BAB 3

Romance Completed 6030

AKU jamah dahiku yang terasa sedikit panas. Rasanya, peristiwa itu sudah berlalu hampir dua minggu tapi entah mengapa, kesan lebam di lenganku tidak juga mahu hilang. Tubuh juga rasanya tidak bermaya saja. Baru beberapa fail aku belek, sudahnya terpaksa aku tolak ke tepi bila mata ini berpinau-pinau rasanya.

“Syaukah Wardah!”

Aku lepaskan jari yang sedari tadi memicit kepala bila terdengar namaku diseru dan ternyata teman pejabatku, Syarina Huda sedang menapak ke arahku tenang. Ada beberapa buah fail yang dijinjitnya.

“Banyaknya,” rungutku di luar sedar. Syarina Huda senyum. Dia labuhkan duduk di depanku dan fail itu turut sama diletakkan di atas meja.

“Banyaklah juga. Siapa suruh kau cuti sakit banyak hari? Kan dah banyak kerja menanti,” sela Syarina Huda dengan senyuman. Aku mencebik.

“Dah nak sakit, kenalah cuti sakit. Tak kan nak datang juga.”

“Kau ada ada cerita nak bagitau aku?” tanya Syarina Huda setelah melabuhkan duduk di depanku.

“Tak ada apa yang menarik pun. Cerita aku kena pelempang dengan seorang mak cik ni,” selaku tenang. Syarina Huda tekup mulut.

“Wanita setegas dan segarang kau ni kena pelempang?” tanya dia lagi tidak percaya.

“Menarik cerita kau ni,” sambung dia lagi. Aku bulatkan mata. Dia ni memang sengaja nak memerliku.

“Dah nak kena, aku nak kata apa,” selaku tenang.

Benar begitu, usah dikenang perkara yang sudah. Tapi, pedih di hatiku masih terasa dengan tuduhan wanita separuh umur itu sedangkan niatku hanya mahu membantu insan yang memerlukan biarpun setiap kali, aku bersikap keras dan tegas tapi itu tidak bermakna, langsung sirna rasa belas di dalam diri ini.

“Apa cerita ni, Wadah? Aku rasa ada sesuatu yang menarik ni, sampai kau kena penampar ni,” tebak Syarina Huda. Ada sengihan nipis di hujung bibirnya.

Aku renung wajah itu lama. Mataku terus terbias oleh wajah lelaki itu. Iman! Iman! Seru hati ini tanpa sedar. Wajah berdarah itu jelas lagi di mataku. Suaranya juga masih berdengung di peluput telingaku tapi tidak lama, bila hati ini digigit lagi oleh kepedihan akibat tamparan wanita yang mengakui mamanya itu.

“Tak ada apalah, Sya. Biarlah. Benda dah berlalu. Let it be, okay?” pujuk aku pada Syarina Huda agar dia tidak terus mendesak.

“Nampak macam berkaitan dengan lelaki, kan? Dah terbuka hati nak menerima cinta ke hati kau tu, Wadah?” Soalan temanku itu dan kali ini aku sambut dengan jelingan tajam.

“Kau ni, cinta tak cinta. Pipi aku kena pelempang dekat mak lelaki tu masih rasa lagi tau. Tapi bukan rasa kat pipi, aku rasa kat hati!” tekanku tegas. Menghantar maksud yang aku tidak selesa bila Syarina Huda mengungkit bicara tentang cinta sedangkan aku sendiri tidak pernah merasai kasih sayang sejak ibu dan ayah kembali ke rahmatullah sejak aku kecil lagi. Hati ini, tandus dengan kasih sayang sehingga hari ini.

Syarina Huda ketawa kecil. Tapi tidak lama bila dia memaut lenganku yang jelas menunjukkan kesan lebam itu bila lengan baju kurungku tersingkap.

“Lengan kau ni kenapa? Teruk sangat lebamnya?” tanya dia risau. Aku geleng kepala tanda tidak tahu.

“Habis naik bintik-bintik kat lengan kau ni. Kau kenapa Wadah?” tanya dia lagi. Riaknya jelas menunjukkan yang dia bimbang melihatkan keadaan kulitku.

Aku renung bintik-bintik kecil yang tumbuh memerah di sekitar lenganku. Pelik. Rasanya tadi tak ada ni, bisik hatiku sendiri. Aku renung wajah Syarina Huda di depanku. Wajahku berkerut seribu.

“Semalam tak ada ni, Sya,” ucapku sedikit kalut. Aku terus tarik cermin dari dalam laci dan merenung wajahku. Agak pucat dan mata juga lebam.

“Kau tak sihat lagi ni, Wadah. Aku rasa lebih baik kau pergi klinik. Hospital ke. Aku agak kau ni kena campak ni.”

Aku menggeleng. “Aku dah pernah kena campak dulu,” protesku.

“Campak boleh naik berkali-kali apa.” Kali ini giliran Syarina Huda pula menggeleng.

Aku termenung lagi. Mungkin benar kata Syarina Huda. Sudahlah beberapa hari ini diri ini tiada berkudrat rasanya. Jika sebelum ini, jarang tubuhku dimamah penat sehingga begini tapi hari ni, rasa lain macam pula.

“Pergi jelah klinik, Wadah. Nanti kau biar lama-lama makin melarat pulak,” nasihat dia padaku. Aku diam seketika sebelum menjawab.

“Tapi, kerja ni.” Mata ini aku larikan ke arah fail yang baru saja Syarina Huda letakkan di atas meja. Dia senyum tipis.

“Aku ada,” balas dia tenang. Bahuku ditepuk lembut dan aku terus saja menarik beg tangan dari dalam laci, dan terus berlalu setelah Syarina Huda berjanji hendak memaklumkan kepada bos tentang perkara ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience