BAB 10

Romance Completed 6030

KATA Doktor, keputusan pemeriksaan darahku akan keluar dalam seminggu lagi. Pemeriksaan yang akan memastikan benarkah aku akan membawa kuman HIV ini pergi bersamaku nanti. Kembali kepada pencipta disebabkan ini.

Raut Iman risau. Biarpun selebar mana dia tersenyum, dia tetap nampak gundah. Riak itu tampak gusar.

“Berapa kali lagi kena ambil darah?” tanya dia. Aku jungkit bahu.

“Tunggu hospital telefon kalau perlu ambil darah lagi,” jawabku sambil memandang Iman yang tenang memandu.

“InsyaAllah, kalau kata keputusannya tak memihak pada kita, abang tetap cintakan sayang sampai bila-bila selagi Allah izinkan cinta kita bertaut,” balas Iman sambil menggenggam erat tanganku.

Aku gariskan senyuman terpaksa. Kala hati ini tersapa oleh cinta, aku pula bakal pergi meninggalkan dia satu hari nanti. Hanya cepat dan lambat saja waktu itu tiba tapi segalanya pasti.

“Eh, yang. Macam ada orang ikut kereta kitalah,” beritahu Iman tiba-tiba. Aku terus kalih ke belakang tapi tidak pula aku perasankan apa-apa. Semuanya biasa saja.

“Mana?”

Iman menggeleng. “Tak ada apalah. Perasaan abang je kot,” dalih dia sedangkan aku lihat, terentang kerut di dahinya itu. Dia terus menggapai jemariku dan menggenggamnya erat lebih dari selalu.

Malam itu, kami dikunjungi Myra. Iman masih belum pulang dari masjid bila mama dan Myra menyerang aku sewaktu aku sedang berbaring di dalam bilik.

“Kenapa ni, puan?” tanyaku bila dia mula menggeledah laci meja solek. Tidak cukup dengan itu, dia selongkar pula beg tanganku dan ternyata, dia terjumpa sesuatu yang selama ini aku dan Iman sorokkan kemas daripada pengetahuannya. Aku kecut. Nafasku semput. Bibir Myra herot dengan sinis.

“Kau memang perempuan laknat. Tak sangka kau sanggup biarkan anak tanggung mayat hidup macam kau ni, kan?” tengking dia kuat. Bergema seluruh kamar ini.

“Apa yang saya buat?” tanyaku tergagap-gagap. Buat-buat tidak tahu dengan kertas laporan yang ada di tangannya.

“Dasar perempuan hina. Kau ada HIV tapi tergamak kau paksa Iman kahwin dengan kau, kan?” tengking dia lagi. Kali ini, rambutku sudah menjadi mangsanya. Kepedihan hati lebih hebat andai hendak dibandingkan dengan kepedihan pada kulit kepalaku.

“Tak, saya tak pernah paksa Iman kahwin dengan saya. Jodoh kami adalah aturan Allah.” Aku masih mahu membela diri.

“Tak paksa apa? Myra yakin memang dia paksa Iman, aunty. Sebab tu Iman lari tinggalkan Myra dan kahwin dengan dia,” tokok Myra.

“Dah kau buatkan aku saksikan kecurangan kau depan mata aku sendiri hinggakan aku kemalangan dulu tu, kan Myra?!” Kali ini, berdentum suara Iman. Entah bila dia pulang dari masjid. Tubuh itu kemas dibaluti sepasang baju melayu kuning langsat.

Dia melepaskan jemari mamanya yang masih memegang rambutku lalu dia bawa aku rapat ke dadanya. Bersama dia dan berada di dalam pelukannya membuatkan aku rasa dilindungi oleh kesakitan dunia. Tangisku bagaikan sudah tidak berkesudahan.

“Kenapa mama tak habis-habis nak dera isteri Iman, ma? Tak kasihankah mama pada dia? Dia anak yatim piatu mama. Tak punya sesiapa lagi selain kita,” ucap Iman merayu. Mamanya mendengus.

“Mama benci dia Iman. Dan Iman pun tergamak simpan perempuan yang ada HIV ni dalam rumah kita. Jangan cakap kamu dah sentuh dia Iman. Jangan cakap kamu juga dah kena penyakit jijik ni!” Mama melemparkan kertas laporan kesihatanku itu pada kami.

