BAB 12

Mystery & Detective Completed 7066

"Bang, pisang goreng dua ringgit lepas tu air kelapa dua."

"Siap!"

Beberapa keping pisang goreng aku kepit lalu dimasukkan ke dalam
plastik. 2 peket kecil sos cili aku masukkab sekali. Selepas itu,
penutup tong air jernih berisi air kelapa aku buka. Dengan menggunakan
penyenduk, air di dalam tong itu aku kocak. Dua gelas plastik kosong aku
susun atas meja. Setiap satunya, aku letakkan dua sudu air gula. Tak
perlu manis sangat. Yang jual ni dah cukup manis. Aku campurkan dengan
air kelapa. Penutup gelas aku pasangkan.

"Nah dik. RM4.60 sahaja."

Aku hulurkan plastik yang sarat dengan pisang goreng dan air kepala.
Duit bertukar tangan. Aku memulangkan baki enam puluh sen kepadanya.

"Terima kasih abang."

"Balik elok-elok."

Aku duduk di atas kerusi plastik. Melepaskan lelah. Alhamdulillah hari
ini perniagaan aku tak ada masalah. Cuaca pun cerah. Kalau hujan, hati
aku memang risau sebab aku tahu hari itu collection aku tak banyak.

Namun inikan rezeki Tuhan beri. Aku tak kisah sangat pun.

Jam di tangan dah menunjukkan pukul 6.15 pm. Jualan untuk hari ini dah
habis. Aku cepat-cepat mengemas. Hari ini Khamis malam Jumaat. Selalunya
surau di kampung aku ini ada membuat bacaan Yassin dan sedikit tazkirah
sebagai peringatan kepada mereka yang masih hidup.

Selesai berkemas, aku terus pulang ke rumah. Memandangkan jualan untuk
hari esok masih ada, tak perlu lagi aku beli.

Pukul 7.20 pm sebaik sahaja azan selesai dilaungkan, aku tiba di masjid.
Sempat juga. Dengan lafaz bismillah, aku menyertai mereka yang sudah
berada di saf.

* * * * * *

"*A*dam nak balik dah?"

Aku yang baru hendak menyarung selipar segera berpaling ke belakang. Pak
Cik Halim, ketua kampung ini menegurku.

"Haah pak cik. Macam penat sikit hari ini. Pak cik nak tumpang ke?
Marilah saya hantarkan," pelawaku.

"Hah, bolehlah. Aku pun entah kenapa hari ini rasa nak bersembang dengan
kamu."

Dia menyarung seliparnya selepas itu kami berdua melangkah ke arah
keretaku diletakkan.

"Kamu taknak kahwin ke Adam?"tanya Pak Cik Halim sebaik saja kereta aku
pandu keluar dari kawasan surau.

"Kahwin?"

Tiba-tiba Pak Cik Halim ketawa. Bersungguh-sungguh.

"Laaa, kenapa pak cik ketawa?"

"Muka kamu tu. Pelik sangat ke soalan pak cik ni?"

"Mau tak pelik. Tiba-tiba pakcik tanya. Ada apa-apa ke ni pak cik?"

"Kalau pak cik nak kahwinkan kamu dengan anak pakcik kamu nak tak?"

"Kahwin?!"

Tanpa sedar aku terjerit kecil. Mujur tak keluar suara kepit. Dah kenapa
dia nak kahwinkan aku dengan anak dia? Bukan budak tu sekolah lagi ke?
Betul ke tak dia ni?

"Mastura tu sekolah lagi pak cik. Takkan dah nak dikahwinkan dengan saya
kot."

Sekali lagi Pak Cik Halim tergelak besar. Geram juga aku macam ni.

"Bukan dia. Budak tu masak pun tak pandai lagi. Ni anak pak cik,
Mariana. Kamu kenal tak?"

Aku cuba mengerah sel-sel dalam otak aku ni berhububung. Aku pernah
dengar nama Mariana ni tapi lama dulu. Masa aku baru menetap di sini
dulu. Lepas tu, dia hilang. Kata Sofia, dah berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Pernahlah dengar nama dia dulu."

"Kamu nak tak? Aku tak taulah kenapa aku berkenan sangat dengan kamu
ini. Aku harap, kamu sudi jadi menantu aku."

Aku berhentikan kereta di simpang jalan. Rumah Pak Cik Halim hanya
beberapa langkah dari sini.

"Saya tak boleh bagi keputusan lagi pak cik. Lagipun, dalam hati saya ni
dah ada yang mengisinya,"aku cuba memberikan jawapan yang terbaik.
Bimbang juga kalau-kalau jawapan aku mengecilkan hati Pak Cik Halim.

"Oh. Siapa budaknya?"

Aku hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum.

"Nak rahsia?"

"Bukan. Saya je suka dia dalam diam. Dia tak tau pun. Lagipun, perempuan
mana yang sudi bersuamikan saya ni pak cik. Pendidikan tak ada. Kerjaya
apatah lagi. Saya ni jual pisang goreng je pak cik. Untung badan ni
kalau ada yang mahu."

Pak Cik Halim menggeleng perlahan.

"Jangan macam tu Adam. Kalaupun satu dunia keji kamu, akan ada satu
manusia yang sayang dan menyanjung kamu. Mata dan mulut orang kita tak
boleh nak tutup. Biarkanlah mereka nak kata apa. Hanya Allah dan diri
kamu sendiri yang tahu apa yang ada dalam hati kamu tu."

"Tak apa pak cik. Saya dah lali. Dulu, berbulu juga telinga ni dengar
cakap orang ni. Tapi lama-lama, saya terima je. Hakikat mana boleh diubah."

"Jangan putus asa dengan Tuhan. Dia dengar doa kita. Lambat atau cepat
dijawab, setidak-tidaknya kita tak pernah dihampakan,"kata Pak Cik Halim
sambil menepuk bahuku berkali-kali.

Tangan aku hulurkan untuk bersalam. Selepas itu Pak Cik Halim turun dari
kereta dan berjalan pulang ke rumah.

Aku meneruskan perjalanan balik. Sampai saja di rumah dan setelah
memastikan pintu dan tingkap berkunci, aku ke dapur membancuh secawan
kopi. Tin biskut aku capai lalu aku terus menuju ke ruang tamu.
Televisyen aku hidupkan. Entah cerita apa yang ditayangkan, aku tak
ambil peduli.

Sambil menikmati makan malamku itu, aku teringatkan mak.

Dulu, mak selalu bancuhkan aku kopi kalau hari dia cuti. Kopi yang mak
buat, kopi yang paling sedap. Kopi campur gula. Sukatannya tak pernah
lari. Lagipun, air tangan mak. Mana pernah tak sedap.

"Kalaulah mak ada sekarang, mesti kita tengah minum kopi sama-sama. Mak
okay tak kat sana? Rindu betul aku dengan mak."

Air kopi aku hirup perlahan. Kopi 3 in 1, mana sama dengan kopi bancuhan
mak.

Dalam hidup kita, kenangan adalah hal yang selalu mengejar. Tak pernah
lelah. Sementara kita pula pengejar masa depan. Mahunya yang serba serbi
elok sempurna.

Tapi sering kita lupa bahawa masa sekarang ini kunci masa depan kita.

Aku membawa tin biskut dan cawan ke dapur. Selepas mematikan suis lampu
dan televisyen, aku menuju ke bilik.

Badan benar-benar letih. Dan saat aku ingin melelapkan mata, telefon
bimbitku berbunyi nyaring. Tertera nama Sofia di skrin.

"Hello! Abang, tolong Fia! Mak Fia bang!"

Mendengar suara Sofia yang cemas membuatkan jantung aku bagai dipalu.

"Sofia, kenapa ni? Kenapa kalut sangat ni?"

"Mak tiba-tiba pengsan kat dapur. Abang tolong bawa mak pergi hospital.
Fia tak tahu nak minta bantuan siapa dah ni!"

"Jaga mak. Kejap lagi abang sampai."

Talian aku matikan. Aku terus menukar pakaian. Baju Melayu dan kain
pelikat digantikan dengan jeans dan t-shirt. Kunci kereta aku capai.

Sepanjang perjalanan tak henti-henti aku mendoakan keselamatan Mak Cik
Maryam.

Tunggu abang Sofia. Tunggu abang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience