kenapa sebenarnya. Apa yang terjadi sebenarnya nak?” Diusapnya rambut Amena.

“ Entahlah makcik. Tiba-tiba je malam tadi saya blackout. Padahal takde apa pun sebelum tu. Tak demam, tak apa.”

Mimi dan Sila masih duduk di kiri dan kanan Amena. Tak lepas tangan Amena dipegang mereka. Lega.

Anjel pula menghilang naik ke biliknya di atas. Takut.

Nora sibuk di dapur membancuh air untuk para tetamu. Semasa tetamu datang tadi dia sedang membaca yasin dengan gundah gulana. Ni baru teringat nak bancuh air.

“Asalamualaikum.” Mak Minah dan Pak Zuki memberi salam.

Terus kedua-duanya masuk tanpa dipelawa. Risau bukan kepalang apabila menerima panggilan rakan serumah anaknya yang menangis teresak-esak.

Semua jiran yang hadir termasuk Makcik Eton mulai bersurai pulang ke rumah masing-masing. Kini tinggal Pak Samad yang masih berbual dengan Pak Zuki ayah Amena.

“Mak, kenapa ramai sangat yang datang ye. Tu dorang dari tadi mengaji tak penat ke? Suruhlah dorang minum dulu.” Bisik Amena seraya menunding ke sudut rumah.

Mak Minah memandang ke sudut di sebelah televisyen yang dimaksudkan Amena. Kosong. Tiada sesiapa di situ.

“Apa yang perempuan- perempuan tu buat kat dapur ramai-ramai mak? Kita nak buat kenduri ke?” Tanya Amena lagi. Berkerut keningnya memandang ke arah dapur.

Mak Minah toleh ke dapur. Kosong. Tiada sesiapa di dapur.

Mak Minah mengusap lembut rambut anak perempuan tunggalnya itu dan kemudian bangun mendapatkan suaminya yang masih berbual di luar rumah.
Segera Mak Minah menceritakan apa yang Amena nampak. Pak Zuki menarik nafas dalam-dalam. Pak Samad pula seperti berfikir.

“Mati Suri.” Kata Pak Samad. Pak Zuki hanya mengangguk tanda setuju. Mak Minah pula terpinga-pinga.

“Apanya yang mati suri?”

“Anak kitalah. Mati suri.” Jawab Pak Zuki.

“Mati suri tu istilah orang yang mati kemudian hidup semula. Bukan mati sebenar. Tapi seolah-olah mati. Tapi seketika. Macam Amena tulah.” Jelas Pak Samad.

“Dah tu apa kaitannya dengan semua yang Amena nampak tu?” Makcik Minah masih belum faham.

“Minah, anak kita tu dah lalui mati suri. Ramai mereka yang pernah mati suri melalui peristiwa – peristiwa yang di luar akal fikiran manusia biasa seperti kita ni.”

“Betul tu. Kalau Kak Minah nak tahu, ada juga antara mereka yang terbuka hijab selepas mengalami mati suri.” Sampuk Pak Samad.

“Ya Allah. Habis tu kita nak buat macam mana ni bang?. Bahaya bang. Anak kita tu perempuan. Hidup ketakutanlah dia lepas ni.” Risaunya seorang ibu, hanya Tuhan yang Maha Tahu.

“Kita doakan jelah Minah. Benda ni diluar kemampuan kita. Nanti kita cuba usahakan cari orang bijak pandai. Yang penting sekarang ni Amena selamat dan sihat walafiat.” Kata Pak Zuki dengan nada memujuk.

Selepas kejadian itu, Amena pulang ke kampung di Teluk Intan. Dia tidak dapat melalui kehidupan sehariannya seperti biasa kerana sering melihat makhluk – makhluk yang pelik. Ada kalanya menakutkan dan ada juga yang cantik. Ada masa-masa tertentu Amena tidak dapat membezakan yang mana alam realiti dan yang mana alam dimensi lain. Semuanya itu menggangu rutin hariannya.

Setelah hampir setahun berubat secara tradisional dan secara islamik, akhirnya Amena mulai mampu melalui kehidupan sehariannya seperti sedia kala.

Assalamualaikum. Terima kasih kerana sudi membaca karya hamba. Sekadar kisah-kisah ringan buat penglipurlara. Semoga bermanfaat. Adapun semua cerita yang hamba tulis hanyalah rekayasa semata-mata. Tiada kaitan dengan mana-mana pihak samada yang masih hidup ataupun yang telah pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience