BAB 9

Romance Completed 6030

MATA ini aku buka perlahan-lahan bila mendengarkan ketukan kuat pada pintu. Bila aku bulatkan mata, ternyata Iman sudah tiada di sisiku. Rasanya malam tadi, dia terlena memeluk pinggangku. Jam sudah bergerak ke angka 10. Usai Subuh tadi, aku kembali merebahkan tubuh dan tidak sangka aku boleh terlena hingga terlajak begini.

Tubuh yang lemah ini aku bawa ke pintu dan bila aku kuakkan daun pintu, wajah mama Iman dan seorang wanita yang tidak aku kenali terbias di mataku.

“Ya, puan?” tanyaku lembut. Hingga ke hari ini, aku tidak pernah memanggilnya mama biarpun aku benar-benar berharap begitu. Rindu pada kasih sayang ibu.

“Hoi, kau ingat ni rumah mak bapak kau ke? Suka-suka kau je nak bangkit lewat-lewat. Mentang-mentanglah anak aku tu bagi muka dekat kau, kau jangan ingat kau boleh jadi permaisuri pulak dalam rumah ni,” marah dia tiba-tiba. Terkebil-kebil mataku melihat dua orang wanita di hadapanku ini.

“Inilah perempuan yang perangkap Iman kalau Myra nak tahu,” beritahu mama Iman pada wanita muda ini. Dia melihatku dari atas ke bawah dan sebaliknya.

“Ingatkan cantik sangat. Macam mayat hidup je Myra tengok aunty!” ucap dia sinis.

Aku kelu. Benar aku kini menjadi mayat hidup. Hanya berjasad dan bernyawa namun tidak berjiwa kerana dimamah oleh sakit yang aku tanggung.

“Saya tak perangkap Iman dan kami kahwin kerana jodoh kami,” jawabku selepas berjaya menenangkan hati sendiri. Andai kata mama Iman mengetahui keadaan diriku yang sebenarnya, rasanya dia akan terus menyeret aku ke luar rumah. Aku tahan nafas seketika. Hampir saja air mata ini menitis. Melihatkan penampilan dan kejelitaan wajah wanita yang pernah menjadi tunangan Iman, aku memang tewas segalanya.

“Maafkan saya, Myra. Iman suami saya dan kalau dia mahu nak pilih Myra, saya relakan,” ucapku lalu aku rapatkan kembali daun pintu.

“Tengok tu. Kau tu memang kurang ajarlah, Syaukah Wardah. Memang tak layak untuk Iman. Aku nak kau minta cerai dari Iman hari ni jugak!” tempik mama Iman dari luar.

Airmataku mengalir laju. Rasanya baru semalam aku rasai hangatkan kasih Iman dan tulusnya penerimaan dia padaku yang serba kekurangan ini namun akhirnya, takdir benar-benar menguji lagi dan sudah pastinya aku tidak boleh menjadi hamba yang tewas. Rebah dikaki duka sedangkan Iman telah berpesan padaku agar terus kuat kerana Allah masih bersamaku.

Tengah hari itu, aku dikejutkan dengan kepulangan Iman. Wajah itu tersenyum mesra.

“Kenapa balik?” tanyaku sewaktu sedang merapikan rambut di depan cermin. Iman tidak menjawab sebaliknya dia hampir padaku dan mengambil sikat lantas dia menyikat rambutku perlahan-lahan.

“Abang dapat call dari pihak hospital. Doktor minta abang bawa sayang untuk pemeriksaan,” jawabnya.

Aku renung mata itu dari pantulan cermin. Dia tidak membalas namun aku tahu dia sedar yang aku sedang memerhatikan dia.

“Kalau tak pergi?” dugaku. Iman menggeleng.

“Tak boleh tak pergi. Demi cinta abang pada sayang, demi kasih Allah pada kita semua, sayang kena ikut abang. Kita buat rawatan hingga ke penghabisan. Abang yakin Allah akan beritakan khabar gembira buat orang-orang yang sabar.”

Dia memang bersikap terbuka dan positif lantas membuatkan aku berasa yakin biarpun kepedihan akibat herdikan mama dan Myra masih jelas berdengung di dalam telingaku. Hendak aku khabarkan pada Iman adalah sesuatu yang tidak mungkin. Mustahil!

“Berita yang akan awak terima satu hari nanti, adalah berita kematian saya dalam keadaan yang mengaibkan, Iman,” ujarku dengan nada suara yang sedih.

Benar begitu. Bila-bila masa aku akan pergi kerana kuman di dalam tubuhku ini, tidak pernah berhenti menghakis dan menjadi parasit di dalam seluruh daging dan urat sarafku. Tubuh ini juga semakin susut. Wajah juga cengkung.

“Kematian itu pasti. Abang juga akan mati satu hari nanti. Mungkin benar, sayang yang akan pergi dulu, tapi abang pun akan menyusul bila tiba waktu dan ketikanya dan andai begitu, abang nak sayang tunggu abang kat sana. Duduk di sisi Allah yang maha agung dan lagi berkuasa menanti abang hadir menemani sayang. Cuma, selagi sayang ada di muka bumi ini, kita ikhtiarkan sesuatu agar wajah ni…” Dia belai wajahku lembut. Dagunya dia sangkut di bahuku.

“… kembali ceria menikmati hidup bersama abang,” bisiknya. Kelopak mataku terasa sarat mendengarkan kata-katanya. Tangan itu aku cium lama.

“Wadah akan ikut awak.” Aku memberikan persetujuan dan Iman menggariskan senyuman lebar buatku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience