Taubat

Fantasy Series 616

“Bye Min, akak balik dulu. Tata, titi, tutu.”

“Bye Kak Ros. Take care.” Norazlin memusingkan badan dari meja belajarnya sambil memberi senyuman kepada Roslina.

Roslina yang merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan kerap pulang ke rumahnya yang terletak di Petaling Jaya. Justeru itu, Norazlin pelajar semester dua Matrikulasi Sain Hayat sering tinggal sendirian tanpa rakan sebilik.

Seperti hari-hari yang lain, Norazlin membuat tugasannya di meja belajar yang menghadap tingkap. Sesekali dia menjenguk keluar melihat pemandangan padang serta bukit-bukau yang sayup-sayup kelihatan. Dari tingkat empat Kolej Canselor UPM itulah dia sering memerhati pasukan PALAPES membuat latihan di padang kawat.

Dua rakan karibnya Suhaidah dan Hanifah tidak sihat hari ini. Suhaidah demam masuk hari kedua manakala Hanifah yang juga rakan sebilik Suhaidah mulai demam pagi tadi.

Kebiasaanya mereka berdua akan datang melepak di bilik Norazlin setiap malam hingga lewat malam. Bersama membuat tugasan kerja tutorial, mengulang kaji sambil berbual dan bergurau senda.

Azan berkumandang mematikan lamunan Norazlin. Matanya memandang ke arah senaskah al-Quran di atas almari.

Ya Allah, lamanya aku tak mengaji. Dah dekat setahun.
Kemudian pandangan beralih ke arah kain telekung yang tersangkut.
Kat rumah dulu ada jugalah aku sembahyang walaupun waktu maghrib dan isyak je. Dah kat sini, sebulan sekali pun belum tentu aku sembahyang. Teruknya aku ni. Solatlah jom. Boring pulak takde apa nak buat.

Norazlin bingkas mengambil air wuduk dan kembali ke biliknya untuk mengerjakan solat. Usai solat, dia berdiri di depan cermin. Menyisir rambutnya yang lurus melepasi paras pinggang. Lampu bilik tidak dibuka. Hanya lampu meja belajar sahaja yang dibuka. Tingkap pula memang tidak pernah ditutup. Maklumlah berada di tingkat empat bangunan Mahsuri. Siapalah yang nak panjat.

Sedang Norazlin menyisir rambut, dia berasa seolah-olah ada yang merenungnya dari luar tingkap. Dia menoleh memandang ke luar tingkap. Namun tiada sebarang kelibat di luar tingkap.

Takkanlah. Mana ada sesiapa di luar. Top floor ni. Takde apalah aku ni. Perasaan je. Norazlin kembali menyisir rambut. Masih berasa seperti direnung tepat. Sekali lagi dia menoleh. Juga tiada sesiapa.

Kali ketiga berasa direnung. Norazlin sekali lagi menoleh. Pada mata kasar dia tidak melihat sesiapa di luar tingkap. Namun terdetik di hatinya penuh yakin. Malaikat maut sedang merenungnya dari luar tingkap.
Serta merta sikat di tangannya terlepas. Norazlin melorot duduk di penjuru bawah tepi almari. Kedua-dua lutut rapat ke dada. Dia menangis semahu-mahunya.

Terbayang neraka dan siksa kubur yang menanti. Norazlin jarang solat dan jarang berpuasa pada bulan Ramadan. Aurat juga tidak ditutup dengan sempurna.

Pintu bilik dibuka. Terdengar suis lampu dipetik. Serta merta bilik yang kelam menjadi terang-benderang. Balqis pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Komputer menerpa mendapatkan Norazlin. Selaku senior floor, dia terpanggil untuk menjengah tatkala mendengar raungan Norazlin yang bagaikan histeria.

“Mengucap Lin, mengucap. Ya Allah… Kenapa ni dik.” Balqis memeluk Norazlin erat sambil tangan menggosok lembut belakang tubuhnya.

Air mata Balqis bergenang tubir mata. Dibacanya Surah al-Fatehah berulang kali. Hati berdoa agar Norazlin dikurnia ketenangan.

Tangisan dan raungan Norazlin mulai mereda dan kini tinggal sisa-sisa sedu. Norazlin menoleh ke arah tingkap.

“Kenapa Lin? Lin tengok apa?”

“Tadi ada malaikat maut kat luar.”

“Allahuakbar.” Ucap Balqis perlahan. Kedua-dua keningnya bertaut keliru.

“Lin tak nak mati kak Qis. Lin banyak dosa. Lin mesti masuk neraka nanti.” Tangis Norazlin pecah kembali.

“Takpe sayang. Kita perbaiki sama-sama. Pintu taubat sentiasa terbuka Lin. Akak ada. Lepas ni Lin ikut akak. Kita sama-sama solat taubat ye.”

Mereka solat taubat bersama. Kedua-duanya hanyut dalam tangisan taubat.
Sejak itu, Norazlin mulai berubah. Memakai tudung dan setoking ke kuliah. Solat lima waktu dijaga sebaik mungkin. Norazlin mula menghadiri aktiviti-aktiviti surau dan menghadiri ceramah anjuran kampus.

Lebih tiga bulan berlalu. Genap 100 hari peristiwa Norazlin bertaubat nasuha. Kini tiba bulan Ramadan. Setelah mengambil makanan di cafe, Balqis dan rakan sebiliknya Nina mengetuk pintu bilik Norazlin. Mungkin Norazlin terlewat bangun sehingga tidak nampak kelibatnya di cafe.

”Assalamualaikum Lin!”

Setelah memberi salam sebanyak tiga kali, Balqis memulas tombol pintu.

“Shhh…” Nina angguk faham.

Mereka berdua duduk di pinggir katil menanti Norazlin selesai solat. Mungkin mengerjakan solat tahajud.

Setelah agak lama, Nina menyiku Balqis sebaik sahaja kedengaran bunyi bedilan kedua masjid menandakan telah masuk waktu imsak. Balqis kerut dahi.
Perlahan-lahan Balqis menyentuh tubuh Norazlin yang sedari tadi sujud. Sebaik sahaja disentuh, tubuh Norazlin jatuh ke sisi. Balqis membetulkan posisi baring Norazlin. Masa dan nadi diperiksa.

“Inna Lillahi wa Inna lillahi Rojiun.” Kedua-dua mereka menangis sebaik sahaja mendapati Norazlin telah kembali ke rahmatullah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience