BAB 16

Mystery & Detective Completed 7066

Sebaik sahaja meletakkan kereta di kawasan parkir yang disediakan, aku
segera bergegas menuju ke tempat yang dijanjikan. Dari jauh aku dah
boleh nampak Zam yang sedang bersandar pada sofa sambil bermain telefon
pintarnya.

"Maaf aku lambat. Jalan jem. Lama dah sampai?"tegurku sambil melabuhkan
duduk di atas sofa yang berhadapan dengan Zam.

"Lima belas minit. Apa hal kau nak jumpa aku? Aku tak boleh lama ni.
Kejap lagi nak kena pergi hospital," balas Zam sambil berpeluk tubuh.
Langsung tak dipandang wajahku.

Dingin. Terlalu dingin. Itu yang aku rasakan. Seolah-olah lelaki yang di
depan aku ini bukanlah sahabat lama aku.

"Zam, kau marahkan aku lagi?"

"Siapalah aku ni nak marahkan kau Dam? Siapa aku ni?"

Telefon di tangan dimasukkan ke dalam poket.

"Aku ni bukannya sesiapa dalam hidup kau Adam. Apa hak aku nak marahkan
kau? Kan?"tambahnya lagi.

Aku menghela nafas perlahan. Terguris benar perasaan sahabatku ini.
Silap aku juga. Pergi tanpa meninggalkan sebarang pesanan. Tapi apa yang
aku buat itu untuk kebaikan mereka.

"Pagi tu, aku ke rumah kau dengan Bidin. Masa kami sampai, pagar rumah
kau berkunci rapat. Berkali-kali Bidin panggil nama kau. Tapi tak ada
yang jawab. Nak taknak, kami pecahkan pintu rumah kau. Kami takut kalau
sesuatu berlaku kat kau. Bidin terus lari ke bilik kau. Tapi kau tak
ada. Pakaian kau pun tak ada. Tahulah kami masa tu kau dah tinggalkan kami."

Aku menekur lantai. Rasa bersalah bertalu-talu menjentik tangkai hati.
Pedih.

"Aku minta maaf Zam. Aku taknak korang sedih tengok aku tinggalkan
korang. Aku takut aku tak boleh pergi."

Zam mengeleng berkali-kali. Bibirnya tersenyum sinis. Seolah-olah apa
yang aku kata itu satu jenaka padanya.

"Kau sayang kitorang? Sayang persahabatan kita?"

"Gila ke tak sayang? Korang yang ada bila aku jatuh. Aku sayang korang!"

"Bohong!"

Aku terdiam ditengking Zam.

Dia menyeluk saku seluarnya lalu ditarik keluar telefon pintarnya tadi.
Jarinya dilarik-larikkan di atas skrin. Lalu telefon itu dihulurkan
kepadaku.

"Tu Bidin. Tu Bob."

Aku menatap gambar mereka bertiga dengan mata yang berkaca-kaca. Jari
telunjukku dilari-larikan di atas skrin telefon seolah-olah aku
menyentuh wajah mereka.

"Aku nak jumpa dorang Zam. Boleh kau bawa aku ke sana?"pintaku perlahan.
Telefon aku hulurkan kembali kepadanya.

"Minggu depan aku ambil cuti. Kita balik KL. Tapi, aku tak tahu macam
mana penerimaan dorang pada kau nanti. Semalam aku bagitahu aku dah
jumpa kau. Reaksi dorang biasa-biasa je."

Aku hanya diam mendengarkan kata-kata Zam. Aku tak harap pun dorang nak
raikan aku nanti. Cukuplah kalau aku dapat tengok muka dorang. Kalau itu
yang kesekian kali pun tak apa. Setidak-tidaknya terubat kerinduan aku
pada mereka.

"Aku gerak dulu. Assalamualaikum."

Zam terus beredar dari situ. Aku cuba mengejarnya tapi tak kesampaian.
Dia hilang dalam kelompok manusia yang berjalan-jalan di dalam bangunan
itu.

Minggu depan. Aku ada lebih kurang 4 hari lagi. Bolehlah nak siapkan apa
yang patut. Moga perjalanan aku nanti selamat hendaknya.

* * * * *

Rumah Mak Cik Maryam sunyi sepi. Salam yang aku beri langsung tak
berjawab. Aku berlalu ke bahagian dapur. Mengintai melalui tingkap dapur
tapi ternyata memang penghuninya keluar. Lalu aku ambil keputusan untuk
menunggu mereka di atas pangkin.

Daripada bersandar hingga akhirnya tak sedar yang aku terlelap. Mujur
Mak Cik Maryam pulang sebelum menjelang Maghrib. Kalau tak tidurlah aku
kat situ ditemani setan.

"Pergi masuk cuci muka apa patut. Dah nak azan. Apa hal kamu tidur kat
sini Adam oi? Tak reti nak telefon Sofia Khadijah ke?"bebel Mak Cik
Maryam disusuli cubitan berbisa di lenganku.

"Adoi! Sakitlah mak cik! Saya ingat kejap je. Tak sedar tertidur. Yang
mak cik merayap pergi mana je lah? Jumpa marka lah tu!?"giatku pula.

"Banyaklah! Pergi masuk! Dah nak maghrib ni. Kita solat sama-sama lepas
tu makan dulu baru kamu balik."

Aku yang sudah beredar dari pangkin itu berhenti melangkah.

"Mak cim jadi imam ke?"

"Bertuah punya budak! Kamulah!"

"Hahaha! Alah. Gurau pun tak boleh. Garang macam singa. Macam mana Pak
Cik Halim nak sayang."

"Anak bertuah!"

Melihat Mak Cik Maryam yang sudah siap sedia dengan cubitab berbisanya
itu membuatkan aku segera berlari meninggalkannya. Sebaik sahaja sampai
di depan pintu dapur, Sofia sedang menghidangkan makan malam.

"Hah, abang ni kenapa?"soalnya melihat aku yang tercungap-cungap di
depan muka pintu.

"Kena kejar singa,"jawabku sambil berjalan ke arah bilik air. Sebelum
pintu bilik air aku rapatkan, terdengar suara nyaring Mak Cik Maryam
yang baru sampai di depan pintu dapur.

"Ambil wudhuk je. Jangan kau main air pulak. Dah azan dah ni."

Aku tersenyum sendiri.

* * * * *

Usai menunaikan maghrib, kami bertiga beredar turun ke dapur. Sofia
menyendukkan nasi masuk ke dalam pinggan lalu dihulurkan kepadaku.
Seterusnya untuk ibunya dan barulah dirinya. Aku membaca doa makan lalu
diaminkan oleh mereka.

"Kenapa kamu tunggu mak cik tadi?"

"Saya nak ke KL minggu depan mak cik. Dengan Zam."

"Zam mana?"

"Doktor yang rawat makcik hari tu."

"Oh, yang hensem tu eh bang?"celah Sofia tiba-tiba.

"Haah. Saya nak jumpa kawan-kawan lama saya dan ziarah kubur mak. Mak
cik tolong tengokkan rumah saya ya? Nanti saya tinggalkan kunci pada mak
cik."

"Lama ke pergi?"

"Seminggu kot. Paling cepat tiga atau empat hari."

Mak Cik Maryam mengangguk beberapa kali. Selesai menjamu selera aku
meminta diri untuk pulang. Mak Cik Maryam menghantar aku hingga ke kereta.

"Pergi tu elok-elok Adam. Jangan tak balik sini pula,"pesan Mak Cik Maryam.

Tangan tuanya segera aku rai lalu aku cium perlahan. Terasa belakang
kepalaku digosok perlahan-lahan.

"Saya balik mak cik. Kat sana tak ada apa dah. Kenangan je yang tinggal.
Kat sini..."

"Ada masa depan kamu?"potong Mak Cik Maryam membuatkan aku terdiam.

"InsyaAllah. Doakanlah mak cik. Saya balik dulu."

Kereta aku pandu keluar dari laman rumah Mak Cik Maryam menuju balik ke
rumahku. Sepanjang perjalanan itu ku teringat kata-kata Mak Cik Maryam tadi.

"Di sana kenangan je Adam. Tapi di sini ada harapan. Harapan yang dah
lama didiamkan dalam hati dia. Anak jantan kena berani Adam. Kamu tu,
bukan mak cik tak kenal. Dalam hati kamu tu, mak cik boleh teka isinya."

Harapan.

Dah terlalu banyak harapan aku tanam sampaikan aku takut untuk mengharap
lagi. Tapi siapa tahu mungkin harapan sekali ini dimakbulkan Tuhan.

Itu semua misteri Illahi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience