AKU duduk di bangku kecil meja solek, merenung wajah di dalam pantulan cermin. Pucat seperti mayat yang tidak lagi bernyawa. Sejuk bagaikan salju yang memutih. Airmataku bergenang lagi kelopak mata. Hebatnya dugaan-Mu, Ya Tuhan. Namun, mengapakah aku yang Kau duga setelah sekian lama?
Mahu saja aku menyalahkan takdir beratus kali tapi di manakah hak diri ini? Tapi, aku benar-benar tidak dapat menerima kenyataan sehebat ini. Airmataku terus merembes laju. Tidak pernah mahu kering sejak dua minggu yang lalu setelah aku menerima berita ini. Ke pejabat juga, sudah hampir seminggu tidak ku jengah.
Semakin ku renung cermin itu, semakin ku ternampak wajah Iman. Sedaya upaya aku tolak bayangannya, semakin galak wajah itu hadir di depanku.
“Kau memang jahanam Iman. Sebab kau aku jadi macam ni. Kalau bukan aku tak tolong kau, aku tak akan jadi macam ni!!” Aku bertempik sekuat hati. Pecah berderai cermin yang seakan-akan ketawa sinis padaku. Teresak-esak aku terduduk di depan almari solek yang telah pecah berderai cerminnya.
“Sayang!!” Nafas Iman mengah. Dia muncul di muka pintu biliknya ini tiba-tiba.
Sejak Imam Mansor nikahkan kami, Iman nekad hendak membawa aku pulang ke rumah keluarganya. Duduk bersama dengan mertua yang tidak menyukaiku dan suami yang menjadi kebenciannya yang utama.
“Kenapa ni?” tanya dia lagi setelah dia hampir padaku. Dia duduk mencangkung dan kaca-kaca kecil itu dia tolak berhati-hati agar menjauh dari kakiku.
“Kenapa ni, sayang?” tanya dia tenang. Suara itu tidak pernah meninggi terhadapku. Aku mahu menyayangi dia seperti mana rasa halus itu pernah hadir waktu pertama kali aku melihat dia dibasahi darah dulu tapi aku tidak mampu melawan kebencian ini.
“Kalau kata luka tadi, macam mana?”
“Oh., kau takutlah kalau aku luka kena kaca ni? Kau nak cakap takut aku jangkitkan semua orang dengan darah aku ni?” tanya aku meninggi.
Iman mengeluh berat. Jemariku dipaut dan aku lebih pantas membentak. Dia tidak putus asa. Sekali lagi diraih dan kali ini aku biarkan saja dia meramas lembut jemariku.
“Abang tak cakap macam tu pun, Syaukah Wardah. Abang takut sayang sakit. Sayang kan kurang sihat. Penat abang paksa sayang ke hospital, tapi sayang tetap tak nak. Abang pun dah tak tahu nak buat apa lagi dah. Sayang suka salah faham pada abang,” ujarnya lembut.
Selama kami menikah beberapa minggu yang lalu, dia tidak pernah berkasar denganku. Sehebat mana mulutku mengeluarkan kata-kata kesat, dia hanya tersenyum dan membalas segalanya dengan lembut dan tenang.
“Memang aku suka salah faham lebih-lebih lagi pada orang macam kau ni. Kau tak akan pernah tahu apa yang telah aku lalui di dalam hidup ni. Pedih tahu tak? Perit sangat hendak aku tanggung!” jerkahku pada dia. Iman senyum lagi.
“Jangan cakap macam tu, sayang. Cuba pujuk hati sayang tu untuk terima takdir hidup sayang. Jodoh sayang dengan abang memang aturan Allah. Mungkin caranya silap tapi hubungan kita ni adalah satu anugerah, sayang.” Semakin lembut suara Iman memujukku. Jemari kasarnya itu singgah lagi di pipiku, mengelus lembut membuatkan aku terbuai seketika.
“Sayang belajar terima takdir yang telah Tuhan aturkan buat kita, ya?” Dia mengedipkan matanya sekali dan aku yang bagaikan baru tersedar dari usapan lembutnya, terus saja menepis kasar tangan itu.
“Kau jangan nak bercakap soal takdir dengan aku, Iman,” ujarku dengan suara yang bergetar hebat dan airmata yang kembali menitis ke pipi.
