KAKI ini membawa aku menuju ke rumah Syarina Huda. Tidak mampu pulang ke rumah sendiri. Bimbang menjadi buah mulut jiran-jiran pula sedangkan sebelum ini, aku telah tertangkap bersama Iman hingga membawa ke pernikahan kami. Beg galas yang akan berisi sehelai dua pakaian itu aku peluk erat. Rasa bersalah pula pada Syarina Huda atas kelantangan bicaraku dulu.
Baru saja aku memanjangkan leher mengintai ke dalam rumah Syarina Huda, bahuku ditepuk dari belakang dan bila aku berpaling, ternyata Syarina Huda tersenyum padaku.
“Aku tahu kau akan datang satu hari nanti, Wadah!” ucapnya lembut. Aku paut tubuh itu erat. Menghamburkan tangis semahuku hinggakan Syarina Huda membawa aku masuk ke dalam rumahnya.
“Maafkan aku, Sya. Aku berdosa pada kau,” pintaku bersungguh-sungguh.
“Aku maafkan, cuma aku nak tahu apa yang dah terjadi pada aku. Tu je.”
Mata Syarina Huda aku renung lama sebelum bercerita tentang apa yang telah aku lalui selama ini. Dia melopong hebat, pantas dia menarik aku ke dalam pelukannya.
“Kenapa kau tak nak kongsi dengan aku, Wadah? Aku ni kawan baik kau, kan?” tangis dia. Aku angguk di bahu Syarina Huda.
“Aku takut kau terus cari aku sedangkan aku ni penghidap HIV, Sya. Aku malu. Aku takut.” Aku terus mengongoi di bahunya.
“HIV tak berjangkit melalui kasih sayang, Wadah! Aku sayangkan kau,” balasnya tenang dan aku terus saja mengeratkan pelukan.
“Bila keluar result ujian akhir tu?” tanya dia.
“Minggu depan.”
“Aku temankan,” balas Syarina Huda dan aku mengangguk.
“Sementara ni kau tinggal kat sini dulu. Dah reda nanti, aku tolong carikan Iman Shauqi, ya?” Pertanyaan Syarina Huda membuatkan aku menggeleng pantas.
Aku tidak mahu menyusahkan Iman lagi. Dia sudah terlalu banyak berkorban untuk aku selama ini. Menjaga dan membela nasibku kala aku dipermainkan nasib.
“Tapi, kau cintakan dia, kan?” Kali ini aku mengangguk menjawab soalan itu. Syarina Huda tersenyum.
“Jadi, percayalah kepada takdir Allah,” pujuk dia. Aku mengangguk terpaksa.
Share this novel