Hadi menilik jam di tangannya, sudah hampir ke pukul tiga pagi. Pasukan yang diarahkan Ian untuk bersiap sedia, masih lagi menunggu arahan seterusnya. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menaip mesej, kemudiannya dihantar kepada dua sahabat baiknya itu. Lutfil dan Ian sudah mengingatkannya agar memaklumkan keadaan di luar dari semasa ke semasa.
“Tuan Hadi, dia orang masih di dalam. Dua orang awasi pintu depan. Enam orang di seluruh kawasan rumah. Susah kita nak masuk, tuan,” maklum Luqman.
“Buat masa ni, kita awasi dulu penyangak-penyangak tu. Kalau keadaan dah tenang, pasukan jenayah berat yang lain pun sampai… kita bertindak. Luq, awak pastikan semua ready dengan arahan Tuan Fariz,” Luqman mengangguk, mengerti.
Dia berlalu ke van, arahan Hadi disampaikan setegas yang mungkin. Luqman adalah ketua mereka buat masa ini sementara Ian cuba memancing orang-orang upahan Imran di dalam kawasan perumahan mewah itu. Untung sahaja mereka mahu mendengar arahan daripada Luqman.
Hadi mendail nombor seseorang.
“Datuk, dia orang masih di dalam. Buat masa ni, Luth dan yang lain bersembunyi di bilik rahsia Luth. Datuk dan Datin jangan risau. Kami akan cuba sedaya upaya,” beritahu Hadi, terus.
“Iyalah, Hadi. Apa-apa hal yang berlaku, awak hubungi saya. Macam yang dirancang, Imran tak tahu plan kita. Dalam pukul sepuluh pagi, dia ada meeting dengan wakil Delia Holding. Awak siapkanlah satu pasukan untuk pagi nanti.
“Baiklah, Datuk. Saya akan maklumkan pada pasukan jenayah. Sudah lewat ni, Datuk. Datuk pergilah berehat. Hal di sini, Datuk jangan risau. Saya cuba apa yang termampu…”
“I’m craving of good news, Hadi. I want my Hadi safe too. Assalamualaikum,” Talian dimatikan.
“Waalaikumsalam. Insha Allah, Datuk. I’ll safe them,” Janji Hadi sendiri sambil mata memandang ke banglo dua tingkat milik Lutfil.
I want my Hadi safe too. Kata-kata itu mengganggu minda Hadi. Mendalam sekali ayat itu baginya. Datuk Dani seakan mahu dia menyelamatkan anak lelaki kesayangannya itu. Beban dibahunya sudah memberat. Datuk Dani mengharapkannya. Dan, dia akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan sahabat-sahabat baiknya.
Share this novel