“MAAFKAN mama, Syaukah Wardah sebab terlalu buruk sangka pada kamu,” ucap mama padaku. Aku raih jemarinya dan aku cium lama.
“Wadah maafkan dan mama juga maafkan Wadah. Benar Wadah anak yatim piatu dan tiada siapa mengajar Wadah. Jadi, hari ni, Wadah mohon mama ajarlah Wadah. Pinjamkanlah Wadah sedikit kasih sayang seorang ibu yang tak pernah Wadah rasai selama ini,” ujarku dalam sebak. Dia mengangguk dan pelukan kami bertautan penuh mesra.
“Sayang dah sedia?” Soalan Iman menghalau jauh suara mama dari gegendang telingaku. Terkejut juga bila dia tiba-tiba memelukku erat dari belakang.
“Sedia untuk?” Sengaja aku mainkan dia.
“Untuk lepaskan lelah abang ni,” gumamnya semakin romantis. Aku bawa tubuhku menghadap dia.
“Wadah sudah lama bersedia untuk abang. Maafkan Wadah sebab ambil masa yang lama untuk ini,” ucapku penuh dengan rasa rendah diri.
Iman mengucup dahiku lama. Bila bibirnya lepas dari dahiku, dia singgah pula di bibirku dan kali ini lebih lama. Kala ini, ku rasakan darahku mengalir menongkah arus.
“Kan abang pernah cakap, yakinlah dengan Allah kerana Dia tahu apa yang terbaik buat kita, sayang,” ucapnya selepas dia melepaskan bibirku.
Aku renung matanya dan mengangguk. “Maafkan Wadah sebab pernah menyalah abang dan takdir atas apa yang terjadi.”
“Allah menduga pada hamba yang Dia sayang. Sebab Dia mahu kita terus ingat pada Dia tak lekang sesaat pun. Kerana itulah kita diciptakan di atas muka bumi ini. Selagi kita bernyawa, jangan putus asa. Mungkin kepedihan datang menjengah terlebih dahulu tanpa kita tahu, kebahagiaan akan menyusul kemudiannya. Kita tak tahu, tapi Allah Maha Mengetahui. Dia ambil ayah dan ibu sayang tapi Dia gantikan pula dengan mama dan abang. Mungkin kasih sayang sedikit berbeza tapi percayalah, kasih sayang abang pada sayang hebat,” ujarnya. Hampir saja airmataku menitis mendengarkan butir bicara Iman.
“Hanya pada Allah Wadah berserah. Sebelum tiba waktunya, Wadah akan lewati hari bersama abang dengan penuh rasa syukur dan redha. Bila tiba saatnya seperti yang telah Allah janjikan, hanya pada Dia Wadah serahkan roh dan jasad ini,” selaku dengan penuh rasa taubat.
Iman menolak bahuku lembut. Membawa aku rebah di sisinya. Perlahan-lahan jemari kami bertaut.
“Jangan tinggalkan, abang lagi,” ucap Iman dan waktu ini, aku rasakan seperti pertama kali dulu di mana dia merayuku dalam suara yang tersekat-sekat dan kala itu, hati ini sebenarnya sudah menjadi miliknya.
“Kepada-Mu kekasih, berkatilah hubungan kami ini dan lindungilah kami dari syaitan yang terkutuk,” bisik Iman tenang.
Aku pejamkan mata menerima kehadiran dia di dalam hidup dan hatiku dengan selebar-lebar pintu. Sesungguhnya, Allah benar-benar tahu apa yang terbaik buat aku kerana kasih sayang Allah terlalu luas melatari langit, menghampari di bumi.
Share this novel