Tanganku menggeletar, jantung ku terasa sesak dan cemas ketika menyeka darah merah yang mengalir daripada kepala si dia dipangkuanku. Sedaya upaya aku goncang tubuh itu agar dia membuka mata bila nafasnya semakin lemah.
“Encik, bangun encik.” Pipinya aku tepuk beberapa kali dengan tangan yang berlumuran darah. Hatiku bertambah kalut apatah lagi bantuan masih belum tiba dan juga tiada sesiapa kala ini. Rasanya sudah hampir 10 minit berlalu aku menghubungi bantuan tapi masih juga belum tiba.
Mataku beralih pula kepada Nissan Latio Sport yang sedang berasap di bawah sebatang pohon. Remuk teruk di bahagian hadapannya. Cermin juga berkecai. Tentulah kerana satu hentakan yang kuat kemudian aku pandang pula wajah yang sedang berada di ribaanku.
Entah mengapa, melihatkan helaan nafas lelaki ini yang semakin lemah, aku menjadi takut. Cuak amat hinggakan air mataku mengalir dengan sendirinya tatkala mata yang sedari tadi tertutup rapat terbuka separuh. Merenung ke dalam anak mataku lama. Bagaikan hendak menyatakan rasa sakit yang tidak tertanggung.
“Sabar sikit, encik. Kejap lagi ambulans tiba,” ucapku padanya. Dia tiada bertindak balas, sekadar melihatku sahaja. Bibirnya bergetar hendak mengucapkan sesuatu tapi tidak pula terluah.
Melihatkan darah yang semakin mengalir, aku terus buka selendangku, lalu aku belit pada kepalanya. Membiarkan rambutku ditutupi oleh anak tudung sahaja. Bagiku ini adalah keadaan darurat.
Hampir 5 minit kemudiannya, ambulans tiba. Aku diheret sama masuk ke dalam ambulans untuk menemani lelaki itu.
“Ja… jangan… ting… galkan sa… saya…,” ucapnya sambil meramas jemariku dengan tenaga yang kian pudar hingga akhirnya dia terkulai, tidak sedarkan diri.
Airmataku laju menitis. Takut menghadapi kehilangan di depan mataku sendiri. Bagaikan sedang menghadap kematian orang yang tersayang. Aku benar-benar takut. Segera terbayang di mataku, wajah pucat arwah ibu dan ayah yang telah lama pergi meninggalkanku, juga kerana kemalangan.
“Sabar, puan. InsyaAllah suami puan tak apa-apa,” ucap salah seorang jururawat yang bertugas. Bahuku diusap perlahan.
Mataku bulat. Sesungguhnya, aku tidak mengenali lelaki ini. Aku sekadar membantu kepada yang memerlukan. Namun, hendak ku bantah, terasa berat lidah hendak mengungkap kata. Aneh!!
Share this novel