BAB 3 – Penunggu Bunian

Horror & Thriller Completed 4233

"la bermula tahun 2005. Sewaktu ibu saya mula membuang set pinggan mangkuk porselin yang telah lama disimpannya. Dalam diam, saya kutip semula dan sembunyikan dalam bilik. Lama-kelamaan, bilik sudah mula penuh hingga tiada ruang hendak menyimpan. Hinggalah suatu hari ibu masuk ke bilik dan terkejut lihat koleksi pinggan yang telah dibuangnya semua tersimpan dalam bilik saya," jelas Rizal.

Deretan pinggan mangkuk porselin yang disusun rapi dalam ruangan itu dan pelbagai koleksi barangan antik lain yang sukar ditemui mudah menggamit pandangan matanya.

Dari situ, hobinya berkembang. Bukan sekadar pinggan mangkuk, tapi dia mula mengumpul pelbagai koleksi barangan antik lain yang sukar ditemui. Daripada keris, pedang, tombak, andik, lesung batu, ukiran kayu, jam, teko, seterika, barangan tembaga, perhiasan zaman dulu dan banyak lagi. Apabila ruangan dalam rumah tidak lagi mampu memuatkan koleksi simpanannya, lantas Rizal membina sebuah rumah kecil berasingan di belakang rumahnya.

Ruangan itu dikhaskan untuk menyimpan segala koleksi barangan klasik kepunyaannya. Bagaikan sebuah mini muzium. Segala koleksinya dalam ruangan itu dijaga rapi. Malah, jangankan sawang, habuk pun tiada. Begitu bersih. Hampir kesemua barangan antik itu masih baik dan boleh digunakan.

“Masa terluang saya memang dihabiskan dalam ruangan ini. Seminggu sekali, saya akan bersihkan barang-barang ini. Tapi, tak laratlah kalau seorang diri. Selalunya saya minta tolong pada kawan-kawan yang berkunjung ke sini. ‘Penjaga’ pun ada, tu yang kena hadap dengan hati-hati.

“Susah nak buang pendamping!" Jelasnya.

Sebenarnya, koleksi yang dimilikinya kebanyakannya diberikan orang. Malah, acap kali juga dia mendapat pemberian melalui alam ghaib sama ada melalui mimpi atau separuh sedar. Rizal pernah bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih yang berpesan agar menjaga sebatang tombak lama yang pernah digunakan sewaktu zaman Kesultanan Selangor pada abad ke-18.

"Keesokannya bila saya bangun, saya lihat tombak itu sudah ada di tempat seperti yang diberitahu lelaki itu. Malah, sering kali juga saya mendapat keris dan batu melalui cara begitu. Kadangkala bila jaga dari tidur, batu yang diberikan dalam mimpi itu sudah ada dalam genggaman tangan," ceritanya lagi.
Yang penting, barang yang sampai ke tangannya biarlah 'bersih' dan tidak mendatangkan gangguan. "Memang saya akui barang-barang lama begini ada pendamping. Selalunya kalau barang itu ada penjaga', saya akan tinggalkan barang itu di suatu tempat dahulu untuk dua atau tiga hari.

"Adalah interaksi saya dengan ‘penjaga’ itu. Jika ia minta tinggalkan di suatu tempat, di situlah saya akan letakkan barang itu. Bila sudah 'bersih', baru saya bawa pulang ke rumah. Jika 'benda' itu tak mahu pergi, saya akan tinggalkan saja barang itu," ujarnya yang tidak mahu barangan yang 'berpenghuni' kelak mengganggu ketenteraman keluarganya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience