KALENDAR di atas meja solek aku pangkah sehari lagi. Bermakna sudah 7
hari aku keluar daripada rumah Jehan dan tanpa pesan jauh sekali khabar
yang aku terima daripada dia. Rinduku menderu-deru sekuat angin malam
yang berhembus bila aku bawa tubuhku ke pintu luncur yang tenganga luas.
Merasakan tiupan rindu Jehan buatku yang dibawa angin lalu, mengelus
wajahku, menyeka airmata di pipi ini.
Cincin di jariku aku renung lama. Cincin baru, malah batu permatanya
juga besar dan pasti lebih mahal. Tanda aku sekali lagi menjadi tunangan
Rashid dan bakal diijabkabulkan dua hari saja lagi. Sedang aku seka air
mata yang mengalir, aku terbias oleh susuk tubuh yang cukup aku kenal.
Jehan dan kaki ini pantas keluar daripada bilik dan terus menuju ke bawah.
Ayah, mak dan Abang Iqbal menyambut kedatangannya dengan mesra. Kakiku
terpaku pada anak tangga. Sedikit tersorok demi mendengarkan perbualan
mereka.
”Lambat datang?” tegur Abang Iqbal.
”Maaf, bang. Saya kena kerja. Tak dapat cuti,” jawab suara yang aku
rindu itu. Lelah jasadku, mengah nafas ini.
”Tak apalah. Ees dah nak akad nikah lusa. Jadi, abang nak selesaikan
semua bayaran yang pernah Jehan minta daripada kami sepanjang menjaga
Rashid .” Aku dengar ayah bersuara.
”Terima kasih sebab faham dengan permintaan saya, encik.” Aku dengar
dengan jelas Jehan mengakuinya dan sememangnya abang dan ayah tidak
menipu bila mengatakan Jehan meminta balasan kerana menjagaku selama ini.
Titisan airmata semakin lebat. Kecewanya usah aku kata. Sakitnya, payah
hendak aku kira.
Tanpa mampu mendengar diriku diperdagangkan oleh lelaki yang aku
cintainya sepenuh hati. Tidak sanggup mendengar dia menjual cinta palsu
dia padaku selama ini.
Aku terus turun perlahan-lahan dan terus saja keluar melalui pintu dapur
hendak meminta kepastian melalui sinar matanya kerana di hati ini masih
terselit sedikit keyakinan akan cinta dan janjinya padaku.
“Ees ! Buat apa kat sini?” tanya dia terkejut melihatku.
“Ees nak tanya, berapa yang Jehan tuntut daripada keluarga Ees sebab jaga
Ees selama ni? Berapa Jehan jual cinta Ees ? Cakap Jehan ,” desakku dengan
suara yang terketar-ketar menahan sebak.
Dia senyum. ”Ganjaran itu cukup untuk buat Jehan hidup mewah seumur
hidup, Ees ,” jawab dia tenang lantas dia terus berlalu membiarkan aku
terjelepuk di atas rumput menangisi nasib diri yang seringkali
dipermainkan cinta.
Share this novel