“Sentuh atau tidak, itu rahsia rumahtangga kami, ma dan Iman nak mama tahu, Syaukah Wardah jadi macam ni sebab dia kekurangan darah selepas dia dermakan darah dia pada Iman masa Iman kemalangan dulu. Dan darah yang hospital masukkan ke dalam tubuh dia tu ada HIV. Bukan salah dia!”

Aku lihat mama diam. Dia berpandangan dengan Myra yang sudah nampak kalut wajahnya.

“Dan kau Myra. Keluarlah dari syurga aku dan isteri aku ni. Aku tak pernah izinkan sesiapa pun jejakkan kaki ke dalam bilik kami. Dah cukup kau curang dengan aku selama ni sampaikan aku hampir hilang pertimbangan dan mengalami kemalangan tu. Dah cukup kau mengintip setiap langkah aku dan Syaukah Wardah selama ni,” sambung Iman tenang.

Aku terkedu. Benar seperti yang Iman rasa selama ini. Memang ada yang mengekori kami dan orang itu adalah Myra. Kali ini pastilah Myra juga yang mengadu tentang aku kepada mama Iman.

“Betul ke Iman cakap tu, Myra? Betul ke Iman cakap Myra curang pada dia?” Mama Iman kini memandang Myra pula. Wajah Myra pucat. Dia menggeleng berkali-kali menidakkan kenyataan. Tanpa berkata apa-apa dia terus berlari keluar. Mama mengeluh berat memandang tajam ke arah aku yang masih di pelukan Iman.

“Biar benar sekalipun, Myra curang dengan Iman, mama tetap tak suka nak bermenantukan perempuan entah dari mana asal usul ni tambah pula dia ada HIV. Mama jijik!” jerit mama kuat lalu dia juga turut sama berlalu.

Iman mengampiri pintu. Daun pintu dirapatkan lalu dia kembali menarik tanganku dan membawa aku duduk di atas katil. Jemari kasar itu tetap setia menyeka linangan airmata di pipiku. Namun, semakin diseka, semakin lebat pula hinggakan bahu aku terhinju-hinjut menahan sendu.

“Syhh, sekali lagi abang minta maaf bagi pihak mama abang, sayang. Maafkan dia. Hati dia baik tapi dia perlukan sedikit masa untuk terima pernikahan kita. Sayang maafkan mama, ya?” pinta Iman penuh rendah diri. Aku mengangguk lemah. Apa lagi yang mampu aku lakukan selain memberi dan menerima maaf.

Sisa-sisa hayat yang ada ini, aku sudah tidak mahu mencipta dosa. Aku mahu kembali pada penciptaku dengan keadaan putih tak ternoda. Bagaikan bayi yang baru dilahirkan biarpun aku tahu itu adalah mustahil.

“Kenapa tak cakap dekat abang yang mama dengan Myra pernah serang sayang sebelum ni?” tanya dia tenang.

“Tak ada guna Wadah nak mengadu. Seburuk mana pun, dia tetap mama awak. Mama yang melahirkan awak. Jika benar dia tak sukakan Wadah, awak lepaskanlah Wadah pergi. Sementara awak masih punyai mama, hargailah sebab Wadah tahu, betapa peritnya hidup tanpa kasih sayang seorang ibu,” ucapku separuh berbisik.

Iman ketap bibir seketika. Dia tunduk mengucup jemariku. “Kenapa nak cakap macam ni, sayang? Biar apa pun terjadi, sayang adalah tanggungjawab yang telah Allah amanahkan buat abang dan abang yakin, mata hati mama akan terbuka satu hari nanti. Mungkin perlukan masa. Percayalah sayang, kemenangan akan berpihak pada hamba yang sabar. Allah tak mungkin persiakan kesabaran seseorang hamba itu. Bukankah Allah telah berfirman, dan bawakanlah khabar gembira kepada hamba yang sabar?” Dia angkat wajah dan merenung anak mataku.

Aku angguk perlahan. Sememangnya dia adalah seorang anak dan suami yang baik namun aku juga tidak sudah diserang rasa bersalah kerana tidak mampu menjadi isteri yang sempurna pada dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience