BAB 2

Romance Completed 6030

PIPIKU terasa perit. Pedih dek tamparan wanita anggun ini. Malu bukan kepalang bila jururawat yang sedang mengemas katil lelaki itu sudah memandang tepat ke arahku.

“Ni mesti kau punya pasal. Aku dah tahu dah. Kalau bukan sebab betina macam kau ni, anak aku tak terlantar kat sini,” tempik dia lagi tanpa aku tahu di mana pangkal di mana hujungnya.

“Maaf, puan. Saya cuma membantu,” ujarku membela diri. Tidak sudi juga diperlakukan demikian.

“Bantu apa sampai anak aku terlantar kat katil tu. Dengan kepala berbalut, tulang patah riuk.” Dia terus menjerit tanpa dihiraukan anaknya yang sedang lena di katil.

“Kau ni dah la perempuan kampung bodoh, hodoh pula tu. Aku nak kau bertanggungjawab atas apa yang berlaku ni. Kalau Iman ada apa-apa, aku saman kau.” Kali ini dia sudah berani menunjal dahiku.

“Maaf sekali lagi, puan.” Aku tahan tangannya yang sedang menunjal dahiku.

“Untuk pengetahuan puan, saya tak kenal pun siapa hamba Allah yang terbaring kat katil tu.” AKu tuding jari ke arah katil yang terbaring lelaki yang bernama Iman.

“Dan rupa hodoh saya ni berlumuran darah anak puan yang saya tolong masa kemalangan petang tadi dan ini…” AKu angkat selendangku yang masih lembab dengan darah yang telah ku isikan di dalam plastik dekat di mukanya.

“… selendang saya yang jadi kain balut kepala anak puan tu,” tekanku kuat. Geram difitnah sesuka hati.

Pedih di pipi masih belum hilang rasanya. Andai tidak diingatkan wanita ini lebih tua dariku, mahu saja aku tampar kembali wajahnya. Dia terkedu. Tergagap-gagap hendak berkata-kata.

“And I am not as stupid as you said. Thanks anyway atas cara puan ucapkan terima kasih pada saya dan darah yang dah saya dermakan dalam tubuh anak lelaki puan tu, saya halalkan!” tekanku lagi lalu berlalu keluar dari wad itu.

Setitis air mataku menitis. Rinduku pada arwah ibu dan ayah menggamit lagi. Andai ibu, tak mungkin dia menampar aku begini.

Aku terus melangkah pantas menuju ke pintu keluar. Waktu ini baru aku sedar, aku tidak hanya memegang plastik berisi selendangku itu tapi juga jaket kulit lelaki itu ada di tanganku. Rasa hati mahu saja aku berpatah balik dan melemparkan jaket tersebut ke wajah wanita sombong itu tadi, tapi bila difikirkan kepala yang tidak sempurna bertutup, aku terus tebarkan jaket tersebut di kepalaku. Jaket yang berlumuran darah yang pasti.

Jam dipergelangan tangan aku kerling sekilas. Tepat jam 6.00 petang dan aku baru saja turun daripada teksi lalu aku lajukan langkah masuk ke rumah. Tubuh ini terlalu penat dan pipi ini masih terasa pedih. Aku bawa langkahku ke bilik air. Jaket itu aku campak saja ke dalam besen. Geram, sesungguhnya aku geram. Andai aku mampu menampar kembali wajah itu, baru puas hati ini.

Perlahan-lahan, aku basuh wajahku yang masih melekat kesan darah lelaki tadi. Baju ini sudah berbau hanyir dengan darah. Cepat-cepat aku bersihkan diri agar hilang segala kesan darah. Aku tidak mahu biar secalit darahnya melekat ke tubuhku. Kesan jarum di lengan semakin menjadi lebam. Ya Allah, ikhlaskah aku membiarkan darahku mengalir di dalam tubuh lelaki itu? Aku meraup wajah. Rasanya, sukar aku ikhlaskan diri setelah apa yang terjadi antara aku dan ibunya tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience