Bab 1

Mystery & Detective Completed 7066

"Mak, aku mengandung."

Nek Limah yang sedang melipat kain sambil menonton televisyen terhenti
pekerjaannya. Ani yang sedang bersila atas kerusi rotan dipandang tajam.

"Apa Ani? Aku tak dengar!" Suara Nek Limah naik satu oktaf hingga
majalah yang sedang dibaca oleh Ani tercampak jauh. Terkejut dek suara
kuat maknya tadi.

"Aku mengandunglah mak. Kau tahu bidan mana boleh gugurkan anak ni? Aku
tak mahu. Buat susah aku je nanti." Balas Ani selamba. Tak dihirau
pandangan membunuh maknya.

Nek Limah mendengarkan pengakuan anaknya itu pantas mengurut dadanya
sendiri. Sesak nafas dibuatnya. Entah anak siapa dikandungkan, belum
lahir dah nak dibunuh.

Bukan Nek Limah tak tau anaknya ini sering berkepit dengan anak-anak
muda dalam kampung ini. Entah dengan siapa dia melayan sampaikan
bercambah benih.

"Kau jangan buat gila Ani. Aku tak izinkan! Kau taknak, anak tu bagi aku
bela. Kau jangan nak tambah dosa kau sedia ada tu Ani!"

"Aku taknak mak! Ni salah Leman la ni. Aku suruh pakai sarung, dia
taknak! Sekarang aku yang susah! Tolonglah aku mak. Aku nak gugurkan
budak ni."

Longgokkan kain atas lantai, digumpal sebelum disumbat masuk ke dalam
bakul. Ani yang leka membaca majalah, dilempang dengan sepenuh kudrat
yang ada.

"Apa ni mak?!" Pipi yang perit digosok.

"Kau ikut perangai siapa ni Ani? Kalau aku tahu kau nak jadi macam ni,
masa kau kecik dulu aku tanam kau hidup-hidup! Memalukan aku! Bila kau
nak berubah Ani?"

Nek Limah menghenyak punggungnya di atas kerusi rotan yang sama. Hilang
sudah sabarnya. Apa silap yang telah dia lakukan sampai Allah uji dia
macam ni.

"Kau tak kesiankan mak ke Ani? Kau tak malu ke orang kampung semua kata
macam-macam pasal kau. Aku ni, nak ke kedai Pak Rahman kau pun jadi
segan Ani oi!"

Ani bingkas berdiri. Dia ingin segera beredar dari situ. Mendengar Nek
Limah membebel buat menyakitkan hatinya saja.

"Selama aku hidup mak, bukan orang kampung yang bagi aku makan. Kenapa
aku nak kena fikir apa orang kampung fikir?"

Mak Limah menggelengkan kepalanya mendengar kata-kata anaknya itu.
Dihantar anaknya ke bilik dengan pandangan kosong. Silapnya yang salah
mendidik atau hatiAni yang terlalu keras untuk di lenturkan?

* * * *

Pagi itu Ani bangun seperti biasa. Tuala dicapai sambil dia berlalu ke
bilik air. Di luar bilik, sunyi sepi. Kelibat Nek Limah langsung tak
kelihatan. Kalau tak waktu begini Nek Limah sedang menyediakan sarapan
pagi di dapur.

Ani menjengah ke bilik maknya. Dan apa yang dilihatnya, akan menjadi
sesalan yang bakal ditanggungnya seumur hidup.

"Mak!!!"

Ani terjelepok di depan pintu bilik. Nek Limah pula sudah tergantung
pada kipas siling. Tali besar menjerut leher wanita tua itu.

Ani meraung semahunya. Tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Namun dia
tiba-tiba dia teringatkan Pak Rahman. Dia tahu lelaki tua itu ada hati
dengan maknya. Tergesa-gesa dia menghubungi Pak Rahman dan memintanya
segera datang ke rumah.

Sekejap sahaja, rumah Nek Limah mula dipenuhi orang ramai. Ada yang
membaca Yassin. Tak kurang juga yang bergosip. Pelbagai spekulasi muka
tersebar. Ani hanta membutakan mata dan memekakkan telinga. Dilayan,
hatinya sendiri yang akan lumat dikerjakan.

Akhirnya selepas Asar, jenazah Nek Limah dikebumikan. Malam itu, Pak
Rahman berjumpanya di rumah. Wajah lelaki tua itu suram. Sedih mungkin
atas pemergian Nek Limah.

"Aku bukan nak cakap apa Ani tapi ini cuma cadangan aku. Kau keluarlah
dari kampung ni. Mulakan hidup yang baru. Kat sini pun dah tak ada apa
lagi dah untuk kau."

Pak Rahman duduk di atas kerusi kayu di luar rumah. Sambil bercakap,
rokok gulung dikulumnya lalu disedut dalam-dalam sebelum asap dilepaskan
ke udara.

Ani yang duduk di tengah pintu rumah mendongak.

"Mana aku nak pergi? Dalam dunia aku, mak satu-satunya manusia yang sudi
terima aku. Ni semua salah aku Pak Man. Salah aku."

Sejak dari siang tadi, tiada setitik pun air mata Ani yang jatuh. Tapi
akhirnya di tewas. Rindu yang terbit dalam hatinya, bukan calang-calang
rindu.

Rindu yang takkan pernah berbalas sampai bila-bila.

"Kau mengandung Ani?"

Ani terpempan. Bagaimana Pak Rahman tahu?

"Mak kau wanita yang kuat Ani. Sebab tu aku nak dia jadi isteri aku.
Tapi dia tak mahu. Dia tak mahu orang kampung kata yang bukan-bukan. Dan
aku tahu, mak kau takkan bunuh diri kalau tak bersebab."

Ani menunduk. Malu mahu bertentang mata dengan Pak Rahman.

"Esok kau keluar dari kampung ini. Pergilah ke Kuala Lumpur. Mulakan
hidup baru kau di sana. Nah ambil ni. Buat kegunaan kau nanti. Aku balik
dulu."

Sampul surat berwarna cokelat bertukar tangan. Hati Ani tersentuh. Masih
ada orang yang baik-baik yang sudi pandang orang macam dia.

"Aku kumpul duit ni nak kahwin dengan mak kau. Ambillah. Assalamualaikum."

Pak Rahman beredar ke motosikalnya. Motor dihidupkan dah halaman rumah
Nek Limah ditinggalkan.

Ani mengunci semua pintu rumah. Dia beredar ke bilik. Isi di dalam
sampul surat itu dikeluarkan. Duit dan jumlah RM2500. Dimasukkan semula
ke dalam sampul lalu dia merebahkan tubuhnya di atas katil.

Mak.

Mak.

Mak.

Mungkin benar kata Pak Rahman dia harus pergi dan tinggalkan segala
kepahitan itu di sini. Perut yang masih kempis itu diraba.

Dan dia akan membesarkan anak ini. Hanya itu yang tinggal untuk dirinya
kini.

* * * *

Pagi-pagi Ani dah keluarkan. Berbekalkan duit pemberian Pak Rahman dan
sebuab beg berisi pakaian, Ani tinggalkan kampung itu. Di sini dia
dilahirkan dan dibesarkan tapi dia tak pernah bahagia. Sudah tiba masa
dia mencari kebahagiaannya.

Maafkan Ani mak, Ani banyak dosa pada mak, ampungkan Ani mak!

Tadi dia sempat capai sehelai kain batik Nek Limah. Buat jadi penawar
rindu. Dia tahu, sekeras manapu hatinya, dia tetap tewas dengan rasa
yang satu itu.

Ani menuju ke perhentian bas. Salleh anak lelaki Pak Rahman sudah
menunggunya di situ untuk menghantarnya ke pekan.

Di sana, entahkan bagaimana dunianya. Realiti apa bakal yang terbentang
tak dijangkau dek akal fikir. Realiti yang akan membiarkan dia hidup
atau membunuh.

Hanya hati-hati yang cekal yang mampu berdepan dengan cabaran dunia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience