“Maaflah dik. Akak takde duit kecik. Lain kali ye.” Fiza memberikan senyuman kepada seorang kanak-kanak lelaki yang meminta sedekah.
“Kau cakap dengan siapa Fiza? Kat tempat ramai orang ni janganlah layan sangat makhluk-makhluk yang orang lain tak nampak.” Tegur Nisha dengan nada tak puas hati.
“Oh ye ke. Sorry. Aku kadang tak dapat beza yang nyata dengan yang tak nyata.”
“Banyaklah kau. Aku pulak yang jadi malu orang asyik pandang-pandang arah kita.”
“Sorry.” Ucap Fiza perlahan.
Walaupun berasa hati dengan kata-kata sahabatnya, Fiza tetap berusaha memaniskan wajah. Nisha sahaja yang sudi berkawan rapat dengannya.
Di kolej, pelajar lain semua menuduh dia minah senget. Apa tidaknya, mereka tidak faham mengapa Fiza sering bercakap dan senyum sendirian. Tapi nak kata gila, dia seorang pelajar kepujian dekan.
“Aku minta maaf ye. Bukan sengaja aku nak marah kau. Dah. Jomlah. Proton New Saga putih tu grab kita rasanya. Haa... Betul dah nombor plat.”
Sebaik sahaja Proton New Saga itu bergerak, Fiza bertanya. “ Sha rasa malu ke kawan dengan Fiza?”
“Ya Allah Fiza. Berapa kali aku nak bagi tahu. Aku tak rasa malu sikit pun.”
Fiza pegang bahu kanan Fiza dan berkata lagi, “Cuma bila kita di luar kampus, aku rasa malulah juga bila orang pandang-pandang ke arah kita. Kalau kat kampus tu lain. Nak-nak kalau kat fakulti kita. Sebab mereka semua dah biasa dengan keadaan kau Fiza.”
“Yelah. Sorry Sha.”
“Its ok. Takde apalah.”
“Sha tak rasa takut ke tengok Fiza macam ni?”
“Sikit pun tak.”
“Betul ni? Sha tak takut ke kalau-kalau Fiza cakap dengan hantu ke?” Senyum Fiza mengusik. Nisha tergelak seketika.
“Anak kena syukur sebab dapat anugerah macam tu. Tak ramai berpeluang untuk nampak makhluk halus ni. Pakcik ni teringin nak tengok. Sampai dah tua ni pun belum ada peluang nak nampak apa-apa.”
“Oh. Ye ke pakcik. Alhamdulilah.”
Sunyi seketika. Malu pula Nisha dan Fiza kerana berbual sehingga terlupa kewujudan pemandu grab.
“Hati-hati pakcik!!!” Tiba-tiba Fiza menjerit.
Spontan pemandu grab itu memutar stering kereta sehingga kereta tersasar keluar ke bahu jalan yang ada selekoh. Sejurus itu juga sebuah kereta Honda Civic merah meluncur laju dari lorong bertentangan sehingga masuk ke lorong kereta yang mereka naiki.
“Astaghfirullah al-Azim. Lajunya kereta tu. Nasib baik sempat elak." Pakcik pemandu grab bersuara lega.
Ketiga-tiga mereka mengurut dada. Muka masing-masing pucat lesi. Terkejut. Lega. Syukur.
“Macam mana anak boleh tahu ada kereta kat selekoh. Selekoh tajam. Pakcik tak nampak langsung ada kereta dari sebelah sana. Laju pulak tu.”
“Alhamdulillah. Nasib baik kita ke tepi cepat. Kalau tak memang kereta tu akan rempuh kita.” Nisha bersuara perlahan seraya menahan tangis namun gagal. air mata di pipi disekat dengan belakang tapak tangan kanan.
“Anak nampak ke kereta tu tadi?”
“Taklah. Tak nampak pun.”
“Habis tu mana Fiza tahu ada kereta tadi?”
“Entahlah Sha. Fiza rasa macam nampak kita dirempuh lori kontena warna kuning.”
Jeda. Nisha dan pemandu grab masing-masing sedaya upaya memproses kata-kata Fiza. Lori kontena kuning?
Tiba-tiba kedengaran bunyi hon yang panjang dari arah belakang.
“Ya Allah!!!” Serentak mereka menjerit sebaik sahaja menoleh ke cermin kereta belakang.
Sebuah lori kontena berwarna kuning meluncur laju dari arah belakang kereta yang mereka naiki. Dek kerana terlalu laju, lori hilang kawalan ketika tiba di selekoh sehingga merempuh kereta Proton New Saga putih yang berhenti di bahu jalan selekoh...
Share this novel