BAB 10

Drama Completed 667

”JEHAN pinang Ees hanya dengan keikhlasan hati, Ees . Jehan pinang Ees
hanya kerana Allah sebab Jehan tak punya apa-apa kecuali hati dan Allah
saja bersama Jehan untuk hidup bersama Ees !” Jelas lagi di telingaku bila
mana Jehan dengan rasminya melamarku untuk menjadi suri yang halal untuknya.

Biarpun tanpa permata dan berkilauan, biarpun tiada mawar merah yang
mewangi di seluruh laman, aku angguk pantas menerima lamaran.
Seikhlasnya terima kerana aku jua menyintai dia kerana Allah telah
titipkan dia untukku. Menjadi pelindungku di kala aku bersendiri
menongkah arus di dalam kelam yang berpanjangan selama ini.

”Tunggu Jehan malam nanti, Jehan ada kejutan buat Ees ,” beritahunya malam
tadi. Bibir ini menguntum senyum. Aku sungguh tidak sabar hendak
menerima kejutan daripada Jehan yang telah dia janjikan untukku malam
ini. Rasa waktu begitu lambat berlalu. Namun, penantian ini berakhir
juga bila aku dengar ketukan di pintu. Cepat-cepat aku betulkan pakaian
dan terus saja menapak ke pintu.

Tatkala daun pintu aku tarik, senyumku mati. Tiada Jehan . Bukan dia malah
rasanya dia mungkir janji denganku bila wajah ayah, abang Iqbal dan Rashid
berada tepat di depan mataku.

”Err, macam mana jumpa rumah ni?” tanyaku gundah. Aku takut andai Jehan
tiba dan melihat mereka ada bersamaku. Aku bimbang jika Jehan mengatakan
aku mahu kembali kepada Rashid .

”Jehan cakap dekat abang. Kami dah tahu semuanya. Ees dengan dia tak
kahwin pun,” jawab abangku tenang. Riaknya langsung tidak menunjukkan
dia marah.

”Cakap apa?”

”Dia cakap suruh ambil Ees kat rumah dia. Dia tak nak Ees menumpang
rumah dia lagi," sampuk Rashid tiba-tiba. Aku renung Rashid tajam.

”Tak....” Aku menggeleng.

”Rashid tipu Ees . Dulu pun Rashid tipu dan sekarang juga Miuz menipu,” tekan
aku dalam ketakutan bila dia berkata demikian. Aku tidak mahu Jehan
membuang aku dari hidupnya aku lebih parah lagi, dia hanya mempermainkan
hati dan perasaanku padanya.

”Betul ni, Ees . Ayah ada tawarkan dia ganjaran sebab jaga Ees dan dia
setuju terima ganjaran tu, kalau Ees nak tahu.” Ayah tenang menutur
kata. Aku menggeleng lagi.

“Tak... Jehan cintakan Ees . Dia tak mungkin buat urusan jual beli Ees
dengan sesiapa. Lagipun, ayah dan abang dah buang Ees . Rashid juga sama
dan buang Ees . Ees cuma ada Jehan je sekarang dan Ees tahu, ayah, abang
dan Rashid tipu Ees , kan?” Aku cuba mengukir senyum biarpun airmata sudah
bertali arus melalui lekuk di pipi.

“Buat apa nak tipu, Ees ? Baliklah dengan kami. Ayah, abang silap. Rashid
dah mengaku semua dan dia nak berbaik semula dengan Ees . Maafkan kami
Ees ,” ucap Abang Iqbal menyatakan rasa sesalnya kerana bersikap begitu
pada aku dulu. Tapi, aku tetap menggeleng. Tidak mahu mengikut mereka.

”Ees tak percaya semua ni. Ees maafkan semua orang. Tapi, Ees tak boleh
balik. Ees dah janji dengan Jehan . Dia suruh Ees tunggu dia malam ni. Dia
ada kejutan untuk Ees , ayah. Abang pun, tolonglah faham,” rayuku bersama
tangisan.

Abang Iqbal meraih aku ke dalam pelukannya. Kepalaku diusap lembut dan
aku dapat rasa tangan ayah juga menyapa belakangku yang sedang
teresak-esak di dada Abang Iqbal.

“Cinta dia pada Ees tak ikhlas. Kalau benar dia ikhlas, tak mungkin dia
minta harga bayaran selama menjaga Ees selama ni?” Suara Abang Iqbal
kali ini membuatkan aku semakin teresak-esak.

Sampai hati Jehan buat Ees macam ni? Sampai hati? Soal hatiku sendiri.
Aku benci dia. Aku benci dia! Dan, aku tidak sedar bila kaki aku
melangkah pergi bersama mereka semua. Yang pasti, meninggalkan mahligai
yang telah bersepai sebelum gagah terbina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience