BAB 19

Mystery & Detective Completed 7066

Pagi-pagi lagi aku dah bangun. Bersiap untuk keluar. Zam dah balik
semalam. Dia tak dapat cuti panjang. Jadi aku perlu dapatkan tiket bas
untuk balik ke kampung. Bidin dah janji nak hantar aku dan seperti yang
dijanjikan, pukul lapan pagi dia dah berdiri di depan pintu rumah aku.

"Awal?" tegurku sebaik sahaja wajah mengantuk Bidin terpacul di depan mata.

"Bini kejut." Kuapnya yang luas ditutup dengan belakang tangan.

"Kau okay ke hantar aku ni? Kalau tak, aku boleh pergi naik bas."
Kasihan pula tengok Bidin yang macam mengantuk sangat ni.

"Dahlah. Jom gerak. Kau nak balik bila?"tanya Bidin sambil mengambil
tempat di belakang stereng.

"Lusa kot. Esok aku nak ke kubur mak. Eh, pinjam motor kau esok boleh?"

"Kau pakai jerlah."

Aku lemparkan pandangan keluar tingkap. Kuala Lumpur. Hari Khamis.
Kesesakkan memang menguji kesabaran. Mujurlah aku tak tinggal di sini.
Kalau tak, mahu hari-hari pergi dan balik kerja bibir meratib kata makian.

Bidin kata, tiket kena beli di Pudu Sentral. Dia menurunkan aku di tepi
jalan dan aku terus berlari menuju ke kaunter. Selepas sepuluh minit,
tiket dah berada di dalam tangan. Sabtu. 9.30 pagi. Takder hal. Pukul
lapan sampai sini pun okay.

Aku terus menuju ke kereta. Sebaik sahaja tali pinggan keledar
diketatkan, Bidin memecut keretanya menuju ke arah Jalan Bukit Bintang.
Katanya nak bawa aku jalan-jalan tengok KL. Kereta diletakkan di
bangunan Times Square dan kami menapak di bangunan sekitar. Lot 10,
Sungei Wang Plaza Bukit Bintang dan Pavilion.

Sampai di Pavilion, kami duduk meghilangkan dahaga di Starbucks. Entah
kopi apa yang Bidin ni order. Aku main sedut je. Mujur juga sedap.

Sekotak rokok dikeluarkan lalu diletakkan di atas meja. Sebatang rokok
sudah ditarik keluar sebelum itu.

"Ambillah. Malu-malu pulak kau ni." Bidib mempelawa sambil dia
menyalakan rokok.

Aku sekadar menggeleng. Kali terakhir aku merokok, 10 tahun lalu. Waktu
aku melangkah pergi meninggalkan rumah mak. Entah semangat apa yang
merasuk, aku nekad untuk berhenti merokok. Alhamdulillah, sehingga hari
ini aku berjaya menahan keinginan nak merokok tu.

"Seriuslah? Hahaha! Kau dah lain sekarang Dam. Ada masa aku macam keliru
yang kat depan aku ni Adam ke siapa. Tapi ada masanya, sikap dan tingkah
laku kau menghilangkan rindu aku dengan Adam yang dulu." Asap rokok
dilepaskan ke udara. Berkepul-kepul naik sebelum hilang dibawa angin.

Aku memandang wajah Bidin lama. Berubah sangat ke aku ni? Rasanya aku
tetap sama je macam yang sebelum ni.

"Kata-kata kau, bahasa tubuh kau, cara kau berfikir, kau nampak lagi
matang dari kami-kami ni Adam. Kau okay ke kat sana Adam?"Bidin menyoal
sambil dia mencicip kopi panas yang berasap di hadapannya itu.

Aku bersandar pada kerusi sambil berpeluk tubuh. Menunggu kata-kata
sambungan daripada Bidin.

"Kau tau Adam. Masa Zam telefon bagitahu dia dah jumpa kau, aku ingat
dia tipu. Berkali-kali juga aku tanya dia. Takut dia tipu. Tapi bila dia
kata, dia nak bawa kau jumpa kitorang, barulah aku yakin yang kau memang
ada."

"Kenapa cakap macam tu?"

"Aku ingat kau dah mati Adam."jawabnya ringkas.

Aku mengangguk perlahan. Faham akan maksud kata-kata Bidin.

Kami menghabiskan minuman sebelum meninggalkan kafe ini. Aku mengajak
Bidin singgah sebentar di kubur mak. Sebelum balik ke kampung, aku ingin
meluangkan sedikit waktu bersama mak. Entah bila pula aku boleh datang
ke sini. Mungkin selepas ini kedatanganku bersama seorang isteri. Siapa
tahukan.

Kereta Bidin diletakkan di ruang letak kereta yang disediakan. Aku
meninggalkan Bidin sendirian di kereta setelah dia sendiri yang tidak
mahu mengikuti aku.

Aku berjalan menuju terus ke kubur emak. Tanah kubur yang ditumbuhi
rumput itu aku bersihkan. Setelah itu aku melabuhkan duduk di atas
tanah. Batu nisan aku pegang perlahan lalu aku usap lembut. Ada
kerinduan yang seolah mengalir terus ke hati. Tanpa sedar, air mata aku
mengalir perlahan membasahi pipi.

Mak. Adam datang. Saja nak tengok mak. Mak sihat tak kat sana? Rindunya
Adam kat mak. Tapi tak ada apa yang Adam punya untuk hilangkan rindu kat
hati ni. Mak, Adam dah jumpa kawan-kawan lama Adam tu. Alhamdulillah.
Dorang semua boleh terima Adam. Layan Adam dengan baik. Terhutang budi
betul Adam dengan dorang. Lusa Adam nak balik kampung dah. InsyaAllah,
datang lain kali, Adam bawa menantu mak. Adam...Adam nak cari kubur
ayah. Kalau betul macam yang Adam dengar, ayah dah tak ada, tak apalah.
Dapat lihat kuburnya pun dah okay. Adam balik dulu ya mak. Nanti Adam lagi.

Sekalung Al-Fatihah aku baca dan semoga Allah s.w.t menempatkan mak
bersama-sama mereka yang dikasihi-Nya.

Aku bangun menepuk-neluk belakang seluar sambil berjalan menuju ke arah
kereta Bidin diletakkan. Terukir senyuman diwajahku melihat Bidin yang
terlentok tidur di kerusi pemandu. Aku memboloskan diri ke dalan kereta.
Peha Bidin aku tepuk berkali-kali.

"Eh, dah ke?"Bidin menyoal sambil menggosok-gosok matanya.

"Dah. Jomlah balik. Lepas drop aku, kau balik terus. Kesian aku tengok
kau ni,"kataku memberi usul. Bidin sekadar mengangguk setuju dengan
cadanganku. Setelah menghantar aku pulang, dia terus pulang ke rumah.

Aku mengunci pintu rapat-rapat. Setelah itu aku berlalu ke bilik dan
merebahkan badan di atas tilam. Mata yang sememangnya mengantuk sejak
tadi akhirnya terlelap.

* * * * *

Suasana bilik yang sunyi sepi mengejutkan aku dari lena. Kesunyian yang
lain daripada kebiasaannya. Aku bangun duduk bersila. Aku menggosok mata
berkali-kali. Tiba-tiba bunyi benda pecah kedengaran dari luar bilik.

"Kau jangan paksa aku lagi! Aku cakap aku taknak, aku taknaklah!"

Itu suara mak! Aku terus berlari keluar. Ada sosok lelaki yang aku tak
kenal sedang berdiri di hadapan mak. Wajahnya terlalu kabur. Aku
menggosok sekali lagi mata. Tapi tak berubah. Kaburnya tetap sama

"Kau jangan melawan Ani!" pergelangan tangan mak direntap lalu digenggam
kuat. Aku boleh nampak menahan sakit.

"Aku dah tak buat kerja tu semua Leman! Aku dah berhenti! Lepaskanlah
tangan aku. Sakit!"suara mak seakan merayu namun lelaki di hadapan mak
itu seolah tak punya perasaan.

Di waktu itulah aku nampak lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau lalu
terus dibenamkan ke dada kiri mak. Mak terus rebah ke lantai dan lelaki
itu berjalan meninggalkan mak yang sedang menahan sakit maha hebat.

"Mak!"jeritku sambil menerpa ke arah mak. Aku cuba untuk pangku kepala
mak. Tapi sentuhanku seolah menembusi jasad mak.

"Mak!"

Mata mak terpejam rapat. Hanya dadanya yang berombak deras. Bibirnya
bergerak-gerak seolah ingin mengatakan sesuatu.

"Leman. Kau bunuh aku. Anak kita akan tuntut pembalasan."

Dada mak berhenti bergerak. Tubuhnya kaku. Aku meraung semahunya! Kenapa
aku kena tengok semua ni? Kenapa aku kena tengok macam mana mak dibunuh?

Mak....

*P*eluh dingin yang memercik di dahi aku seka dengan belakang tangan.
Terkejut dengan mimpi tadi. Apa maksud kata-kata mak itu?

Siapa Leman yang mak cakap? Itu ke Tiger? Tapi Leman itu Tiger dan Tiger
itu orang yang aku pernah jumpa dulu, maknanya itulah ayah aku? Dan
sebab kenapa dia tak pernah cari aku sebagai seorang Tiger sebab dia pun
dah mati?

Aku meraup wajah berkali-kali. Sememangnya aku ingin mencari semula
orang Tiger untuk menuntut bela dan aku ingin mencari ayah aku untuk
kenal lelaki yang bertanggungjawab membuatkan aku lahir ke dunia.

Tapi kalau dua-dua dah tak ada, bagaimana? Nafasku hela perlahan.
Kenapalah hidup Adam Abdullah ni rumit sangat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience