BAB 2

Mystery & Detective Completed 7066

SEPTEMBER 2001

Hari ini hari jadi aku. Empat belas tahun. Balik dari sekolah aku tengok
pintu rumah berkunci rapat. Kasut mak pun tak ada. Kocek seluar aku
seluk, segugus kunci aku keluarkan lalu anak kunci aku sumbat pada
tombol pintu.

Kasut sekolah aku susun di rak. Mak tak suka tengok kasut yang bersepah.
Selepas mengunci semula pintu rumah, aku menuju ke dapur. Rumah aku tak
ada meja makan. Jadi, lauk pauk kalau ada, mak letak dekat kabinet
dapur. Tapi hari ini tak ada. Kabinet dapur kosong.

Atas dapur pun tak ada periuk. Mak tak masak. Mak penat agaknya.
Hari-hari mak balik lambat. Aku tak tau apa pekerjaan mak tapi kadang
mak balik dengan muka yang lebam-lebam. Pernah aku tanya kenapa dulu,
tapi mak marah aku balik.

"Kau tak payah sibuklah Adam!"jerit mak pagi itu. Salah aku juga. Mak
balik penat-penat, aku sibuk tanya macam-macam. Lepas tu, aku tak pernah
tanya apa-apa lagi.

Dengan langkah longlai, aku berjalan menuju ke bilik. Bilik aku bilik
yang kedua. Kecil sedikit dari bilik mak. Dalam bilik cuma ada rak baju,
bantal, tilam dan selimut. Tapi ini pun aku dah bersyukur.
Setidak-tidaknya aku tak tidur atas lantai.

Tiba-tiba aku nampak ada nota atas bantal. Beg sekolah aku letak tepi
tilam lalu aku duduk bersilam atas tilam.

Nah ni duit, pergi beli makan.

Aku lantas menukar pakaian sekolah dengan seluar jeans dan t-shirt.
Kedai Makcik Siti aku tuju. Kedai makan yang paling dekat dengan rumah.

Di kedai tu, macam-macam lauk ada dijual. Pilih je nak yang mana. Waktu
aku sampai, jam dah pukul 2 petang. Orang pun dah tak ramai.

"Cik, nak nasi putih 1,"kata aku pada pembantu kedai Mak Cik Siti.
Sepinggan nasi putih bertukar tangan. Aku senduk lauk kegemaran aku ke
dalam pinggan. Ayam masak kurma. Sedikit sayur kacang goreng dan telur
mata kerbau.

Sebuah meja di bawah kipas menjadi pilihan. Tak lama lepas tu, teh O ais
yang aku pesan sampai.

Sambil makan, aku tengok TV. Entah cerita apa tapi bolehlah daripada tak
ada. TV kat kedai Mak Cik Siti ni kecil je. Sedang aku enak menikmati
hidangan, aku terdengar sesuatu. Datangnya dari meja belakang aku.

"Tu anak Ani kan?"tanya makcik yang berbadan kurus kepada makcik yang
berbadan gemuk. Aku boleh bayang bibir dia terjuih-juih ke arah aku.

"Haah! Kalau kau nak tahu, masa budak ni lahir, aku ada sama. Kesian.
Anak luar nikah." Makcik gemuk itu bercerita penuh semangat walaupun
suaranya cuba diperlahankan.

Suapan aku terhenti. Anak luar nikah. Aku kalih pandang ke belakang.

"Kau jaga sikit laki kau Milah. Takut-takut dirampasnya laki kau
tu,"tokok makcik gemuk tu lagi.

"Eh, kau janganlah cakap macam tu. Seram pulak aku. Kalau bermadu pun,
biarlah perempuan yang elok sikit."

Telinga aku dah capang dah ni. Pinggan nasi yang masih berbaki separuh
aku tolak ke tengah meja. Not RM10 aku letak atas meja. Perlahan-lahan
kerusi aku tolak ke belakang lalu aku bangun berdiri. Meja makcik berdua
tu aku hampiri.

"Nama aku Adam. Dan korang tak ada hak nak kata mak aku macam-macam!"
Kerusi di sebelah makcik kurus tu aku terajang sebelum aku meninggalkan
makcik berdua tu.

Sampai di rumah, aku hanya berkurung dalam bilik. Hilang mood aku hari ini.

Sambil baring, aku merenung kipas siling. Kata-kata makcik tadi, ejekan
dan kata caci orang terngiang di telinga. Di sekolah, di kedai, di
padang bola. Di mana saja yang orang kenal aku, pasti ada yang cari
pasal dengan memanggil aku macam-macam gelaran.

Anak haram. Anak sundal. Anak luar nikah. Memang aku tak tahu siapa
bapak aku. Berbinkan Abdullah. Cuma itu yang tertera atas sijil kelahiran.

Aku ingat lagi, waktu itu aku baru masuk darjah tiga. Selalu sangat
melihat kawan-kawan lain ke sekolah ditemani ayah dan aku tidak, timbul
rasa cemburu dalam hati. Jadi pagi esoknya, sewaktu sedang bersarapan
dengan mak, aku tanya pasal bapak.

"Bapak kau mati masa aku mengandungkan kau. Kena langgar lori. Dah. Aku
tak suka kau tanya-tanya lagi."

"Tapi, Adam nak sangat tengok muka bapak. Mak ada gambar bapak?"

"Teringin sangat nak tengok, pergi tengok cermin. Macam tu lah muka
bapak kau."

"Tapi mak..."

"Adam!"

Mak jerit nama aku. Dan itulah pertama kali mak pandang aku sebegitu.
Sebab muka aku macam bapak? Mak terus bangun, kemas lantai yang kami
duduk untuk menikmati sarapan tadi dan lepas tu dia terus masuk dalam bilik.

Aku cuba panggil mak. Pintu aku ketuk berkali-kali Tapi mak tak layan.
Mak betul-betul marah. Tak pernah mak macam ni. Sampai akhirnya aku
tertidur depan pintu bilik mak.

Aku terjaga bila tangan mak menampar-nampar bontot aku.

"Nak tidur, masuk bilik."

Mak dah bersiap. Jam di dinding dah pukul empat petang. Mesti mak nak
pergi kerja dah. Aku bangun duduk. Mak pula melutut di depan aku. Dia
belai rambut aku.

"Bapak kau setan Adam. Jangan nak fikir, ingat pasal dia. Aku taknak.
Selama ni aku yang jaga kau. Aku bukanlah mak yang baik tapi kau
satu-satunya yang aku ada. Faham?"

Aku terkebil-kebil mendengarkan apa yang mak cakap. Tapi kemudian aku
mengangguk laju.

"Adam minta maaf."

Mak bangun berdiri. Aku ikut bangun lalu membontotinya hingga ke pintu
rumah. Tangan mak aku cium.

"Jaga rumah."Pesan mak.

Aku peluk mak. Aku tak faham apa yang mak cakap tadi tapi aku tau aku
penting bagi mak. Mak membalad pelukan aku.

Dan itulah kali terakhir aku tanya pasal bapak. Tak apa. Mak dah cukup
bagi aku. Aku sayang mak. Mak cantik. Semua orang cemburu akan
kecantikan mak.

Jadi bila aku dengar orang kutuk mak aku, aku jadi marah. Orang boleh
kutuk aku tapi bukan mak.
Kalau diberi pilihan, pasti aku mahu dilahirkan berbapa beribu. Tapi
pilihan itu bukan aku yang tentukan.

Dan aku sedar yang di depan sana, dunia aku akan hilang warnanya. Hidup
tak mudah tapi tak susah. Cuma mungkin cahaya tak mahu menerangkan dan
aku terus hidup dalam kegelapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience