“Ok ke rumah ni bang?” Risau juga Emma rasa sebaik sahaja memasuki rumah sewa yang baru disewa.
Dipandangnya sekeliling. Ternyata rumah lama itu agak luas ruang tamunya. Ada tiga bilik namun salah satu daripada bilik dipenuhi barang-barang peribadi arwah ibu tuan rumah.
Di belakang rumah pula dipenuhi hutan belukar. Hish… ok ke ni. Dahla rumah ni kat hujung lorong. Jiran semua rumah jarak-jarak. kena menjerit sekuat hati baru mereka dengar agaknya. Emma hembus nafas berat. Risau.
“Takde apa nak risaulah yang.” Sembari memegang bahu isterinya, Husin menjuihkan mulut ke arah anak mereka Iman.
“Tengok tu Iman ok je. Seronok main ruang luas.”
“Kan abang.” Sambil memerhati Iman, Emma melorek senyuman bahagia.
Hilang risau melihat Iman anaknya yang kini berusia dua tahun setengah kelihatan gembira berlari di ruang tamu.
Malam itu Emma menonton So You Think You Can Dance siaran kegemarannya. Husin pula sedang menonton YouTube.
Tiba-tiba Iman bangun dari pangkuan Emma dan tersenyum. Matanya memandang ke sudut tepi di atas siling. Sambil tersenyum, Iman melambai-lambai tangan dengan gembira.
“Iman lambai sape tu sayang?”
Iman menunding jari telunjuknya ke arah sudut yang sama. Emma keliru.
“Anak ibu nampak sape ye sayang?” Dengan lembut Emma bertanya sambil memberi senyuman kepada Iman meskipun rasa kecut perut.
“Kawan.”
“Oh. Jom kita masuk bilik tengok ayah.”
Segera Emma mengendong Iman. Bingkas dia masuk ke dalam bilik mendapatkan Husin yang sedang berbaring melayan YouTube di telefon bimbitnya.
“Abang, Iman kan bang, dia lambai-lambai kat sape entah.” Bisik Emma.
“Ye ke Yang?”
Husin mengambil Iman dari dakapan Emma. Dibawanya Iman kembali ke ruang tamu. Emma hanya mengekori dari belakang.
“Iman lambai kat sape tadi sayang. Cuba tunjuk kat ayah.”
“Tu. Kawan Iman.” Dengan bersemangat Aman memberi tahu ayahnya. Tangan di tunjuk ke sudut siling. Arah yang sama.
“Kawan Iman baik ke?”
“Baik.” Sekali lagi Iman melambai ke arah 'kawannya' sambil tersenyum.
“Takde apalah Yang. Budak memang macam ni. Jenis mudah nampak-nampak.”
Berkerut kening Emma. Macam tu je ke? Ikut suka hati je laki aku ni cakap macam tu. Kalau benda tak elok macam mana?
“Dahlah takyah pikir sangat. Kalau benda tak elok Iman mesti takut. Mesti nangis.” Emma sekadar mengangguk lemah. Sedaya upaya menghapus risau yang bertandang.
Pagi itu, Husin keluar awal untuk memulakan perniagaan cincin perak di pasar pagi.
Sedang Emma menyisir rambut, tiba-tiba melalui cermin dia ternampak kelibat anak harimau sebesar kucing dewasa berlari masuk ke dalam bilik dan terus ke belakang pintu. Emma mengelipkan matanya beberapa kali. Imaginasi aku agaknya. Hatinya membidas.
Selang beberapa ketika kemudian, Iman masuk ke dalam bilik dan terus menjengah belakang pintu.
“Iman cari apa?”
“Cari kawan.”
“Kawan Iman sape?”
“Kucing.”
“Oh…” Rupanya anak harimau yang Emma nampak sebentar tadi adalah 'kawan' Iman.
Kemudian Iman terus berlari semula ke ruang tamu. Berlari sambil bergelak ketawa seperti sedang bermain kejar-kejar.
Emma melabuhkan duduk di sofa. Bersandar kepala sambil memerhati anaknya yang sedang asyik bermain.
Ya Allah. Anak harimau rupanya. Tak silap apa yang aku nampak tadi. Apa harus aku buat Ya Allah. Tangan kanannya memicit-mucit kepala. Pening.
Petang itu, sebaik sahaja Husin pulang, Emma menceritakan kejadian yang berlaku.
“Takyah risaulah Yang. Iman tu takde kawan. Biarlah dia main dengan kawan dia.”
“Abang ni kan. Takkan nak biar je. Kalau ada apa-apa macam mana?”
“Biarlah. Tu kembar dia tu.”
“Kembar? Bila masa Ayang beranak kembar?”
“Maksud abang, tu kawan dia. Nanti dah besar kita hantar dia masuk Silat Harimau. Sesuai sangat dah tu.” Senyum Husin.
“Pulak. Macam-macamlah abang ni.” Dengus Emma seraya berlalu ke dapur.
