“Cik Mya Ayyana, ada lagi yang awak sembunyikan?”
Ayyana tersedar. Dia menggeleng laju.
“Okey, sekarang awak terangkan bagaimana awak terjumpa mayat mangsa? Mustahil awak tak perasan ketika masuk ke tandas. Awak tak ada saksi untuk membuktikan awak tidak terlibat dalam kes ni,” tegas Inspektor Hafiy berkata.
“Betul, inspektor. Saya tak tahu apa-apa. Saya tak bersalah. Memanglah saya yang jumpa mayat dia. Tapi, saya tak membunuh,” sendu Ayyana.
Tuduhan yang diberikan kepadanya tersangatlah berat untuk dia tanggung. Membunuh! Dia bukan pembunuh!
“Awak mungkin membunuh mangsa sebab cemburu, Cik Mya Ayyana. Ada motif yang kuat untuk awak membunuh,” Ayyana tergeleng-gelengkan kepala tanda tidak mengakui tuduhan melulu Inspektor Hafiy.
Motif apa pula dia mahu membunuh gadis itu. Kenal pun hanya gitu-gitu saja.
“Saya sumpah. Bukan saya yang bunuh,” Inspektor Hafiy menumbuk meja kuat. Tersentak Ayyana dibuatnya.
“Jangan main sumpah, Cik Mya Ayyana. Tiada saksi yang boleh membuktikan awak tidak bersalah. Sehingga kes diselesaikan, awak akan kami tahan. Waran tangkap akan diproses jika didapati awak adalah pembunuh Emaliyana Hamzi,” ujar Inspektor Hafiy tegas sebelum menghilang dari bilik khas untuk mengambil keterangan pesalah itu.
Ayyana tersandar ke belakang kerusi. Matanya memandang seorang polis wanita yang sedang berdiri tegak di penjuru bilik, berdekatan dengan pintu.
“Puan, dah masuk waktu subuh. Saya nak solat,” maklum Ayyana berani.
“Sekejap,” Polis wanita itu keluar dari bilik keterangan.
Mungkin dia ingin meminta keizinan ketuanya. Ayyana bingung sendiri. Mindanya beku memikirkan ‘pembunuhan’ yang mendakwanya membunuh. Ingin membunuh semut yang menghurung bekas minumannya sahaja, dia kasihan. Inikan, manusia!
Share this novel