BAB 5

Drama Completed 667

BAJU t-shirt Jehan yang lusuh kini tersarung di tubuhku. Bila aku lihat
melalui cermin, baju ini sampai ke atas lutut. Alhamdulillah, Ya Allah.
Setidak-tidaknya, aku masih berbumbung dari panas dan hujan, tatkala
malam dan siang, ucap hatiku sendiri.

Sedang aku menilik diriku dari atas ke bawah, aku dengar suara Jehan dari
luar, terjerit-jerit memanggil namaku. Cepat-cepat aku belit tudung di
kepala dan terus keluar daripada bilik, menuju ke pintu besar.

”Buat apa lama sangat nak buka pintu?” tanya dia bila pintu terkuak.

Dia mengintai sedikit ke dalam rumah sewanya yang hanya punyai satu
bilik ini. Lengang saja tanpa sebarang perabot melainkan sebuah meja
jepun saja di tengah-tengah ruang tamu. Di dalam bilik juga hanya punyai
hamparan toto nipis dan pakaian juga sekadar terlipat kemas di dalam beg
pakaian.

”Saya baru lepas mandi,” jawab aku tenang. Dia jeling aku sekilas dan
menghulurkan bungkusan makan malam.

”Berapa ni?” tanya aku setelah plastik beg itu bertukar tangan.

”Tak payahlah. Simpan jelah duit awak tu dulu. Nak cari kerja bukan
mudah sekarang. Esok saya tanya tempat kerja saya, kot-kot nak pakai
orang. Seven Eleven ke, mana-mana kedai jelah,” rungutnya sendiri.

”Terima kasih,” ucapku ringkas. Dia tidak menjawab sebaliknya terus berlalu.

”Errr, Jehan ,” panggilku bila dia hendak berlalu.

”Awak nak tidur kat mana nanti?”

Dia jungkit bahunya dengan kepala yang sedikit senget. ”Saya lelaki.
Jangan risau. Awak tu, kunci pintu baik-baik. Kalau ada yang ketuk,
jangan buka. Saya ni tak pernah ada pelawat!” tekannya lantas berlalu
pantas menghilang di balik dinding. Aku rapatkan kembali pintu dan
mengukir senyum. Jehan ... Jehan ... bisik hatiku tanpa sedar.

Esoknya, tatkala aku buka pintu, tubuh Jehan sudah ada bersandar di tepi
dinding.

”Awak keluar dulu. Saya nak masuk mandi, tukar baju. Malam ni mungkin
saya kena kerja lebih masa. Ni saya dah beli maggi. Awak makanlah ni
dulu nanti.” Dia hulurkan beg plastik itu padaku dan terus masuk ke
dalam rumah bila aku sudah berada di luar. Pintu itu terus dikunci.

Pelik dengan lelaki ini. Namun, aku tetap bersyukur kerana ditemukan
dengan lelaki yang sebaik ini. Menjaga tingkah dan sikapnya. Langsung
tidak berniat mengambil kesempatan. Sikap mesra dan mengambil berat itu
ternyata dilitupi oleh sikap dinginnya itu.

Malamnya pula, dia datang lagi. Mengajak aku menikmati maggi cawan di
taman di kawasan flat itu. Duduk di atas padang berdua dengannya,
rasanya hilang segala resah hati. Dia sekali lagi menghulurkan beg
plastik padaku tapi kali ini isinya lain pula.

”Dalam tu ada berus gigi, syampu, sabun mandi. Pencuci muka saya tak
tahu awak pakai apa. Tapi, lihat ke muka awak ni, pakai jelah apa saja
pun. Okey kot,” ucapnya sambil terus menyuakan maggi itu ke mulut.

Aku tidak jadi meneruskan suapan. Rasa tercekik oleh nafas sendiri
kerana ketulusannya padaku. Aku pandang barangan yang dia maksudkan dan
bibir ini menguntu, senyum melihatkan saiz barangan itu hanyalah saiz
mini saja tapi aku tetap terharu. Aku tahu dia juga susah malah aku
rasa, aku lebih menyusahkan dia.

”Cuma, satu yang saya nak tanya ni. Saya tak tahu saiz awak. Lepas makan
ni, saya bawa awak ke kedai pakaian depan tu. Beli apa-apa yang patut,”
sambung dia.

Wajahku berkerut. ”Apa lagi? Dah cukup ni?” tanyaku pelik.

Dia menjeling sekilas. ”Yang dalam tu tak payah tukar ke?” soalnya selamba.

Aku ketap bibir. Malu yang amat bila dia berkata demikian. Rasanya,
sudah dua hari juga aku menggunakan pakaian yang sama. Agak rasa tidak
selesa tapi aku tiada pilihan.

Usai makan, kami terus menuju ke kedai pakaian biasa di hujung deretan
kedai ini. Jehan menantiku di luar. Setelah mencapai apa-apa yang ku
rasakan perlu dan mampu dengan duit yang aku ada, aku terus saja menuju
ke kaunter pembayaran.

”RM23.50, kak,” beritahu juruwang itu. Baru aku terkial-kial hendak
menyeluk poket, Jehan terlebih dahulu meletakkan not RM50. Entah bila dia
mendekat, aku sendiri tidak sedar.

Aku tahan pijar di wajah bila juruwang itu menyumbat pakaian dalam itu
ke dalam plastik di depan Jehan . Riak lelaki ini masih tiada perasaan
namun gelora di hati lelaki, sukar untuk kita tebak.

”Cukup ke dua je?” tanya dia tenang. Aku hela nafas perlahan-lahan cuba
mengawal kecanggungan diri.

”Err, cukup dah ni,”jawabku dan terus aku rampas plastik itu daripada
juruwang tersebut. Dia hanya senyum melihat kepada aku dan Jehan silih
berganti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience