Petang itu selesai majlis perkahwinan Khairul sahahabat suamiku, kami mendapati terlalu banyak nasi dan lauk pauk yang tidak habis. Seperiuk besar ayam gulai dan seperiuk besar nasi minyak serta sayur dalca dan ikan masin.
Ustaz Zul selaku ayah pengantin menyarankan agar kesemua makanan dihantar ke Kampung Melayu Jenagor di Kuala Berang. Sebuah penempatan yang serba kekurangan ketika itu. Tiada bekalan paip air dan tiada elektrik. Mereka hanya menggunakan pelita pada waktu malam dan menggunakan air dari sungai Hulu Terengganu.
“Biar saya hantarlah Ustaz. Saya pun takde apa nak buat. Boleh jugak singgah jumpa kawan – kawan lama.” Suamiku menawarkan diri.
“Alhamdulillah. Terima kasih Gee” Ustaz Zul menepuk -nepuk bahu suamiku beberapa kali.
Kami berangkat sekeluarga. Aku, suami dan anak kami Amar yang ketika itu berusia lima tahun.
Perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kampung Melayu Jenagor memakan masa hampir sejam perjalanan. Jadi tatkala kami sampai di kampung tersebut, azan maghrib mulai berkumandang.
“Kita serahkan makanan kat sini jelah. Abang nak solat ‘kat dalam kejap. Ayang nak solat sini ke nak singgah masjid?” Suamiku memang sering solat di warung lama berhampiran jeti lama di tepi sungai.
“Ala.. Ayang nak masuk dalamlah. Takkan jauh-jauh datang hantar kat luar je. Ayang nak tumpang solat rumah Su.”
Setelah berbincang, aku dan anak dibenarkan oleh pihak pengurusan untuk masuk ke penempatan Kampung Melayu dangan menaiki bot yang mereka sediakan.
Setiba di Kampung Melayu, beberapa orang kampung telah menunggu. Mereka mengangkut makanan dan mendukung Amar untuk menaiki tangga jeti.
“Kak, nanti dah selesai solat kalau nak balik akak turun jelah sini. Saya ada je tunggu sini.” Ujar pemandu bot seraya memasuki pondok untuk para pemandu bot yang terletak di jeti.
“Ok. Terima kasih ya. Tak lama. Akak solat kejap je.”
Aku menaiki tangga menuju ke kawasan perumahan di bahagian atas. Mengah jugalah menaiki tangga yang melebihi 20 anak tangga itu.
“Asalamualaikum! Su! Oh Su! Asalamualaikum!”
“Waalaikumsalam. Ya Allah kak. Tak cakap pun nak datang.” Ceria wajah Su melihat kami berdua tercegat di depan tangga rumahnya.
Su merupakan salah seorang penduduk Kampung Melayu Jenagor. Satu -satunya yang berasal dari daerah yang sama denganku. Daerah Klang Selangor. Jadi aku agak gemar singgah ke ruamahnya setiap kali datang melawat Kampung Melayu. Terubat jugalah rindu pada kampung halaman bila berada di rumahnya.
Berbual dengan Su sesekali terselit perkataan jawa memang menyeronokkan. Aku amat gemar makan masakan Su. Biasalah, bukan mudah untuk merasa masakan orang jawa di bumi Terengganu. Su pula sangat mengerti kerinduanku pada kampung halaman. Maka setiap kali aku datang bertandang pasti dia akan memasak makanan orang jawa.
“Koboanne endi Su?” Tanyaku seraya bergurau. Biasanya Su tidak lupa sediakan semangkuk air basuh tangan.
“Aduhh kelalen Su kak.” Su lantas bangun hendak mengambil semangkuk air untuk tetamu membasuh tangan. Namun aku segera bangun menuju ke sinki dan membasuh tangan.
Selesai urusan, aku bersiap pulang. Ketika menuruni tangga utama Kampung Melayu, rupanya ramai yang telah menunggu untuk menaiki bot. Seramai 40 orang atau lebih. Semua mereka masih muda belia. Berjubah dan berserban putih bersih.
Mungkin datang singgah. Mungkin ada majlis tahlil. Mesti budak-budak pondok tahfiz yang berdekatan. Itulah yang terfikir di dalam hatiku.
Rasa bersalah pula kerana aku pasti mereka agak lama menunggu untuk menaiki bot.
“Maaf sebab lewat. Saya ingatkan takde orang lain yang nak naik bot waktu macam ni.” Namun mereka semua hanya membisu.
Tidak ada seorang pun daripada mereka yang bersuara atau berbual. Semuanya senyap. Orang warak memang selalunya senyap ke?
“Amar salam abang – abang semua.” Aku segera menyuruh anakku agar bersalaman dengan mereka. Namun anakku tidak menghiraukan mereka.
Setiba di jeti, sekali lagi aku menyuruh Amar bersalaman dengan mereka. Tapi anakku tetap tidak menghiraukan kata-kataku.
Sebaik sahaja menuruni tangga jeti, aku dapati di dalam bot juga ramai pemuda berjubah putih. Cuma tinggal sedikit ruang cukup untuk aku dan Amar duduk.
“Maaflah ye. Dah lama ke tunggu semua ni?” Tanyaku sebaik sahaja melabuhkan punggung di tempat duduk.
Tiada siapa yang menghiraukan pertanyaanku. Mungkin budak-budak tahfiz memang tak bercakap dengan perempuan agaknya. Bisik hatiku.
Pemandu bot menghidupkan enjin dan perlahan -lahan bot mula bergerak meninggalkan jeti yang dipenuhi pemuda berjubah putih.
Sebaik sahaja bot agak jauh dari jeti, mereka yang berada di dalam bot semuanya menghilang. Aku pandang ke arah jeti. Kosong. Tiada sesiapa di jeti.
Aku pandang pemandu bot. Dia sibuk mengemudi bot. Patutlah sejak dari tadi tiada yang menjawab pertanyaanku. Patutlah Amar buat tidak tahu ‘je bila disuruh bersalaman.
Malu pula rasa pada pemandu bot tu. Mesti dia dengar aku suruh Amar bersalaman dengan entah siapa-siapa sebanyak dua kali. Siap aku tanya lagi dah lama ke tunggu kepada mereka yang tidak wujud.. Si Amar pula mesti blurr tak tahu nak salam tangan siapa..
Itu adalah kali pertama bahkan buat masa ini adalah yang kali terakhir aku mengalami kejadian yang membuatkan aku tidak dapat membezakan antara nyata dan tidak nyata. Ia seolah - olah berlaku di alam realiti..
Share this novel