“Kau tak akan pernah tahu betapa hebat aku dipermainkan takdir. Kau tak tak akan tahu yang takdir telah rampas ayah dan ibu aku waktu aku masih kanak-kanak lagi. Kau tak akan tahu betapa susah aku lalui hidup bersendiri di dalam dunia ni. Kau tak tahu betapa payah aku nak terima kenyataan yang aku ni dijangkiti kuman HIV dan lebih parah lagi aku terpaksa akhiri zaman bujang aku dengan titik hitam. Kau tak pernah rasa itu semua, Iman.”
Iman menggeleng kesal. Dia beristighfar panjang. “Mengucap sikit, Syaukah Wardah!” tegur dia agak keras. Mata itu sedikit membulat.
“Sayang sedar tak sayang sedang menyalahkan takdir. Menolak takdir bermakna menolak percaturan Allah dan itu adalah salah sama sekali. Berdosa besar!” tekan dia lagi.
“Kau memang rasa ini semua salah tapi aku yang menanggung ni terlalu perit, Iman. Aku terpaksa hadapi kau sebagai suami dalam pada aku sakit macam ni. Aku terpaksa hadapi mak kau yang memang benci aku. Kau ingat aku nak hadap semua ni ke, Iman? Kau nak aku hadap semua ni sedangkan aku ni berperang dengan maut?” Aku tolak tubuh itu lalu aku berdiri. Membawa tubuhku yang sudah susut benar ke birai katil.
Tangisanku sudah meninggi. Aku sudah tidak mampu menggalas bebanan ini. Mengapa Kau duga aku seberat ini, Ya Tuhan? Apakah khilafku selama ini sedangkan aku ikhlas membantu Iman Shauqi kala itu. Rintih hatiku pedih. Aku cengkam dadaku sekuat hati. Sakit, terlalu sakit.
“Ya Allah,” keluh Iman lantas dia datang mendekat padaku. Dia labuhkan lutut di depanku lantas jemari ini disapanya sekali lagi.
“Kenapa mesti jadi selemah ni, sayang? Manusia seringkala bertanya, mengapa dugaan sehebat ini? Dan Allah berfirman dalam surah Surah Al-Imran, ayat 139, yang membawa maksud, tidak Dia membebani seseorang hamba itu kecuali sesuai dengan kesanggupannya untuk menggalas beban tersebut dan abang yakin, sayang kuat untuk hadapi semua ni,” tegas Iman padaku. Aku lihat kelopak matanya bergenang. Sedih barangkali dengan sikapku yang menolak aturan hidupku bulat-bulat.
“… dan manusia juga sering bertanya, mengapa aku diuji? Dan Allah menjawab dalam Surah Al-Ankabut, ayat 2, yang membawa maksud, tidak cukup sekadar pengucapan aku telah beriman padahal kita semua masih belum diuji seperti mana Allah menguji kaum-kaum sebelum kita, sayang. Bawa mengucap, Syaukah Wardah. Jangan terlalu diamuk oleh sifat syaitan yang dilaknat,” sambung dia lagi.
Lidahku kelu. Rasanya inilah pertama kali aku tertewas oleh bicara Iman. Termangu juga aku seketika bersama airmata yang semakin lebat titisannya. Kali ini, genggaman tangan Iman, aku balas seeratnya.
“Tapi, macam mana Wadah nak hadapi semua ni? Wadah tak mampu. Wadah tak nak mati dalam keadaan aib begini sebab kesilapan orang lain,” ujarku lirih.
Iman membawa jemari suamnya menyeka airmata di pipiku. Rasanya inilah pertama kali aku dibisik rasa pilu dan rasa hati yang sudah mahu berlembut dengannya dan tanpa aku sedar, terluncur lancar namaku dari celah bibir ini. Aku lihat Iman melebarkan senyumannya.
“Bila manusia bersoal lagi, harus bagaimana aku hadapi semua ini? Allah menjawab, Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu menghadapi dugaan dengan mengerjakan perkara kebaikan dan teguhkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuhmu dan bertaqwalah kepada-Nya agar kamu beroleh kemenangan. InsyaAllah, sayang mampu hadapi dugaan ini. Kan abang ada bersama. Bila sayang jadi macam ni, abang turut rasa bersalah. Sebab abang, sayang tanggung semua ni. Mungkin kesilapan pihak hospital, tapi dah takdir. Sebab tu abang nak bawa sayang ke hospital untuk rawatan lanjut. Jangan terus macam ni dan dera diri sendiri. Dera hati abang. Tolak semua insan yang sayangkan Syaukah,” ucapnya panjang lebar.
Aku tidak menjawab. Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak. Hanya sekadar merenung wajah bersih di depanku ini. Wajah lelaki yang telah sah menjadi suamiku bila Imam Mansor memaksa aku menerima lamaran Iman kerana kami telah ditangkap berduaan.
“Kalau kata Wadah tak dapat bertahan dengan dugaan ni….?” Soalku lagi. Aku takut andai aku tidak mampu dan iman yang terlalu tipis ini cari akhirnya hingga menyebabkan aku melakukan perkara yang di luar dugaan nanti.
“Sayang boleh. Abang ada untuk temankan sayang selamanya. Bila manusia berkata aku tidak dapat bertahan! Allah menjawabnya, dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada putus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir seperti maksud firmannya dalam Surah Yusuf, Ayat 12. Isteri abang kuat. Isteri abang baik hati sebab sudi menolang abang satu waktu dulu dan abang yakin dengan janji Allah pada kita sebagai hamba-Nya seperti dalam Surah Al-Insyirah ayat 6, sesudah kesulitan pasti akan ada kemudahan. Jadi, untuk apa kita mengeluh demi sebuah dugaan yang hanya sebesar zarah sedangkan kita tahu hikmat orang yang bersabar itu terlalu hebat anugerah dari-Nya, sayang,” pujuk dia lagi.
Bibirku bergetar tidak mampu lagi mengungkap kata. Betapa selama ini aku menolak segala yang berlaku sebagai kesilapan takdir. Kesilapan Tuhan sedangkan aku lupa, yang aku ini berpijak di bumi-Nya, berbumbungkan langit Allah yang agung.
Kala ini, hanya airmata yang mampu menggambarkan kekesalanku kerana menyalahkan takdir atas apa yang telah terjadi ke atasku. Tanpa sedar, aku paut tubuh Iman kuat ke dalam pelukanku.
“Wadah salah pada semua orang. Wadah sakitkan hati Syarina Huda. Wadah sakitkan hati awak. Wadah sakitkan hati sendiri. Ampunkan Wadah,” ucapku bersendu dekat di peluput telinga Iman.
Waktu ini, dapat ku rasakan belaian lembut Iman menyapa kepala dan belakangku. Memberi ketenangan setelah sekian lama aku biarkan hati ini dibadai resah angkara dugaan yang mendatang.
“Abang sentiasa maafkan, sayang. Janji dengan abang, kita akan ke hospital untuk terima rawatan. Abang akan lakukan apa saja untuk sayang selagi termampu. Rasanya selautan intan, segunung permata, selembah nilam pun tidak mampu membalas setiap titis darah sayang yang mengalir di dalam tubuh abang ni,” bisiknya lalu dia kucup telingaku lama.
“Abang cintakan, sayang. Cinta, sesungguhnya cinta kerana sayang adalah isteri yang telah Allah anugerahkan buat abang,” gumamnya di telingaku.
Iman menolak tubuhku rebah ke katil. Perlahan-lahan dia hampiri wajahku. Baru saja bibir itu hendak mendarat di bibir milikku, aku menolak dia agak kasar. Wajah itu keruh.
“Jangan,” larangku keras.
“Wadah tak nak awak dijangkiti. Jangan dera Wadah macam ni,” sambungku dengan nafas resah yang tertahan-tahan.
Iman senyum dan menggeleng. “Abang cuma nak hadiahkan kasih sayang abang pada sayang je. Yang lain abang tak takut. Tak risau.”
“Tapi, Wadah risau. Wadah takut. Tolong jangan sentuh Wadah.” Aku terus melarangnya. Perlahan-lahan aku mengesotkan tubuhku sedikit menjauh daripada dia.
“Abang faham sayang risau dan abang tak akan memaksa sayang,” ucapnya lalu dia tersenyum dan berlalu ke bilik air.
Share this novel