Serupa

Fantasy Series 616

Jam dinding menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Tijah yang sedang memasak di dapur terdengar suara Hafaz yang berusia empat tahun sedang celoteh bercerita.


Sesekali terdengar suara anaknya seolah-olah mengajukan soalan. Segera Tijah mematikan api dapur dan pergi ke pintu antara dapur dan ruang tamu.

Hafaz tiada di ruang tamu. Televisyen terpasang tanpa ditonton. Padahal anaknya amat gemar menonton siaran kartun. Kelihatan pintu bilik stor di penjuru rumah yang bersebelahan dapur terbuka. Pasti Hafaz yang membukanya. Jarang Tijah membiarkan stor itu terbuka.


Perlahan-lahan Tijah menghampiri pintu stor yang terkuak separuh. Hafaz pula sedang berbual-bual dengan seseorang. Namun sayang kelibat individu yang sedang berbual dengan Hafaz terselindung di sebalik daun pintu yang separa tertutup.

“Ibu dah siap masak ke? Kenapa ibu lama-lama duduk sini?” Berkerut dahi Tijah mendengar soalan Hafaz.


Namun Tijah tidak mahu menolak pintu stor untuk melihat gerangan yang berbual dengan anaknya. Tijah tidak mahu Hafaz takut atau terkejut.

“Oh. Ibu dah siap masak. Ibu masak apa hari ni ibu?.”

Tijah cuba mendengar dengan teliti. Namun tiada suara lain selain anaknya seolah-olah sedang bercakap sendirian.

“Wah, ibu masak ayam kicap. Bestnya!” Sedikit terbuntang mata Tijah terkejut. Memang dia masak ayam kicap pun.


"Yelah Ibu. Hafaz nak tengok tv lah ni." Hafaz bangun dari duduknya seraya hendak keluar dari stor.

Bingkas Tijah berlari ke dapur dan bersembunyi di sebalik dinding. Setelah Hafiz duduk di menghadap televisyen dan membelakangkan Tijah, barulah Tijah masuk ke dalam bilik stor. Kosong. Tiada sesiapa. Tijah pegang dada. Bukan takut, tapi sebagai seorang ibu dia lebih risaukan anaknya. Bimbang Hafaz terlalu berimaginasi atau lebih parah jika Hafaz diganggu makhluk halus.

Setelah beberapa ketika Hafaz menonton kartun, barulah Tijah menghampirinya. Perlahan-lahan Tijah duduk di sofa di sebelah Hafaz.

“Aik, bukan tadi ibu kat dalam bilik tu ke?”

“Yelah. Tadi memang ibu kat dalam bilik tu." Dengan lembut Tijah jelaskan. Dia tidak mahu Hafaz tau perkara yang sebenarnya. Tidak mahu anaknya ketakutan.

Hafaz mengangguk dan kembali fokus memandang skin televisyen.
Sejak hari itu pintu bilik stor rumah mereka sentiasa bermangga. Namun begitu, Tijah masih belum menemui jawapan siapakah gerangan yang berbual-bual dengan anaknya. Apa yang pasti, rupa entiti tersebut pasti seiras dengan dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience