Lisa hanya memandang pergerakan tangan lelaki Cina yang berdiri tidak jauh dari mejanya. Lagak lelaki itu persis kesurupan. Mata hitamnya ke atas sehingga hampir hilang. Jari-jari tangan pula berubah-rubah. Sekejap tunjuk angka satu, sekejap angka lima sekejap angka lain. Tapi pelik kerana lelaki itu seolah memandang ke arahnya.
“Dia bagi nombor kat you tu. Ambillah.” Suresh yang berdiri tidak jauh daripadanya bersuara.
“Taknaklah. Nak buat apa? “
Usai menepuk dahi Suresh menggeleng beberapa kali. Lupa pula yang Lisa ni seorang yang beragama Islam. Mana boleh main nombor ekor.
“Dia bagi you nombor maknanya nombor tu untuk you sorang je. Kalau orang lain yang ambik nombor tu takkan menjadi. Kalau pun mengena tetap akan kena suwei sebab bukan you yang ambik.”
Lisa sekadar mengangkat kedua-dua bahu. Dia tidak berminat. Cukuplah apa yang dia ada. Syukur apa adanya. Untuk apa jadi kaya raya andai semuanya hanya dosa.
Keesokan harinya. Pagi-pagi lagi Suresh sudah datang ke meja jualan nasi lemak Lisa.
“Lisa, you tau tak. Nombor semalam dapat nombor satu tau. Melepas you nak jadi jutawan.” Kata Suresh sambil menumbuk-numbuk tapak tangannya sendiri beberapa kali. Ketara tidak puas hati. Seolah dia pula yang rugi besar.
“Takpelah Suresh. Bukan rezeki saya.” Merendah diri Lisa jawab sambil tangan tetap laju mengupas telur rebus.
“Esok lusa kalau orang tu datang lagi bagi nombor, you ambik jelah. Lepas tu kalau menang, bagi je kat I .”
Lisa hanya senyum. Malas nak melayan permintaan si Suresh.
Sesekali Lisa mengerling ke satu arah. Lelaki tua berserban itu menggeleng sambil tersenyum.
Ya, lelaki tua itulah yang sering dia nampak. Bagaikan penjaga peribadi. Jika ada yang tidak kena, pasti lelaki tua itu akan muncul dan seolah-olah memberi isyarat.
Jika perkara baik, lelaki itu akan mengangguk. Jika tidak baik maka lelaki tua itu akan mengeleng. Yang pasti senyuman tidak pernah lekang di bibirnya.
Siapakah lelaki itu? Lisa sendiri tidak tahu. Tidak pernah kenal dan tidak tahu namanya. Yang Lisa ingat, lelaki itu ada di masjid Jamek ketika dia melafazkan syahadah memeluk Islam dua tahun lalu.
Lisa kurang pasti samada orang lain juga dapat melihat lelaki tua itu. Yang Lisa pasti, lelaki tua itu tidak ubah seperti pembimbingnya. Kendatipun hanya sekadar memberi isyarat tanpa suara.
Share this novel