BAB 9

Mystery & Detective Completed 7066

Ani membukakan matanya. Dia tersenyum. Hari ini dia terasa seolah
dilahirkan semula. Semangatnya berkobar-kobar. Perkara pertama yang
terlintas di kepalanya, dia ingin memasak makanan kegemaran Adam. Ani
berjalan menuju ke bilik air. Selesai mandi dia bersiap ala kadar. Beg
duitnya yang diletakkan di atas meja solek dicapai.

Jarak antara kedai runcit dengan rumahnya cuma 15 minit berjalan kaki.
Pagi-pagi begini belum ramai suri rumah yang keluar berbelanja. Kedai
runcit masih lagi lengang.

Ani mengambil bakul yang diletakkan di tepi meja untuk mengisi
barang-barang yang hendak dibelinya.
Cili kering, udang, bawang, tempe dan beberapa bahan yang lain
dimasukkan ke dalam bakul. Setelah itu dia berjalan ke kaunter. Laila,
tuan kedai menyambut bakul yang dihulurkan.

"Kira semua Laila. Lepas tu, akak nak ayam seekor."

"Amboi kak. Banyak belanja. Ada apa-apa ke?"

"Taklah. Saja je. Nak masak sambal udang kegemaran Adam tu."

Laila mengangguk perlahan sambil tangannya lincah menimbang dan
memasukkan barang-barang ke dalam beg plastik.

"Akak tak kerja ke?"tanya Laila. Sejak tadi lagi dia tertanya-tanya
sebab Ani tidak pernah datang ke kedainya waktu begini. Langsung tidak
pernah. Selalunya dia akan datang waktu hari sudah mula menganjak
petang. Malas mahu berselisih dengan jiran tetangga katanya.

"Akak dah berhenti kerja Laila."

"Akak dah dapat kerja lain ke?"

Ani menggelengkan kepalanya.

"Dah tu, akak nak buat apa lepas ni?"

"Meniaga kot. Tengoklah. Tapi sementara waktu ni akak nak duduk rumah
dulu. Dari akak mula datang KL ni, tak pernah rasanya akak ni berehat."

Laila tersenyum. Dalam hatinya, dia tidak pernah memandang serong pada
Ani. Mungkin ada sebabbya sendiri. Dan menghakimi hidup orang lain
bukanlah pekerjaannya.

Manusia ada lebih dan kurangnya. Ada hebat dan lemahnya. Kita ini siapa
mahu menilai seseorang itu. Nanti yang carik di kain orang kita nampak,
rabak di kain kita, kita tak tahu.

"Semua sekali RM35 kak."

Ani menghulurkan wang dan beg plastik bertukar tangan.

"Akak balik dulu ya. Assalamualaikum."

* * * * *

Adam membuka kasut sekolahnya lalu diletakkan di atas rak. Sebaik sahaja
pintu rumah dia buka, bau sambal udang menerpa ke hidungnya. Beg sekolah
terus dicampak ke atas kerusi. Kemudian dia terus meluru ke dapur. Dan
melihat maknya yang berapron sedang memasak, membuatkan Adam berhenti di
pintu dapur.

"Mak!"jerit Adam. Dia tak tahu pun yang maknya cuti hari ini. Dan
keadaan ini di luar kebiasaan.

Seingatnya, mak jarang masak. Kali terakhir mak masak pun dia tak ingat.

"Mak, cuti ke? Mak masak apa ni? Sampai depan bau,"tegur Adam.

Ani sedang menghidangkan makanan di atas meja. Nasi putih, sambal udang
dan ayam goreng. Satu jug berisi air sirap limau turut diletakkan di
atas meja.

"Mak dah berhenti. Meh makan. Mak masak lauk kegemaran kau ni,"Ani
mempelawa Adam duduk. Ani menyenduk nasi ke dalam meka lalu diletakkan
di depan Adam. Meja makan yang muat untuk empat orang kelihatan sarat
dengan lauk-pauk.

"Lama aku tak makan mak masak."

Empat ekor udang disenduk masuk ke dalam pinggan. Seketul ayam dicapai
lalu terus dibawa ke mulut.

"Makanlah."

Hari itu Adam rasa sangat gembira. Pertama kerana maknya sudah
meninggalkan pekerjaannya itu. Dan apapun yang ingin maknya lakukan
selepas ini, dia pasti akan memberikan sokongan penuh. Kedua kerana
maknya yang sudah lama tidak menyentuh periuk belanga, menyediakan menu
kegemarannya untuk makan tengah hari. Dan yang ketiga, sudah lama mereka
tidak makan semeja. Perasaanya kala ini, terlalu bahagia. Terlalu rindu.

"Kalau hari-hari macam ni mak, kenyang aku,"kata Adam sambil menyuap
masuk seekor udang ke dalam mulut.

"Lepas ni, hari-hari aku akan masak lunch untuk kau. Tapi kau kenalah
janji dengan aku. Belajar rajin-rajin. Jangan jadi...jadi macam aku ni."

Ani cepat-cepat meneguk airnya. Entah kenapa tiba-tiba dadanya terasa
pedih. Sebak memikirkan apa yang dia pernah lalui untuk dia meneruskan
hidup, membesarkan Adam.

"Mak, aku janji. Aku akan belajar rajin-rajin. Aku akan buat kau bangga
dengan aku. Aku janji mak!"

Ani mengukir senyuman.

Mak tahu mak bukanlah mak yang baik tapi mak dah lakukan yang terbaik
untuk kau. Kata-kata ini bagaikan tersekat dikerongkongnya. Tak terluah.
Dalam hati mereka, masing-masing mengharapkan yang esok itu masih ada
lagi bunga harapan yang mampu mereka karang. Terlalu tinggi mereka
berkehendak dan moga Tuhan mendengar tiap doa dan memakbulkan impian mereka.

Di setiap kelukaan yang mereka lalui, mereka tahu, Dia tahu. Dan moga
dia mampu memberi penawar buat mereka agar mereka mampu mengukir senyum
bahagia.

"Mak, aku sayang kau. Aku sayang kau sangat-sangat,"kata Adam sambil
merenung wajah wanita yang telah bersusah payah melahirkannya kedunia itu.

"Mak tau. Mak pun sayangkan kau Adam."

Senyum diwajah Ani membawa ketenangan dalam hati Adam. Senyum bahagia
yang terakhir kali mampu dia rakamkan dalam kotak kenangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience