WAJAH Syarina Huda aku renung dengan perasaan yang berbaur. Rasa malu, rasa dihargai dan rasa kerdil mengenangkan kuman yang berenang-renang di dalam pembuluh darahku. Jijik benar diri ini. Andai dia mengetahui, masih setiakah sahabat ini bersamaku?’
“Dah banyak hari kau tak datang kerja, Wadah? Bos dah bising ha. Dia cakap kalau kau tak datang lagi sehari dua ni, dia nak suruh kau letak jawatan je sebelum dia pecat kau,” ucap Syarina Huda risau. Tangannya cuba menyapa belakang tanganku namun aku lebih cepat menepis. Tidak mahu dia turut sama dijangkiti.
“Kau tak sihat ke Wadah?” tanya dia. “Pucat je muka kau. Aku tengok tak baik-baik lagi campak kau ni. Dah berapa lama ni? Kau ada pergi klinik tak?” sambungnya bertubi-tubi.
“Aku okey je. Macam ni lah, Sya. Kau bagi surat ni dekat bos. Aku letak jawatan.” Sampul surat berwarna coklat terang itu aku hulurkan kepada Syarina Huda. Dia pelik.
“Eh, kenapa ni? Tiba-tiba nak berhenti kerja? Nanti kau nak survive macam mana?” Dia langsung tidak menyambut sampul surat itu lalu aku letakkan di atas ribanya.
“Jangan risaukan aku.” Aku menggeleng.
“Aku nak ikut teman lelaki aku ke luar negara dan aku nak letak jawatan. Kami akan kahwin kat sana,” bohongku pada dia dengan harapan dia tidak akan datang mencari aku lagi.
Aku mahu menanggung segalanya sendiri. Aku tidak mahu sesiapa pun tahu akan penderitaan aku kala ini. Termasuklah Syarina Huda. Sudah terlalu banyak perkara yang aku kongsikan dengan dia. Bimbang juga andai dia terbeban.
“Eh, sejak bila kau ada teman lelaki, Wadah? Kau tak cakap dekat aku pun walhal selama ni kau tak ada pulak berahsia dengan aku.” Syarina Huda tidak puas hati. Aku jelas melalui nada suaranya yang agak tegang. Mungkin terasa hati bila aku membelakangi dia.
“Tak kan semua benda aku nak cakap dengan kau, Sya!” tekan aku geram.
“Kau tak macam ni sebelum ni, Wadah. Kenapa sejak akhir-akhir ni kau jadi macam ni ha?” tanya dia lagi sambil cuba meraih jemariku di dalam genggamannya namun aku pantas mengelak.
“Jangan sentuh aku, Sya! Aku tak suka!” marahku lagi. Mata Syarina Huda membulat.
“Apa masalah kau ni, Syaukah?” Syarina Huda sudah melenting. Dia bingkas bangun dan mencerlung pandang ke arahku. Aku juga turut sama bangkit dan merenung dia dengan wajah tanpa riak. Langsung sirna kemesraan kami selama ini hanya kerana kesilapan orang lain.
“Aku tak ada masalah. Aku cuma nak ikut teman lelaki aku ke luar Negara dan kami akan kahwin dekat sana. Tak kan itu pun aku nak minta izin kau? Aku ni anak yatim piatu, Sya. Semua keputusan aku dah buat sendiri sejak dari dulu lagi. Tak ada masalah pun kalau aku tak cakap pada kau, kan?” Sengaja aku mengherdik dia agar dia cepat-cepat keluar daripada rumah ini kerana aku sendiri sudah tidak mampu bertahan dari mengalirkan airmata melihatkan tubir mata Syarina Huda digenangi air jernih.
“Aku tak pernah haling, Wadah. Paling tidak kau maklumkanlah aku,” ucapnya lirih.
“Aku cuma nak kenal siapa lelaki tu dan aku akan bahagia juga untuk kau, Wadah,” sambung dia bersama linangan airmata di pipi.
“Kau tak perlu ….”
“Assalamualaikum, Syaukah!” Belum sempat aku habiskan ayatku, kami sama-sama berpaling pada suara yang memberi salam di pintu yang ternganga luas.
Bila wajah itu terbias di mataku, mahu aku aku memaki hamun dia namun rasanya inilah masa yang sesuai untuk biarkan teman baikku ini menjauh dari aku selamanya.
“Waalaikummussalam,” jawabku dalam pada cuba mendamaikan hati yang sebu.
“Iman mengganggu ke?” tanya dia setelah kakinya sudah berpijak di lantai rumahku. Syarina Huda berwajah curiga. Aku hanya tersenyum penuh kepalsuan kepada Iman. Kehadiran dia tepat pada waktunya.
“Tak, Iman tak mengganggu. Masuklah. Mari saya kenalkan dengan kawan baik saya ni.”
Iman menapak ke arahku dengan wajah yang sedikit berkerut namun bibirnya tetap menguntum senyum kepada aku dan Syarina Huda yang sedang menyeka sisa tangis.
“Sya, ini teman lelaki aku dan bakal suami aku. Kami akan kahwin tak lama lagi tapi kami akan kahwin dekat luar Negara sebab Iman dihantar bertugas kat sana,” beritahuku pada Syarina Huda tanpa ada riak bimbang jika Iman menidakkannya.
Aku tahu, Iman sedang merenung sisi wajahku. Senyumnya mati. Airmata Syarina Huda kembali merembes.
“Iman ni lelaki yang kau selamatkan hari tu? Yang kau dermakan darah tu?” tanya dia perlahan.
Aku angguk dengan berat hati. Tertusuk rasanya hati ini bila Syarina Huda mengungkit peristiwa itu. Peristiwa yang telah membawa racun yang membunuh di dalam diriku sekarang. Peristiwa yang membuatkan aku nekad membuang segalanya termasuk dia sebagai teman yang setia. Maafkan aku, Sya! Ucap hatiku pedih.
“Aku cintakan Iman dan dia cintakan aku. Tak ada masalah, kan?” dugaku. Syarina Huda mengangguk. Dia tidak menjawab sebaliknya dia tunduk menggapai sampul surat yang terjatuh dari ribaannya dan tersenyum padaku dengan wajah keruh.
“Tahniah, Wadah dan awak Iman, jagalah Syaukah Wardah baik-baik, ya. Maafkan aku, Wadah,” ucap Sya lantas dia berlalu di remang petang yang sudah menghampiri Maghrib ini.
Berdentum pintu rumah dan pagar besi dihempas olehnya menggambarkan betapa dia kecewa dengan sikapku dan serentak itu, aku terduduk di kaki Iman. Menangis dan terus menangis.
“Maafkan aku, Sya. Aku tak sengaja. Sungguh aku tak mampu, Sya,” tangisku tanpa mempedulikan Iman yang sudah duduk mencangkung di sisiku.
“Kenapa Syaukah cakap macam tu dekat kawan tadi?” tanya dia. Aku pusingkan kepala memandang dia dengan renungan yang terlalu tajam.
“Sebab apa kau tanya. Sebab kau lah, syaitan. Sebab aku pernah tolong kau tapi aku yang menerima bala! Sebab kau! Semuanya sebab kau, syaitan!!!” tempik aku kuat.
Iman nampak terpempan. “Kalau sebab Iman, kenapa Syaukah nak mengaku cintakan Iman dan nak kahwin dengan Iman?”
“Aku tak tahu!!” tengking aku lagi.
“Dan aku juga nak kau keluar daripada rumah aku sekarang jugak! Aku benci tengok muka kau. Aku benci sebab tahu kau wujud atas muka bumi ni. Aku benci!!!” Aku bangkit dan Iman juga turut mengangkat tubuhnya.
Terus saja aku tolak tubuh sasa itu menuju ke pintu namun langsung tidak berganjak. Sebaliknya dia mencengkam kedua belah pergelangan tanganku.
“Mengucap, Syaukah Wardah. Iman datang dengan niat baik. Iman nak ucap terima kasih tapi Iman tak sangka macam ni jadinya,” balas dia.
Aku terus menggeleng. Aku benci. Aku benci dengan dia. Andai aku mampu, mahu saja aku tusukkan sebilah pisau di dadanya biar terus saja dia hilang dari dunia ini.
“Aku tak suka kau dan ucapan terima kasih kau tu, Iman. Sebab kau aku jadi macam ni. Sebab kau. Semuanya sebab kau!” Kali ini aku tampar wajah itu sekali setelah genggamannya di pergelangan tanganku lepas.
Dia nampak gamam tapi cepat-cepat dia ukir senyum kembali. Jemarinya sekali lagi memaut pergelangan tanganku. Kali ini, digenggamnya erat tanpa ada rasa marah akibat menerima penampar sulung aku tadi. Airmata yang mengalir aku biarkan saja terus mengalir.
“Iman tahu keadaan kesihatan, Syaukah sekarang. Sebab tu Iman datang setelah pihak hospital call Iman beritahu tentang keadaan Syaukah. Mungkin Syaukah tak sudi nak terima budi Iman untuk balas budi Syaukah. Tapi, izinkan Iman jaga Syaukah sampai sembuh,” pujuk dia perlahan.
“Baguslah Iman kalau kau dah tahu keadaan aku dan mesti kau tahu kenapa aku layan kawan baik aku sendiri macam tu,” ujarku dalam tangis yang tertahan-tahan. Kali ini, sudah tidak berdaya hendak membentak pegangannya.
“Dan aku juga tahu kau tahu yang aku tak akan sembuh dari jangkitan HIV ni, kan?” tanyaku pada dia. Mata kuyu itu aku renung dengan pandangan yang kabur dek airmata.
Iman menggeleng. “Kita usaha. Mungkin doktor silap. Kita ke hospital buat pengesahan. Kalau Syaukah tak nak ke hospital macam mana nak dapat pengesahan ya atau tidak?” tanya dia lembut.
“Tak,” protesku lemah. “Dah berkali-kali pihak hospital nyatakan. Itu semua tak mungkin silap. Darah yang doktor tambah dalam diri aku ni tak mungkin silap. Untuk apa lagi aku ke sana untuk terima kenyataan yang menyakitkan ini berkali-kali?” Marahku mula meninggi. Andai tadi, aku sudah berjaya menampar wajah Iman tapi kali ini, aku mahu pula menorah wajah itu biar tidak berupa manusia.
Semakin aku renggut tanganku dari pegangannya, semakin kejap dia menggenggam. Aku letih. Sudahnya dengan diri ini tidak berkudrat mana hingga akhirnya aku biarkan saja.
“Kita kahwin. Jadi isteri Iman. Bagi Iman jaga Syaukah!” ucap Iman tiba-tiba. Aku melopong. Terkejut dengan pernyataannya.
“Tadi, Syaukah juga cakap cintakan Iman. Nak kahwin dengan Iman. Mungkin hanya lakonan tapi Iman memang jatuh cinta pada Syaukah masa mula-mula Syaukah pangku kepala Iman dulu lagi,” sambung dengan riak yang bersungguh-sungguh.
Aku telan liur. Terkedu dengan permintaannya. Baru saja hendak menjawab, pintu rumahku di tolak dari luar dan ternyata, Imam Mansor dan beberapa orang lelaki dari Masjid taman perumahan aku ini terpacul di depan muka pintu dengan pandangan yang sudah dapat ku ertikan maksudnya.
“Patutlah, kami perasan yang kamu tak keluar rumah banyak hari dah, Wadah. Kami ingat kamu sakit. Rupanya ini sakit kamu?” tanya dia sinis. Beberapa orang wanita lain termasuk isteri Iman Mansor sudah mula berbisik sesama sendiri.
Aku pandang wajah lelaki di depanku. Pegangan tangannya terlepas tiba-tiba. Dia telan liur. Halkumnya turun naik. Dada aku pula hampir pecah.
“Tak, Pak Imam. Wadah memang tak sihat. Ini kawan Wadah datang melawat,” beritahuku membela diri. Benar begitu. Iman tetamu tak diundang. Aku mahu mereka percayakanku.
“Kawan apa, remang-remang nak Maghrib ni ada kat rumah kamu dengan berpegangan tangan lagi?” tanya dia dengan suara yang agak meninggi. Terangkat bahuku mendengar soalan itu.
“Tak, Pak Imam…” Aku menggeleng. Airmata sudah kembali galak menitis.
“…Wadah memang tak sihat. Dia datang macam tu je. Wadah pun tak kenal dia.”
“Tadi kata kawan, ni tak kenal pulak? Kalau tak kenal macam mana boleh ada dalam rumah kamu? Memanglah kami ni anak yang tak dididik oleh orang tu. Kurang ajar kamu tu tak terlebih pulak,” sindir yang seorang lagi pula. Aku ketap bibir.
Pedihnya hati hanya Allah yang tahu bila mereka berkata demikian. Selama ini aku pandai menjaga diri. Aku pandai menjaga maruah arwah ibu dan ayah. Mungkin aku hidup sendiri, tapi aku atur kehidupanku dengan baik sehinggalah aku ditemukan dengan Iman.
“Maafkan kami, Pak Imam. Memang salah kami. Kami harap Pak Imam boleh maafkan kami kali ini. Saya dengan Syaukah tak buat apa-apa pun,” tokok Iman membela diri aku dan dirinya.
Imam Mansor menggeleng berkali-kali. “Benda dah berlaku depan mata, mata boleh aku buat tak nampak.” Suaranya tegas.
“Macam ni lah, Wadah. Kamu pun bukan ada sesiapa. Aku memang dah anggap kamu macam anak aku tapi tak sangka kamu sanggup buat perangai macam ni. Senang cerita, kamu nikahilah dia, anak muda!” nasihat Iman Mansor pada Iman.
Hampir saja aku terduduk di lantai tapi Iman lebih pantas menyambut membuatkan aku kini terkulai di dalam pelukan tubuh sasanya. Makin bulat mata Imam Mansor dan makin galak berbisik mereka yang lain.
“Kalau macam tu kata imam, saya setuju nikahi Syaukah Wardah dan saya minta, imam boleh uruskan untuk saya!” tekan Iman dan pelukan dia di bahuku juga semakin kemas.
Share this novel