Tidak betah mahu melayan suaminya. Kepalanya ligat berfikir bagaimana cara untuk mengetahui lebih lanjut perihal kawan Iman yang misteri itu.
**************"
Hujung minggu Emma sekeluarga pulang ke kampung mentuanya. Peluang tidak Emma lepaskan. Segera dia bertandang ke rumah pakcik saudara suaminya Pak Amid.
“Pak Amid, Emma nak tanya sikit boleh?” Emma memulakan bicara dengan suara lembut sebaik sahaja Makcik Enah meletakkan pinggan berisi pisang goreng di atas meja.
Matanya memandang tepat ke arah Pak Amid sambil tangannya mengusap rambut Iman yang berada dipangkuan. Berusaha sehabis mungkin agar kelihatan tenang meskipun hatinya diamuk kerisauan.
“Apa dia?”
Mak cik Enah mengambil tempat duduk di sebelah suaminya.
“Pak Amid guru silat dulu kan?”
“Emm lama dah Pak Amid tak ngajar silat. Tua dah.” Sengeh Pak Amid menampakkan gigi yang kehitaman.
“Macam ni Pak Amid, Emma pernah nampak anak harimau. Anak harimau tu main dengan Iman.”
“Eh biar betul Emma. Mana datang harimau tu?” Ujar Makcik Enak.
“Awak ni cubalah jangan menyampuk. Biar Emma cerita habis dulu.”
“Tanya je. Abang ni...”
Kedua-dua suami isteri itu memandang tunak wajah Emma. Menanti kata-kata Emma yang seterusnya.
“Haritu Emma ternampak kelibat anak harimau masuk bilik. Lepas tu anak harimau tu menyorok belakang pintu. Tak lama lepas tu Iman masuk bilik cari anak harimau tu. Iman kata tu kawan dia. Kucing katanya.”
“Wah, Emma boleh nampak ye. Mak Enah teringin juga nak nampak-nampak. Tapi hampeh. Sekali pun tak pernah.”
“Nak nampak sangat ke? Macamlah berani sangat. Nak keluar rumah malam ambik daun pandan pun minta orang teman.”
Terburai ketawa Emma mendengar kata-kata Pak Amid yang memerli isterinya.
“Tu lain. Ni nampak yang elok-elok apa salahnya. Saya tak naklah nampak yang buruk-buruk.”
“Benda bukannya boleh pilih-pilih Enah oii.. Kalau yang datang tu rupa elok, maka eloklah yang kita nampak. Kalau yang datang tu hodoh, maka yang hodohlah yang kita nampak.”
Pak Amid bangkit dari kerusinya. Berjalan menuju ke arah Iman. Diambilnya Amar yang berada dipangkuan Emma.
“Cucu atuk Amid ada kembar ye sayang?” Iman malu-malu bila Pak Amid mencium pipinya.
“Kawan Amar yang kucing tu mana?” Pak Amid menduga dengan senyuman.
“Tu.” Amar runding ke arah bawah meja.
“Ya Allah…” Mak Enah angkat kaki naik atas kerusi.
Pak Amid geleng beberapa kali mengerling ke arah isterinya. Emm, tadi dia yang nak tengok sangat. Belum apa-apa dah macam tu.
Emma pula sibuk pandang ke bawah kerusi sambil memicingkan mata beberapa kali. Berusaha untuk melihat di mana anak harimau kawan anaknya. Tapi hampa.
Pak Amid ketawa kecil. Rambut Iman diusap beberapa kali. "Alhamdulillah."
“Emma tak perlu risaulah. Takde apa. Masa kecik ni memang jadi kawan bermain. Dah besar nanti pelan-pelan berkuranglah.”
Terkebil-kebil mata Emma. Kelu.
“Besar sikit nanti masukkan Iman belajar silat.”
“Kenapa Pak Amid? Abang pun cakap macam tu.”
“Takde apa. Cuma bila belajar silat nanti Iman boleh lebih manfaatkan apa yang dia dah sedia ada.”
"Benda tu akan jadi saka Iman ke Pak Amid?" Dada Emma sentuh. Tubir matanya mulai hangat. Risau.
“Asalamualaikum!” Belum sempat Pak Amid bersuara, kedengaran suara Husin di hadapan tangga rumah.
“Waalaikumusalam. Naiklah Sin!” Pelawa Pak Amid tanpa menjenguk ke luar rumah.
"Sembang apa dengan Pak Amid Yang?" Tanya Husin sebaik sahaja mengambil tempat duduk di sebelah Emma.
"Isteri kamu takut Iman dapat saka harimau." Pak Amid mengoyak sengihan.
"Ish Ayang ni ke situ pulak perginya."
"insya-Allah benda tu tak jadi saka." Emma sekadar mengangguk mendengar ungkapan Pak Amid. Berusaha untuk meyakini meskipun pelbagai soalan bermain di fikirannya.
Petang itu, mereka suami isteri berbual panjang tentang Iman dan kelebihannya.
Share this novel