BAB 2

Drama Completed 667

ESAKANKU semakin meninggi. Pedih pipi ini menerima tamparan daripada
Abang Iqbal. Belum sempat aku membuka mulut, keluarga terlebih dahulu
mendapat berita perpisahan aku dengan Rashid .

“Mana kami nak letak muka ni, Ees ? Kau buat tu, kau ada fikir tak pasal
kami? Pasal mak dengan ayah? Pasal aku?” tengking dia lagi.

Mak ayah juga langsung tidak mempedulikan aku. Kala ini, aku amat
memerlukan sokongan mak tapi dia juga sama seperti Abang Iqbal.
Menyalahkanku.

“Ees tak salah. Rashid yang nak putuskan pertunangan kami. Bukan Ees ,”
beritahuku dalam esakan. Ayah menggeleng. Mak mengeluh dan Abang Iqbal
pula merengus kasar.

“Kalau betul Iz yang tak nak dekat kau, masakan dia boleh datang jumpa
kami cakap kau nak tinggalkan dia sebab kau ada jantan lain? Sekarang
ni, aku nak tahu, kau memang ada jantan lain ke tidak sebab Rashid cakap
lelaki tu sendiri pesan dekat dia jangan kacau kau lagi?”

Mataku bulat dengan kenyataan Abang Iqbal. Cepat betul Rashid bertindak
sebelum aku. Dia sudah punyai Rika, kenapa masih mahu mengadu perkara
yang bukan-bukan kepada keluarga aku? Dan dia… Dialah yang menjadi punca
segalanya. Membuatkan aku ditampar oleh abangku.

“Ees tak kenal siapa dia, bang. Sungguh Ees tak kenal.”

“Kalau Ees tak kenal, tak kan Ees biarkan dia peluk bahu Ees , lepas tu
Ees ikut je dia bila dia tarik Ees ?” soal mak pula. Dia sudah mula
mengalirkan air mata. Wajahku langsung tidak dipandangnya.

“Masa tu Ees ...” Aku sudah tergagap-gagap. Sungguh aku tidak sedar apa
yang telah terjadi padaku masa itu.

Tapi, aku rasa sedikit terbela bila Jehan hadir tanpa aku duga. Walaupun
tidak pernah mengenali wajah itu, aku terasa lega bila dia sudi menjaga
maruah diriku di depan Rashid dan Rika.

“Masa tu apa, Ees ? Ini mesti salah kau ni. Kalau tak, tak kan Rashid
mengadu nak putuskan pertunangan dia dengan kau. Betul dah tu, kau
memang ada orang lain,” tekan ayah pula.

“Tak, yah. Ees memang tak kenal dia. Masa tu dia nak tolong Ees je bila
dia lihat Ees tengah merayu Rashid bila Rashid nak tinggalkan Ees untuk
perempuan lain,” ujarku berterus terang.

“Arhh, kau jangan ingat kami nak percaya, Ees . Pepandai pulak kau cakap
Rashid ada perempuan lain sedangkan kau tu yang ada jantan lain. Aku tak
kira, kau pergi jumpa Rashid balik, jangan biar dia putuskan pertunangan
ni. Majlis nikah dah tak lama dah, kau senang-senang buat perangai.
Kalau aku jumpa budak Jehan tu, tahulah aku ajar dia,” marah Abang Iqbal
lagi lantas dia berlalu. Berdentum pintu itu dihempaskan. Aku pula hanya
mampu mengalirkan air mata sendiri.

“Ayah tak kira, Ees . Selagi Ees tak dapat pujuk Rashid balik, selagi tu
Ees jangan balik rumah ni,” tekan ayah tegas.

“Ees memang tak salah mak, ayah..” rengekku. Tapi, ayah terus berlalu
dengan rengusan kasar. Hanya mak yang singgah sebentar di sisiku,
menepuk bahuku lembut.

“Ees dengarlah cakap Abang Iqbal. Pergi cari Rashid sekarang. Minta maaf
pada dia,” ujar mak lemah lantas dia juga berlalu.

Tubuhku terasa longlai lalu aku jatuh terduduk di birai sofa. Pedih
dengan layanan keluarga sendiri. Benci bila Rashid meletakkanku sebagai
punca untuk dia memutuskan hubungan ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience