Terasa tangannya disentuh lembut. Zahrul yang terlena di birai katil isterinya terjaga.
“Sayang abang dah jaga.” Ditatapnya wajah pucat isteri tercinta.
Zarina yang mengidap Sistemik Lupus Erytomatosis sejak setahun usia pernikahan mereka mengalami komplikasi dua tahun lalu apabila buah pinggangnya mengalami kegagalan. Sejak itu Zarina perlu menjalani hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.
Namun dua minggu lepas dia diserang septesimia iaitu jangkitan dalam sistem darah sehingga mengalami koma.
“Abang kenapa tidur kat sini. Abang baliklah rehat. Sayang ok.”
“Takpe sayang. Abang tunggu. Kat rumah pun bukan ada siapa-siapa. Boring. Baik abang tengok muka isteri abang yang cantik ni.”
Zarina tersenyum lemah. Syukur kerana memiliki seorang suami yang sentiasa sabar melayannya yang telah lebih lima tahun sakit.
“Ni senyum-senyum ni mesti ada makna. Taknak kongsi dengan abang ke?”
“Abang, sayang mimpi pergi ke syurga.”
Berkerut kedua-kedua kening Zahrul. Ingin rasanya dihalang isterinya dari terus bercerita.
“Syurga tu cantik tau bang. Bila tengok ke atas, langit syurga tu penuh dengan bintang-bintang yang bertaburan. Bintang tu semua nampak macam jauh. Tapi bila kita halakan tangan kita untuk capai bintang, perlahan-lahan sebutir bintang akan turun rendah sehinggalah kita dapat petik bintang tu.” Cerita Zarina. Matanya memandang jauh ke atas sambil tersenyum gembira.
“Wah, untunglah isteri abang boleh tengok syurga.” Kekura tangan Zarina diusap dan dikucup penuh kasih.
“Lantai syurga tu kan abang, penuh dengan permata. Macam-macam jenis permata ada. Cantik berwarna-warni.”
Zahrul usap lembut pipi cekung Zarina. Walau kagum, dia tetap risau mendengar mimpi isterinya.
“Bila kita jalan atas lantai syurga tu, rasa licin je. Macam jalan atas lantai kaca. Tapi bila tunduk dan niat nak ambil permata, permata tu akan timbul sendiri. Kita boleh kutip mana-mana permata yang kita nak.”
“Bestnya sayang. Alhamdulillah.” Sedaya upaya senyuman diberi untuk isteri.
"Ada istana tau abang. Istana tu banyak bilik. Pintu bilik tu semua nampak biasa je. Tapi bila masuk bilik tu… Ya Allah bang, setiap bilik tu seluas mata memandang. Tak nampak hujung pun abang.”
Zahrul mula tertarik mendengar kisah mimpi Zarina. Posisi duduk diubah agar lebih selesa.
“Ada bilik tu kan abang, penuh dengan kebun buah-buahan. Semua jenis buah ada. Kalau ada pokok yang tinggi, kita hulur je tangan, buah tu akan merendah sampailah kita boleh capai dengan mudah.”
“Subhanallah. Untungnya sayang abang dapat tengok kebun tu.”
“Istana tu istana kita tau abang. Cuma kita dan bidadari je yang ada dalam tu.”
Zarul senyum ketap bibir menahan sebak. Risau mula menyelubungi.
“Ramainya bidadari abang. Tapi pelik, bila sayang lalu je depan mereka, mereka tengok sayang macam kagum. Macam cemburu je.”
“Mestilah mereka cemburu. Sebab sayang abang paling cantik. Isteri solehah jauh lebih cantik daripada semua bidadari.” Zahrul senyum bangga.
“Terima kasih abang. Sayang abang sangat. Sayang ketat-ketat.” Zarina mula kelihatan bertambah lemah dan mula kelihatan hendak tidur.
“Sayang tidurlah. Rehat. Abang ada sini.”
Tiba-tiba mesin monitor pernafasan dan jantung berbunyi menandakan sistem vital pesakit mengalami masalah.
Doktor dan beberapa jururawat yang bertugas bergegas masuk. Langsir katil ditutup. Zahrul diminta agar tunggu di luar ward.
Setelah hampir setengah jam mundar-mandir di luar ward, seorang doktor keluar dari ward. Segera Zahrul mendapatkan doktor tersebut.
“Macam mana keadaan isteri saya doktor?”
“Macam nilah encik Zahrul. Rasanya dah tiba masanya encik panggil ahli keluarga untuk menemui puan Zarina. Minta maaf. Kami sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Hanya tunggu masa sahaja.
“Baiklah doktor. Terima kasih sebab dah berusaha.” Meskipun sedih, Zarul faham susah payah doktor dan staf perubatan yang bersungguh-sungguh melaksanakan tugas mereka.
Doktor Firash menepuk bahu Zahrul beberapa kali sebelum berlalu.
Petang itu Zarina menghembus nafas terakhirnya di sisi suami serta kedua-dua ibu dan bapanya.
Share this novel