BAHUKU terangkat bila mama Iman menegur sewaktu aku berada di dapur hendak mengambil segelas air suam.
“Kau jangan berani nak masuk dapur aku, Syaukah Wardah! Aku takut kau jangkitkan aku dan anak aku. Aku nak kau keluar rumah hari ni jugak sebelum Iman balik dari pejabat,” arah dia sewenangnya. Hampir terlepas gelas di tanganku.
“Tapi, saya isteri Iman, puan. Tempat saya adalah di sisi suami saya,” ucapku pula. Lembut saja sebagai tanda menghormati dia.
“Hei, Syaukah Wardah!” Mama Iman bercekak pinggang.
“Isteri apa? Suami apa? Isteri apa kalau kau tak boleh nak jalankan tanggungjawab kau sebagai isteri kepada suami kau sendiri? Berapa lama kau nak seksa batin Iman sebab tak boleh nak sentuh kau?” tanya dia meninggi. Aku tertunduk merenung marmar putih bila menyedari kebenaran di dalam kata-katanya.
“Aku yakin yang Iman tak pernah usik kau, Syaukah Wardah. Kau fikir sikit, lelaki mana yang dapat bertahan tengok saja wanita yang halal untuk dia tanpa buat apa-apa. Iman tu lelaki, Syaukah. Kau tak kasihan ke dekat dia dengan mengikat dia macam tu. Kalau kata kau sayangkan dia, kau keluarlah dari rumah ni. Jangan seksa batin Iman lagi,” tambahnya panjang lebar.
Aku letakkan gelas di dalam sinki dan kala melalui mama Iman, dia menjauh dariku dengan pandangan yang hina. Aku renung mata dia seketika lalu aku gariskan senyuman seikhlas hatiku. Waktu ini, aku nampak arwah ibu. Tapi sayang kerana dia bukan ibuku. Sukar hendak aku menumpang kasih, payah hendak aku bersandar pada bahu.
“Saya mengerti puan. Iman perlukan semua tu sedangkan saya tak mampu,” ucapku separuh berbisik lalu aku melangkah laju ke bilikku.
Share this novel