WAJAHKU basah dek airmata tatkala menerima khabar yang memungkinkan segalanya itu. Sungguh aku tidak percaya. Belum saja aku menjejakkan kakiku ke lantai hospital, aku telah dikhabarkan akan berita yang telah merenggut kejam segala kebahagiaanku.
Tidak puaskah takdir mempermainkanku? Tidak sudahkah Tuhan mahu merampas segalanya daripada aku? Tidak layakkan aku bahagia di atas muka bumi ini? Benci benarkah dunia ini padaku?
“Saya rasa mesti doktor tersilap. Cuba doktor buat pemeriksaan sekali lagi. Saya yakin doktor tersilap,” tekanku dalam pada mengawal airmata yang semakin galak menitis. Sebaik mungkin aku kawal diri agar tidak teresak-esak.
“Tak, cik,” balas doktor itu di hujung talian.
“Kami yakin dengan keputusan pemeriksaan kami. Darah yang digunakan semasa cik menderma darah kepada Encik Iman Shauqi tercemar dengan HIV, cik. Kami harap, cik dapat ke hospital dengan segera untuk pemeriksaan lanjut.” Tenang saja suara doktor itu di hujung talian.
Tanpa membalas aku langsung mematikan talian dan telefon bimbit itu aku hempas ke dinding.
“Apa lagi yang Kau nak dari aku? Apa lagi? Tak cukup ke Kau ambil orang tua aku? Tak cukup ke sampai Kau duga aku begini??” tempik aku tanpa sedar yang aku menyalahkan takdir.
“Ya Tuhan, kasihanilah aku. Jangan diduga aku begini.” Aku sudah teresak-esak demi perkhabaran itu. Bintik-bintik kecil yang semakin memerah tu aku renung lama dengan pandangan yang kabur.
Apa lagi yang tinggal buat aku nanti? Di manakah lagi harus aku berlari mengejar kebahagiaan yang tidak pernah mahu menjadi milik aku biarpun seketika kerana Tuhan tidak mengizinkan?
Tidak dapat menerima hakikat yang telah pihak hospital nyatakan, aku terus mengatur langkahku, pulang ke rumah. Semangatku langsung tiada bersisa. Kudratku sudahnya tiada berbaki. Jasad ini bernyawa namun sudah tidak punyai jiwa dan hati.
Share this novel