BUAT kali kedua, pipi ini menjadi sasaran mama kepada Iman yang telah sah bergelar suamiku. Hadiah sempena aku menjejakkan kaki ke rumahnya yang tak mungkin aku lupakan seumur hidup ini.
Sudah penat hendak membalas, aku diam saja. Menerima segala yang telah dia hadiahkan buatku.
“Aku tahu kau perangkap Iman. Kau memang sengaja berbudi pada Iman lepas tu kau paksa dia kahwin dengan kau, kan?” tanya wanita ini kasar.
“Kami tertangkap, puan,” ucapku tenang. “Dan itu bukan kehendak saya. Saya tak pernah paksa Iman nikahi saya tapi dia yang nak. Saya juga tak ada pilihan lain,” jawabku perlahan. Dia mencebik.
“Tak ada pilihan lain la sangat? Kalau dah memamg budak tak tahu mana asal usul, macam ni lah jadinya. Anak yatim yang memang tak ada mak bapak hendak mengajar kau jadi lebih baik,” herdiknya padaku.
Aku ketap bibir. Mata ini aku pejam serapatnya. Dua kali telingaku tersapa oleh sinis begitu. Aku mahu membentak, namun dengan kudrat sekarang, aku hanya mampu menelan segala yang dia luahkan padaku.
“Kau tahu tak, Iman tu dah ada tunang? Menangis Myra bila dia dapat tahu Iman kena paksa kahwin dengan kau ni.” Mama Iman sekali lagi menunjal kepalaku dan kali ini tidak seperti di hospital dulu. Aku hanya membiarkan saja. Airmataku menitis lagi. Menjadi selemah-lemah manusia.
“Jangan buat isteri Iman macam ni, mama.” Entah dari mana datangnya, dia terus saja menangkap tangan mamanya dari terus menolak kepalaku. Bahuku ditarik rapat kepadanya.
“Iman cintakan Syaukah Wardah saat pertama kali Iman lihat dia dulu. Dia dah sah jadi isteri Iman dan menantu mama. Restui kami, ma sebab Iman tak mungkin dengan Myra biarpun Syaukah Wardah tak ada dalam hidup Iman,” ucapnya tenang lantas dia angkat bagasi milikku dan menarik aku mendaki anak tangga menuju ke bilik.
“Abang minta maaf sayang bagi pihak mama,” ucapnya setelah daun pintu dirapatkan. Tubuhku dipaut mesra dan aku pantas menolak.
“Jangan peluk aku. Aku kotor. Aku jijik!” larangku keras. Iman tidak mempedulikan laranganku. Sebaliknya dia kembali menarik aku ke dalam pelukannya. Sehebat mana aku meronta, tetap tidak menang dengan kudrat lelaki ini.
“Abang tak pernah jijik dengan sayang. Sayang isteri abang. Abang tak pernah jijik biarpun sayang akuinya berjuta kali sekalipun,” bisik dia dan aku, terus saja menghamburkan tangis di dada sasa itu.
Share this novel