BAB 5

Romance Completed 6030

HARI ini, sudah berpuluh panggilan daripada pihak hospital aku biarkan tidak bersambut. Rasanya tiada guna lagi hendak aku ke sana setelah mereka berkali-kali menyatakan yang keputusan itu adalah positif dan tubuh ini sedang dimamah oleh satu virus yang sememangnya tidak punyai penawar sejak sekian lama. Keajaiban juga tidak mungkin!

Puas ku tahan airmata, tapi tembok ini sudah tidak sekukuh mana. Menitis jua air jernih itu akhirnya. Sedang aku meraup wajah, telinga ini menangkap suara yang memberi salam. Semakin ku biarkan, semakin kuat laungan itu.

Aku bangkit dan mengelap wajah. Selendang berwarna putih mutiara itu aku belit ala kadar saja. Membiarkannya tanpa niat untuk aku kemaskan sedikit pun. Bila aku menjengah melalui langsir, seorang lelaki tegak berdiri di depan pagar rumah arwah ibu dan ayahku. Nampak segak dengan pakaian pejabat.

Aku hanya diam memerhati, berkira-kira jika lelaki itu mahu saja berlalu. Tapi sayang, kerana dia masih bersungguh-sungguh memberi salam di bawah terik mentari tengah hari ini.

“Assalamualaikum, Cik Syaukah Wardah,” laung dia entah kali yang ke berapa. Kali ini, aku mula terasa lain bila namaku diseru oleh lelaki itu. Suara itu pernah menyapa telingaku sebelum ini tapi wajah itu langsung tidak mampu aku cam sepenuhnya.

Aku tarik daun pintu perlahan-lahan. “Waalaikummussalam,” jawabku lalu aku melangkah mendekati pagar. Wajah lelaki itu nampak serba salah melihat ke wajahku. Antara senyum dan tidak itu, dia hanya memandang aku dengan renungan yang sukar hendak aku ertikan.

“Cari siapa?” tanyaku cuba berbahasa.

“Saya cari awak, Syaukah Wardah,” jawabnya tenang. Jemari itu pantas menyeka peluh yang merintik di dahinya.

“Kenapa? Kita kenal ke?” Wajahku berkerut seribu.

“Kita berkongsi anugerah yang sama, Syaukah Wardah!” tekannya agak keras. Semakin berkerut dahiku melihat dia yang berada di luar pagar.

“Awak ada apa hal nak cari saya?”

“Sebab awak dah tinggalkan sesuatu yang terlalu berharga yang pernah menjadi milik awak tapi kini mengalir dalam tubuh saya,” jawabnya lagi dan kali ini mataku bulat. Terkejut bukan kepalang bila memahami maksud lelaki ini.

“Iman?” tanyaku dengan nafas yang mula berhembus garang.

“Iman Shauqi?” Aku sekali lagi pohon kepastian dan bila dia mengangguk, hampir saja telapak tanganku melayang ke pipinya andai kami tidak dipisahkan oleh pagar besi ini.

“Kau nak apa datang cari aku?” soalku dengan suara yang keras. Langsung hilang kemesraan pada suaraku. Kelopak mataku terasa berat tiba-tiba.

“Susah payah saya cari awak, Syaukah. Terlalu susah saya nak ucapkan terima kasih pada awak sebab menolong saya sebulan lalu. Tenang saja dia menuturkan ayat begitu tanpa dia tahu hakikat yang sedang aku lalui ini.

“Pertolongan aku pada kau tu telah membawa bala dalam hidup aku, Iman! Bala yang terlalu berat hendak aku tampung dengan kudrat aku ni.” Aku tepuk dada sendiri agak kuat. Menyatakan betapa hebatnya dugaan yang melanda.

“Jangan cakap macam tu, Syaukah. Saya berusaha jejaki awak semata-mata untuk membalas budi,” ujarnya lagi.

Aku geleng kepala. Rasanya, budiku padanya sudah cukup terbalas. Menerima penampar daripada ibunya dulu dan hari ini menanggung azab angkara kecuaian pihak hospital sewaktu membuat pemindahan darah. Budi apa lagi yang dia maksudkan?

“Jangan bercakap soal budi dengan aku Iman. Kau tak akan dapat bayang apa yang sedang aku tanggung sekarang kerana budi tu. Baliklah Iman. Aku tak nak lihat muka kau lagi. Seperti pernah aku cakapkan pada mak kau dulu, aku halalkan darah aku yang mengalir di dalam tubuh kau tu,” balasku tegas lantas aku berlalu ke dalam rumah bersama juraian airmata yang kembali lebat.

Rindu pada arwah ayah dan ibu menggamit lagi. Pedihnya hati, sukar hendak aku gambarkan dengan kata-kata. Aku bawa telapak tanganku mencengkam dada kiri. Sakitnya, peritnya tak mampu aku menahan derita ini.

“Ibu dan ayah, tunggu Wadah. Wadah akan jumpa mak dan ayah tak lama lagi,” gumamku pada diri sendiri.

Sesungguhnya, aku telah menyerahkan segala untung nasibku kepada takdir. Letih hendak melawan kerana takdir tidak pernah berpihak padaku. Memang tidak pernah sekali pun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience