Cik Ponti Salon

Fantasy Series 616

Seperti biasa Aini, Misha dan Kuna membuka salon kecantikan pada jam 10 pagi. Salon Kecantikan Nusaria telah beroperasi sejak lima tahun lalu. Puan Ida selaku majikan mereka menyediakan tempat penginapan untuk pekerjanya di bilik paling belakang salon.

“Dah petang ni. Takde sorang pun customer datang.” Rungut Aini

“Kan. Biasanya awal bulan dah tiga empat orang datang belah pagi. Kalau petang macam ni memang tak menang tangan kita.” Kuna turut mengeluh.

“Takpelah. Esok-esok kot ramai customer. Jangan risaulah.” Misha memujuk dua rakan sekerjanya.

Alunan muzik penggera di pintu masuk kedengaran menandakan pintu sedang dibuka.

“Ha, panjang umur customer.” Suara Misha separa berbisik seraya berdiri untuk menyambut pelanggan pertama mereka.

“Asalamualaikum. Selamat datang. Sila masuk cik Filzah. Lama tak nampak cik.”

“Waalaikumsalam. Sibuk sikitlah Misha. Ni pun kebetulan saya ada kerja dekat area sini. Tu yang singgah tu.”

“Cik Filzah nak buat rawatan apa ye.”

“Ingat nak mandi bungalah. Sebelum tu buat body scrub sekali. Stok bunga cukup tak?”

“Ada cik. Tujuh bunga semuanya.”

“Ok. Cantik.”

“Kuna, Cik Filzah nak buat body scrub dengan mandi bunga.”

“Ok. Saya siapkan mandian.” Kuna segera ke ruang mandi.

“Jom Cik Filzah. Kita ke bilik pertama.” Pelawa Misha.
Alhamdulillah lega ada customer. Harap-harap ada lagilah yang datang. Aini yang memerhati sedar tadi tersenyum lega.

Muzik penggera di pintu berbunyi lagi. Bingkas Aini menuju ke pintu.
Aik takde orang? Segera Aini buka pintu dan jenguk keluar. Manalah tahu ada pelanggan yang jenguk sekejap, kemudian berubah hati. Namun tiada kelibat sesiapa di kaki lima.

Aini bergerak ke kaunter penyambut tetamu kembali. Belum sempat dia melabuhkan punggung, kedengaran muzik penggera pintu berbunyi lagi.
Bingkas Aini berlari membuka pintu dan menjenguk ke luar. Tiada sesiapa juga!
Dah rosak agaknya loceng ni. Nantilah aku bagitau puan.

“Oh pocot… kau ni Misha!” Tak puas hati rasanya bila Misha tiba-tiba mencuit pinggang kirinya.

“Apasal kau tengok-tengok pintu tu? Ada anai-anai ke? Khusyuk semacam. Ke kau jampi supaya ramai customer?”

“Kalau aku pandai jampi memang aku dah jampi dah. Ni ha, loceng pintu ni aku rasa rosak dah kot. Asyik bunyi sendiri.”

“Oh ingat apa tadi. Aku nak pergi restoran hujung tu. Kau nak order apa-apa tak?”

“Taknaklah. Aku kenyang lagi. Cik Filzah mana?”

“Ada tu kat bilik tengah. Kuna layan dia mandi bunga. Oklah aku pergi dulu. Bye.” Misha membuka selipar salonnya dan kemudian memakai sandalnya yang diletak di rak kasut di tepi pintu masuk.

“Ehh!..” Misha separa menjerit. Terkejut.

“Nape Misha?” Aini segera membuka pintu sebaik sahaja melihat Misha berundur beberapa tapak ke belakang sehingga terlanggar daun pintu kaca yang tertutup.

“Err… takde apa-apa… Oklah aku pergi dulu.” Misha berlalu dengan kening yang berkerut. Rasa macam aku hampir terlanggar orang tadi. Detik Misha.

******

“Kuna, salon ok tak? Memang hari ni takde orang ke.?”

“ Salon ok je Cik Filzah. Cuma sejak akhir-akhir ni tak berapa meriah. Belum rezeki agaknya.”

“Tak ikhtiar ke? Manalah tau ada yang buat apa-apa. Bisnes kan. Memang ada yang akan dengki.”

“Entahlah Cik Filzah. Kat Shah Alam ni ada ke orang amalkan benda-benda macam tu?”

“Kenapa pulak takde?”

“Yelah… sini kan ramai orang moden dan berpelajaran. Takkanlah ada yang percaya benda-benda macam tu.”

“Huishhh… kau jangan. Zaman boleh berubah. Tapi hasad dengki mana berubah. Selagi manusia ada hasad dengki, selagi tu benda-benda macam ni akan terus wujud.”

Kuna sekadar mengangguk. Nantilah aku sembang dengan Aini dengan Misha. Dorang berdua orang asal sini. Mesti dorang tau.

“Ok Cik Filzah, rasanya boleh dah kalau Cik Filzah nak keluar dari bath tub ni. Tuala saya letak sini . Saya tunggu di ruang menunggu ye.”

“Ok Kuna. Thanks”

Selang beberapa detik kemudian Cik Filzah terlihat kelibat melintas.
Ya Allah. Kat sini pun ada benda. Sebelum ni takde pun. Patutlah kurang customer. Bingkas Cik Filzah keluar dari bilik persalinan. Meremang bulu tengkuknya.

********

“Kuna, Aini... saya cakap sikit boleh?”

“Ye Cik Filzah. Ada masalah ke dengan servis kami?”

“Eh, bukan pasal servislah. Salon ni antara favorite sayalah.”

“Alhamdulillah. Terima kasih Cik Filzah.”

“Saya rasa salon ni kena buatan orang.”

“Betul ke ni Cik Filzah? Mana Cik Filzah tahu?” Hampir serentak Aini dan Kuna bertanya.

“Saya nampak kelibat tadi masa kat bilik persalinan.”

“Ala… macam mana ni Kuna. Aku baru je rasa tak sedap hati dari tadi.”

“Kau punya tak sedap hati tu memang manjang ada. Entah bila sedap hatinya nak datang kalau asyik layan tak sedap hati.”

“Serius ni Kuna. Ni memang betul-betul. Bukan cobaan…” buat gaya filem Pendekar Bujang Lapok pula si Aini.

“Cik Filzah nampak macam mana tadi ye. Macam mana Cik Filzah tahu yang kelibat tu kaitan buatan orang?” Lembut Aini bertanya.

“Saya nampak cik ponti.” Jawab Cik Filzah separa berbisik.

Sontak Kuna memeluk Aini sambil pejamkan mata. Aini mengurut dada. Patutlah dia rasa semacam je sejak kebelakangan ini.

“Takpelah Aini, Kuna, saya balik dulu ye. Nanti suruhlah majikan korang cari orang pulihkan salon ni. Asalamualaikum.”

“Waalaikumussalam Cik Filzah. Terima kasih. Datang lagi lain kali ye.” Aini menghantar Cik Filzah ke pintu.

Sebaik sahaja Cik Filzah melangkah dari salon, Misha muncul. “Err… asalamualaikum Cik Filzah. Nak balik dah ke?”

“Siap dah. Jumpa lagi Misha. Bye.”

“Bye Cik Filzah.”

Aini yang masih membuka pintu salon berasa pelik dengan Misha yang seolah tergamam seketika sebelum menegur Cik Filzah.

“Kau kenapa?”

“Shhh… takde apalah. Tepi sikit. Yang kau block pintu ni nape. Tak bagi aku masuk?”

“Kalau aku tak bagi masuk kau nak pergi mana? Ni tempat kau kerja dan ni juga tempat tinggal kau tau.”

“Malas layan…” Sempat Misha menarik tudung bawal Aini sehingga senget sebelum melarikan diri daripada Aini.

Kuna sekadar melihat keletah dua rakan sekerjanya bersahaja. Fikirannya masih tentang apa yang diperkata olah Cik Filzah.

“Hoi Cik Kuna. Jauh menung. Rindu kampung halaman ke. Ke rindu kepok lekor dan budu ?” Usik Misha.

“Kau tahu Misha, tadi Cik Filzah kata dia nampak kelibat kat bilik persalinan.” Ujar Kuna tanpa menjawab pertanyaan Misha.

Tanpa berkata apa-apa, Misha meletakkan bungkusan makanan yang baru dibelinya di atas meja sofa. Dia beredar ke dapur untuk mengambil pinggan dan sudu. Kemudian kembali duduk di sofa.

“Kau dengar tak Kuna cakap tadi tu?”

“Dengar.” Misha mula menadah tangan kiri. Baca doa makan sambil tangan kanan membuka bungkusan yang dibeli dan memasukkan ke dalam pinggan.

“Dah tu?” Aini jongket kedua-dua kening.

“Dah tu apa? Dah tu gitu jelah. Takkan nak aku menjerit kot. Ke kau orang nak aku nangis?”

Kuna tepuk dahi dengan tangan. Aini peluk tubuh dan bersandar di sofa. Biar betul si Misha ni.

“Senja dah ni.” Suara Aini perlahan. Matanya melilau ke sekeliling.

Kuna bingkas bangun. Semua lampu di salon dihidupkan. Semuanya termasuk lampu luar dan lampu tandas!

“Aku dah call puan tadi. Dia kata hujung minggu ni dia akan bawa orang berubat salon.” Jelas Aini.

“Misha… kau dengar tak tu apa Aini cakap?” Dengan tak puas hati Kuna menyiku Misha yang sedari tadi asyik menonton televisyen.

“Ye, aku dengar. So?” Mata Misha tetap tertancap pada skrin televisyen. Tenang. Seperti tiada apa-apa yang dirisaukan atau ditakutkan.

“Maknanya lagi lima hari. Lima hari kita kena hadap benda tu.”

“Relak, kau orang ni cubalah bawa bertenang. Benda tu bukan baru hari ni. Cuma hari ni je kita baru tahu.”

Jeda seketika. Masing-masing menoleh ke kiri dan kanan.

“Maksud aku, kau orang baru tahu hari ni.” Kata Misha diikuti gelak kecil melihat aksi heroin drama yang terjatuh ke dalam longkang.

“Hah?” Serentak Kuna dan Aini tercengang.


"Mana kau tau? Dah tu nape tak bagitau kitaorang?" Aini segera memegang kedua belah pipi Misha. Dipusingkan kepala Misha agar menghala ke mereka berdua.

“Kan aku dah bagitau dulu. Aku ni jenis kadang-kadang boleh nampak. Kadang-kadang jelah.”

“Kau nampak ke Misha benda yang Cik Filzah nampak tu?” Kuna renung muka Misha.

“Nampak.”

“What!!!”

“Shhh… kau orang ni kenapa. Asyik cakap serentak je. Kelakarlah.” Gelak Misha.

“Tak sekarang ni aku nak tanya, bila kau nampak? Cuba cerita apa yang kau nampak tu.” Aini ubah posisi dari duduk di sofa bertentangan Misha ke sebelah kanan Misha.

“Malas nak bagitau. Kalau bagitau jadi macam nilah. Tengok kau orang ni. Tiba-tiba jadi super penakut. Buka Astro pun tak. Asyik melekat je kita bertiga pergi mana-mana.”

Misha bangun menuju ke bilik penginapan mereka. Apa lagi, Kuna dan Aini juga mengekori di belakang. Benarlah kata Misha, mereka asyik melekat ke mana-mana.

“Dahlah. Malam-malam ni tak elok cerita merepek-repek. Esok pagi kita sambung.” Misha menarik selimut.

Segera Kuna dan Aini mengambil tempat di kiri dan kanan Misha.
Sebaik sahaja Kuna dan Misha telah lena, Aini pula segera bangun dan mengambil tempat di tengah-tengah antara Misha dan Kuna.

“Kenapa kau kat tengah ni?”Bisik Kuna.

“Hish… terkejut aku. Ingat kan kau tidur dah.”

“Tidurlah woi.” Misha pula bersuara.

“Aik. Kau pun belum tidur lagi. hehehe…” Sengeh Aini. Malu rasanya kerana beralih ke tengah.

“Aku tak boleh tidurlah. Makcik tu macam tau je kita dah tau. Asyik pandang kita je.”

“Makcik mana Aini? Kau pun nampak jugak ke?” Bisik Kuna.

“Aku tak nampak. Tapi aku boleh rasa.”

“Dah tu kalau rasa takkan kau boleh tau dia tengok kita je?”

“Manalah aku tau. Aku memang tau dengan rasa. Memang dia tengah tenung je kita bertiga sekarang ni.”

“Sejak bila kau pandai main rasa-rasa ni?”

“Sejak kecik.”

“Oh… kau boleh rasa, Misha boleh nampak. Maknanya aku sorang jelah yang tak tau apa-apa ni.”

“Betul tu. Kau sorang je tak nampak dan tak rasa.” Perlahan tapi jelas kedengaran di telinga Kuna.

Kini giliran Kuna pula beralih ke tengah-tengah di antara Aini dan Misha sambil menjerit dan menutup kepala dengan bantal.

“Woi kau kenapa?” Tanya Aini hairan.

“Aku dengar suara dia kat sebelah kanan aku tadi.”

“What!?”…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience