BAB 14

Mystery & Detective Completed 7066

Pintu wad aku tolak dari luar. Di dalam wad kecemasan ini ada empat buah
katil sahaja. Tiga daripadanya ada pesakit dan salah satunya Mak Cik
Maryam. Di sisinya ada Sofia yang sudah tertidur berbantalkan lengannya
sendiri. Raut kerisauan terlakar diwajahnya.

Perlahan-lahan aku melangkah ke arahnya. Namanya aku panggil.
Terpisat-pisat dia mencelikkan matanya. Cahaya lampu di wad yang terang
mungkin menyilaukan pandangannya.

"Erm. Pukul berapa ni bang?"tanyanya sambil membetulkan duduk. Selendang
yang tadinya melurut jatuh dibetulkan di atas kepala.

"Pukul 12.30 pagi. Ni abang belikan Fia Milo dengan roti. Makanlah buat
alas perut.

Aku menghulurkan bungkusan berisi makanan dan minuman itu kepadanya.

"Terima kasih. Abang dah makan ke?"

Aku mengangguk dengan senyuman.

"Fia makanlah. Kalau ada apa-apa abang kat luar ni. Nurse tak bagi
ramai-ramai kat dalam ni."

"Abang nak balik ke? Kalau nak balik tak apa. Fia balik naik teksi je
nanti. Abang nak niaga lagi esok. Kesian abang tak rehat lagi."

"Tak apa. Kalau perlu, abang cuti je esok. Yang penting kesihatan mak.
Pasal abang, takyah fikirlah."

Sofia mengangguk perlahan.

Keluar dari wad, aku duduk di bangku yang disediakan di ruang legar
hospital. Bersandar sambil berpeluk tubuh. Mata aku pejam rapat.
Sebenarnya, badan ini penat. Sejak tengah hari semalam aku berada di
luar rumah. Berniaga. Membayangkan kenikmatan memeluk bantal sambil
berbaring di atas katil, mahu saja aku balik ke rumah.

Tetapi yang di dalam sana, terbaring seorang wanita tua yang telah sudi
membantuku di saat tak ada yang mempedulikan aku.

Biarlah penat sikit hari ini asalkan tak ralat kemudian hari. Pujukku
pada diri sendiri.

"Adam, dah besar kau nak jadi apa?"
"Polis! Aku nak tangkap semua orang jahat kat dunia ni."

"Kau Bob? Dah besar kau nak jadi apa?"
"Aku? Jadi oranglah! Hahaha!"
"Sengal kau ni kan!"

"Kau Zam? Kau nak jadi apa?"
"Doktor. Kau Bidin?"

"Aku nak jadi cikgu. Aku nak didik anak murid aku supaya diorang tak
perangai macam korang! Hahaha!"

Kenangan sewaktu di usia dua belas tahun terngiang di telinga. Waktu itu
kami baru selesai menduduki peperiksaan UPSR. Sementara menunggu bas
sekolah sampai, kami duduk-duduk di perhentian bas.

Tak sangka Zam berjaya capai cita-citanya. Sememangnya antara kami
berempat dia yang paling pandai. Selalu jadi pelajar cemerlang. Bob dan
Bidin entah-entah dah jadi orang berjaya.

Aku? Seorang penjual pisang goreng yang untung sabut timbul, untung batu
tenggelam. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau tak
mengais, apa yang ada itulah buat pengisi perut.

Mataku mula memberat. Rasanya kalau aku lelap sekejap pun tak apa ni.
Ada beberapa jam lagi nak masuk waktu subuh.

* * * * * * * *

Bunyi suara-suara orang yang lalu lalang mengejutkan aku. Jam yang
tergantung di dinding menunjukkan pukul 6.30 pagi. Lama juga aku tertidur.

Aku membetulkan duduk. Badan dipusingkan ke kiri dan ke kanan. Kemudian
aku berjalan menuju ke surau. Sewaktu sampai di surau, aku terserempak
dengan Zam. Tapi lelaki itu lekas-lekas beredar. Langsung tak menegurku.

Selesai menunaikan solat, aku menuju ke arah wad. Dari jauh aku nampak
Sofia sedang memberi Mak Cik Maryam minum. Aku menegur mereka.

"Assalamualaikum Mak Cik."

Serentak mereka berdua menjawab salamku.

"Mak Cik macam mana?"

"Adam. Terima kasih hantarkan mak cik ke sini. Susahkan kamu je Adam.
Alhamdulillah mak cik sihat dah. Kejap lagi dah boleh balik."

"Tak susah pun. Lagipun, dah jadi tanggungjawab saya rasanya. Mak cik
lepas ni janganlah buat kerja berat. Perlu bantuan, mak cik call je
saya. InsyaAllabh saya datang."

Mak Cik Maryam tersenyum. Dia memandang wajahku dan wajah Sofia bersilih
ganti. Seperti ada sesuatu yang ingin dia katakan. Namun kedatangan Zam
dan seorang nurse mengganggu perbualan kami.

"Selamat pagi mak cik. Tadi kami dah buat pemeriksaan. Kami rasa mak cik
dah boleh balik. Nanti anak mak cik boleh buat pendaftaran keluar ya."

"Terima kasih doktor."

"Sama-sama. Saya pergi dulu ya."

Zam berjalan melepasiku namun dia langsung tak menoleh. Terluka sungguh
hatinya.

Malas mahu memikirkan hal itu, aku segera ke kaunter untuk daftar keluar
dan mengambil ubat. Sementara itu Sofia membantu mak cik Maryam berjalan
keluar dari wad. Mereka berdua duduk di kerusi luar menunggu aku
selesaikan urusan ini dahulu.

* * * * *

Tengah hari itu, aku ke gerai membeli lauk pauk untuk dibuat makan
tengah hari. Aku dah pesan pada Sofia jangan benarkan Mak Cik Maryam
memasak.

"Eh, tu anak Ani kan?"

Tiba-tiba aku terdengar ada orang menyebut nama mak. Hendak saja aku
berpaling untuk melihat siapakah orangnya. Tapi bimbang dibuatnya aku
hilang sabar, terbang pula kerusi meja di sini.

"Haah. Eh, kau ni takkan tak tahu."

"Aku bukan cam muka dia. Kau perasan tak muka dia tu, ada iras-iras
arwah Leman."

"

Leman? Eh, haahlah! Tu mata dengan hidung tu, macam sama."

"Entah-entah ni anak Ani dengan arwah tak? Kan masa Ani tinggalkan
kampung ni, dia mengandung. Budak ni la kot dalam perut dia."

Aku segera membawa lauk pauk yang sudah dibungkus itu ke kaunter.
Selepas menyelesaikan bayaran, aku terus menuju ke kereta. Tapi aku tak
terus pergi ke rumah Mak Cik Maryam.
Dalam kepala, terngiang-ngiang apa yang dikatakan oleh mereka berdua tadi.

Arwah Leman? Itu ke ayah aku? Tapi dah arwah? Pada siapa aku nak tanya
kebenaran hal ini. Pada pak cik Halim? Atau terus bertanya pada Mak Cik
Maryam.

Ya Allah. Berseliratnya dalam kepala aku ini. Dengan hal Zam lagi. Ini
tiba-tiba pasal arwah Leman. Tipulah kalau aku kata aku tak nak cari
siapa ayah aku. Tapi rasanya hati aku ini belum kuat lagi.

Tak apa. Sampai masa, akan aku selesaikan satu persatu. Moga Tuhan bantu
aku. Mahu juga aku kenal siapa lelaki yang bertanggungjawab membawa aku
ke dunia.

Meski dalam keadaan tak seperti anak yang beribu dan berbinkan bapa,
lelaki itu tetap ayah aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience