LANGIT yang kelam aku renung lama. Sekelam masa depanku. Sekelam kisah
hati ini. Aku seka airmata ini dengan kasar. Semakin ku seka, semakin
lebat pula. Tanpa tempat berlindung, tanpa pendapatan, tanpa teman, aku
bagaikan tercampak jauh ke tengah lautan. Membiarkan diri terumbang
ambing sendiri tanpa ada yang sudi membantu.
”Rashid ,” seru Jehan . Bila aku kalih, dia sedang menghulurkan sebotol air
mineral buatku.
”Betul tak nak makan ni?” tanya dia. Aku menggeleng bila teringatkan
yang dia belum mendapat gaji dan andai ada pun, berapalah sangat untuk
kerjanya sebagai pembantu stor di pasaraya Parkson itu.
”Kenapa awak cakap macam tu tadi, Rashid ?” tanya dia tenang selepas
melabuhkan duduk di sisiku. Agak menjarak.
Aku tidak terus menjawab, sebaliknya aku lemparkan sekali lagi
pandanganku ke dada langit malam yang semakin merangkak tua.
”Awak tahu tak, awak dah susahkan diri sendiri?”
”Dan saya juga menyusahkan awak, Jehan ,” sambungku pantas. Tubir mataku
bergenang lagi. Dia ketawa nipis. Air mineral itu diteguknya lagi.
”Saya dah biasa susah, Rashid . Saya ni anak yatim. Lari dari rumah anak
yatim, dah lama hidup sendiri. Macam-macam kerja saya dah buat.
Macam-macam benda dah saya lalu. Kena maki tu toksah cakap lah. Tapi,
awak lain. Awak puteri pada keluarga yang kaya. Awak tak takut ke hidup
kat luar sorang-sorang?”
Aku telan liur yang terasa kelat. Perit tekak ini hendak meluahkan kata.
Biarpun aku teguk air ini, perit itu semakin menyengat.
”Saya tak ada pilihan, kan?” soalku semula pada dia.
”Saya memang tak pernah ada pilihan dalam hidup ni, Jehan . Mungkin orang
lihat saya adalah seorang puteri dalam rumah banglo tu, tapi kehidupan
saya bagaikan satu urusniaga saja pada mata keluarga. Bila saya disuruh
menerima Rashid , saya ikhlaskan hati menyintai dia. Bila hubungan atas
dasar perniagaan ini putus, saya terus dibuang keluarga. Hari ini, saat
ni, saya tak ada apa-apa. Saya tak ada tempat tinggal, saya tak ada
teman, saya tak duit. Seperti kata awak, saya hanya ada Allah tempat
saya berlindung. Tempat saya bergantung harap,” ujarku sebak.
Jehan diam saja. Mata itu sedari tadi merenung wajahku. Seperti biasa
juga, wajah tanpa riak. Aku ketap bibir membalas renungannya. Sesaknya
dada ini memikirkan keluarga sendiri telah membuang aku jauh dari mereka.
”Mungkin awak rasa awak susah sebab awak anak yatim, dicaci, dimaki demi
sesuap nasi. Tapi saya, diatur dalam segala hal demi sebuah kehidupan,
Jehan . Sukar, kan menjadi seorang perempuan. Hidup sendirian di luar yang
memang sudah jelas bahayanya yang menanti. Tapi, saya yakin dengan
Allah. Dia akan melindungi saya. Akan sentiasa ada bersama saya,”
sambungku kembali dan kali ini, bahuku kembali terhenjut-henjut.
”Saya pasti awak ada pendidikan, Rashid . Awak boleh mulakan hidup baru.
Buktikan yang awak boleh hidup tanpa mereka. Marah ibu bapa ni sekejap
je, Rashid . Dah reda nanti, mesti mereka cari awak semula. Yakinlah!”
pujuk dia bersungguh-sungguh.
Kepala ini aku geleng beberapa kali. “Awak tak kenal ayah dan abang
saya, Jehan . Setiap kata-kata itu mesti dikota. Setiap kata-kata itu
adalah bisnes buat mereka. Termasuk saya menjadi cagarannya. Bila ayah
kata dia bekukan semua akaun saya, ternyata benar, kan?”
Aku terkedu di mesin ATM tadi bila ternyata akaun kepunyaanku sudah
dibekukan. Sudahlah kala ini, wang di dalam poket jeans hanya ada
beberapa puluh ringgit saja.
”Awak ada kelulusan. Try la pergi interview kat mana-mana,” cadang dia
lagi dan aku pantas menggeleng.
”Bila dia kata akan senarai hitamkan nama saya, pun sama juga. Kecuali
saya kerja di tempat-tempat biasa je. Waktu ni saya tak boleh memilih.
Apa saja kerja, saya sanggup buat asal saya dapat teruskan hidup,”
jawabku kembali.
Jehan renung wajahku lagi. Kali ini, kau nampak bunga senyum pada hujung
bening matanya.
”Nak kerja ni, kena ada modal, Rashid . Maksud saya, modal ni, dari segi
pakaian buat masa ni sebab awak dah la sehelai sepinggang. Esok nak
pakai apa? Sekarang ni nak tinggal dekat mana?” Dia beriak risau. Aku
hela nafas panjang dan memaksa diriku mengukir senyuman menerima
ketentuan hidupku kali ini.
”Terima kasih, Jehan . Sudi risaukan saya.” Aku berdehem beberapa kali.
Sebolehnya aku akan pastikan bibir ini tersenyum saja nanti biarpun hati
aku akan terus menangis.
”Awak pergilah. Saya rasa dah tiba masanya saya pandu arah hidup saya
sendiri. Bila fikir balik, inilah yang saya nanti selama ni. Bebas
menjadi boneka keluarga sendiri. Bebas dari dibentuk oleh mereka sesuka
hati. Saya janji dengan diri sendiri, rentak hidup ini akan beralun
indah. Tak mungkin ada gema yang sumbang. Kita berpisah di sini jelah.
Maafkan saya sekali lagi sebab saya awak terpaksa tanggung semua ni.
Bila awak tanya kenapa saya hadang tubuh saya dari biarkan awak kena
pukul tadi, dan sanggup mengaku yang awak suami saya hanya kerana satu
jawapan je Jehan . Saya rasa sakit sangat bila melihat awak sakit. Saya
tak tahu kenapa, tapi itulah seikhlasnya yang hati saya rasa,” ucapku
pada dia.
Jehan terkedu. Mulutnya sedikit melopong. Aku renung dia lama kali ini.
Melihat penampilannya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Rambut yang
agak panjang mencecah kolar baju, wajah yang agak selekeh dengan misai
dan janggut tipis, jeans lusuh yang sedikit koyak di lutut dengan kasut
yang juga agak lusuh. Segala yang membaluti tubuhnya lusuh namun aku
yakin, hatinya segar, tidak pernah lusuh melihatkan kesungguhannya
mempertahankan aku daripada fitnah Rashid .
”Terima kasih sekali lagi, Jehan . Hanya terima kasih yang mampu saya
ucapkan. Sebab saya tak ada apa nak beri pada awak. Tak ada wang nak
bayar.” Aku bangkit dan menyapu belakang seluar. Tudung yang ditiup
angin, aku betulkan sedikit.
”Awak nak ke mana, Rashid ?” tanya dia turut bangkit.
”Takdir saya akan bawa langkah saya ke arah yang sepatutnya saya
melangkah,” jawabku berjeda. Jehan senyum sinis.
”Jangan terlalu berserah pada takdir Rashid . Takdir meminta kita
berusaha. Bukan berserah semata-mata. Jangan sampai awak jadi habuan,
diratah lelaki-lelaki jahat kat luar sana,” ucapnya dengan nada
mengugut. Aku telan liur. Kecut. Serta merta mata ini melilau ke
sekeliling.
”Lagipun, awak masih ada banyak harta pada awak. Jadi, untuk itu,
biarlah saya minta sikit. Saya minta sikit kepercayaan daripada awak
untuk lindungi awak sementara waktu ni.” Dia angkat kedua belah
keningnya meminta persetujuan daripadaku.
Aku teragak-agak pada mulanya dan seperti yang pernah aku katakan, aku
berasa di satu lorong saja. Tiada simpang yang mampu aku pilih. Hanya
Jehan di depanku. Hanya Jehan yang menjadi papan tanda untukku. Hanya dia
yang menjaga perjalanan ini hingga akhirnya, aku mengangguk jua dan dia
tersenyum lebar. Hati ini terasa diragut melihatkan senyuman manis itu.
Pertama kali melihat dia begitu, ada rasa gundah yang hadir dalam diri ini.
Share this novel