BAB 6

Romance Series 22806

“Kau rasa dia ke calon isteri yang nenda carikan?”

Kamal yang sedang meneliti dokumen mengangkat muka. Tapi bukan melihat majikannya. Matanya terarah pada Anita.

“Tak mustahil...” Kamal seakan memikirkan sesuatu. “Tapi takkanlah dia.”

Tengku Mikhael sandarkan tubuhnya ke kerusi. Memang dia mahu menerima hakikat yang Nayla bukan jodohnya. Tapi kenapa dia rasa nenda bagai mahu membuatkan dia rapat dengan gadis itu. Sanggup nenda telefon penyambut tetamu kerana mahu dia turun menemui Nayla. Sedangkan laksa itu boleh sahaja ditinggalkan.

“Nenda bagi tau dia aku tak suka makan kat bekas plastik. Sedangkan aku tak macam tu. Nenda suruh dia hantar laksa pakai mangkuk tingkat. Aku pulak dengan naifnya ajak dia naik atas sebab nak pulangkan balik mangkuk tu. Padahal nenda dah bayar.” Serabut. Kenapa dia rasa kemunculan Nayla ada kaitan dengan perjodohan paksa yang nenda sebutkan.

“Kenapa nenda pilih dia. Dia bukannya ada apa-apa?” Tengku Mikhael masih tidak puas hati.

“Apa kata kau mintak nak jumpa dengan perempuan yang kononnya nak dijodohkan dengan kau. Cakaplah kau akan pertimbangkan cadangan nenda. Dan kalau betul minah laksa tu bukan calon jodoh kau, tentulah nenda akan tunjuk calon yang sebenar. Tapi mungkin jugak dia memang calon jodoh kau.” Kamal juga serabut. Memang patut mereka curiga kata-kata nenda. Walaupun berstatus jutawan, Tengku Mikhael bukanlah seorang yang cerewet. Selamba sahaja lepak di kedai mamak dan warung tepi jalan.

“Tapi kenapa dia?” Serabut. Membayangkan minah laksa itu jodohnya, memang ngeri. Nayla hanya perempuan biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang istimewa pada gadis itu. Matanya terbayangkan muka pucat gadis itu di dalam lif tadi. Cantik! Tapi kenapa tiba-tiba dia puju minah laksa itu. Memang sah dia gila.

“Mungkin Tengku Fatimah mahu perempuan biasa untuk jadi calon cucu menantu. Perempuan yang pastinya akan ada kat rumah untuk sambut Tengku bila Tengku balik. Perempuan yang akan dahulukan keperluan suami dia sebelum keperluan diri dia.” Anita mencelah. Sebenarnya dia turut aneh dengan kemunculan Nayla. Tengku Mikhael tidak pernah membawa mana-mana gadis naik ke pejabat.

“Zaman dah berubah. Perempuan sekarang kena pandai berdikari walaupun dah kahwin. Tak perlu terperuk kat rumah 24 jam walaupun dah jadi isteri.” Langsung tidak bersetuju dengan pendapat Anita. Baginya di zaman moden ni seorang isteri harus di beri kebebasan untuk berkarier.

“Memang betul Tengku, tapi mungkin nenda tak mahu suami kat hulu isteri kat hilir. Atau isteri tinggal suami dua tiga bulan demi kerja. Atau bertahun... macam... Macam Lisa. Dah 2 tahun dia kat sana.”

Tengku Mikhael tegakkan tubuh. Kita sambung kerja. Sengaja melarikan diri bila nama Lisa disebut. “Kita kat mana tadi?”
Dia cuba mendengar apa yang Anita sebutkan tapi kenapa kepalanya asyik memikirkan tentang kemunculan Nayla. Ada sesuatu yang membuat dia curiga. Hatinya masih tertanya-tanya adakah Nayla orangnya calon jodoh yang nenda carikan. Tapi kata Nayla, gadis itu sudah ada calon suami.

Baru dia teringat tentang Cha Eun Woo, lelaki yang dikatakan seribu kali lebih kacak dari dia. Tiba-tiba dia teringin hendak tahu muka lelaki yang seribu kali lebih kacak dari dia itu.

“Siapa Cha Eun Woo. Hebat sangat ke bakal suami budak tomboi tu. Macam mana dia boleh kawan dengan lelaki Cina.” Tengku Mikhael bergumam.

“Tengku.”

Tengku Mikhael kembali ke alam nyata. Kenapa dia asyik teringatkan Nayla. Pura-pura tiada apa-apa yang berlaku dan berdeham. “Kita kat mana tadi?”

“Kenapa Tengku tiba-tiba sebut Cha Eun Woo? Tengku dah jadi peminat dia ke?” Anita bertanya. Tidak pernah dia lihat majikannya khayal begitu. Tapi seriau pula bila lelaki menjadi fanboy. Lagi-lagi lelaki macho macam majikannya.

“Minat?”

“Cha Eun Woo tu kpop idol. Ahli kumpulan Astro. Sekarang tengah top dengan watak dia Lee Su Ho dalam True Beuty.”
Berkerut dahi Mikhael mendengar apa yang Anita ucapkan. Cha Eun Woo yang konon-kononnya bakal suami Nayla sebenarnya pelakon. Terus meletus ketawa dia. “Dia kacak sangat ke?”

“Ini Cha Eun Woo.” Anita membuka aplikasi YouTube di dalam tabnya. Menunjukkan kumpulan Astro sedang beraksi di atas pentas.

Sekali lagi Tengku Mikhael ketawa. Mati-mati dia ingat lelaki cina itu bakal suami Nayla. Tapi kenapa dia mesti ambik tau tentang gadis tomboy itu?

“Kenapa kau gelak?” tanya Kamal. Rasanya tidak pernah dia lihat Mikahel hilang tumpuan Ketika bekerja.

“Minah laksa tu boleh mengaku lelaki bakal suami dia. Mati-mati aku percaya. Rupanya dia tipu aku.” Ketawa lagi. Memang kelakar gadis bernama Nayla ini. Suka-sukanya mengaku seorang artis luar negara sebagai bakal suami. “Dahlah gengster. Penipu pulak tu.”
“Apa masalahnya kalau dia menipu. Kau nampak rasa lega dia tipu kau.” Kamal perasan sesuatu sebenarnya. Mungkin Anita tak nampak. “Kau suka dia ke?”

“Eh. Taklah.” Cepat-cepat menafi. Tak mungkin dia sukakan minah laksa itu.

“Alhamdulillah. Habis laksa aku hari ni.” Nayla menyusun kerusi di satu sudut. Selesai menyusun kerusi dia melipat meja pula. Besok Jumaat. Setiap hari Jumaat memang gerainya akan ditutup. Seminggu sekali dia perlu berehat.

“Kak Nay, Siti balik dulu ya.”

“Baik Siti. Hati-hati jalan.” Nayla lambai Siti Fairuz yang sedang berjalan. Sebuah motosikal sedang menunggu di bawah pokok. Pasti itu abang Siti. Gadis itu adalah pekerjanya.

Selesai semuanya, dia kembali ke meja juruwang. Matanya melihat gerai masakan tomyam di sebelah. Sedang berkemas seperti dia. maklumlah sudah melepasi tengah malam. Hari ini dia tutup lambat kerana ada pasar malam di tempat letak kereta berhampiran. Ramai pelanggan yang akan mencari laksanya.

Dia menyeluk beg selempangnya dan mengeluarkan seikat duit. Dia kira duit itu sekali lagi. Mujurlah dia dapat sediakan duit yang cukup. Terima kasih kepada Tengku Fatimah yang memperkenalkannya laksanya kepada ramai orang. Kebanyakannya kawan-kawan Tengku Fatimah dari kalangan kenamaan. Banyak dia menerima tempahan untuk majlis makan-makan. Serta pakej VVIP seperti yang dia hantar kepada Tengku Mikhael Tengah hari tadi.

Terbit keluhan. Kalaulah betul dia jodoh Tengku Mikhael, dia tidak perlu bekerja susah payah seperti sekarang. Hidupnya akan dilimpahi kemewahan. Tiada hutang yang perlu dibayar dan tidak perlu risau akan putus wang. Tapi dia bukanlah orangnya. Nampak sangat lelaki itu bencikan dia.

Malah boleh dikatakan tiada sesiapa akan sukakan dia. Sudahlah tiada harta, rupa pun tiada. Beban hutang banyak. Lelaki biasa pun akan mengelak untuk memperisterikannya. Telefon bimbit dikeluarkan dari kocek. Terukir senyum di bibir sebaik terlihat gambar penghias telefon bimbitnya.

“Oppa. Saranghaeyo.” Biarlah dia bahagia ‘mencintai’ orang yang tidak pernah tahu kewujudannya. Sekurang-kurangnya dia tahu mereka tidak mungkin akan pernah bersama. Hatinya tidak akan sakit kerana cinta tidak berbalas.

“Hello cik adik manis.”

Nayla cepat-cepat simpan telefonnya. Dia bangun dan terus hulurkan seikat duit tadi. Tidak mahu menimbulkan masalah. Jiran sebelah gerainya sudah kenal sangat dua orang lelaki cina itu.

“Bagus kau ni.”

“Bila hutang ni boleh habis?” Rasanya sudah bertahun-tahun dia membayar hutang arwah ayahnya. Tetapi tidak pernah ada tanda-tanda menyusut. Setiap kali ditanya, jawapannya bunga tak habis bayar lagi.

“Bunga tak habis bayar lagi cik adik manis.”

Sebagaimana yang dia jangka. Jawapan itu lagi. Mungkin dia ditipu. Tapi memang betul arwah ayahnya meminjam dalam jumlah yang banyak. “Aku dah bayar. Blah!”

“Minggu depan ya cik adik manis.” Lelaki itu tersengih sambil mencium duit sebelum beredar dari situ.

Ini semua gara-gara anak tiri ayahnya. Mahukan majlis perkahwinan di hotel. Mungkin dulu semasa ayahnya hidup, tiada masalah membayar hutang kerana gaji ayahnya sebagai pekerja kerajaan agak besar. Setelah kematian ayahnya, barulah semua masalah timbul.

Segala harta ayah, emak tirinya ambil. Hutang, ditumpukkan ke atas pundaknya. Kerana ancaman ah long dia terpaksa berhenti belajar dan membuka gerai menjual laksa. Mujur juga dia masih menyimpan resipi laksa arwah neneknya. Dapatlah dia membayar hutang arwah ayahnya.

“Nay... tak balik lagi.”

Geleng. Memang dia tidak akan balik. Dia akan tidur di sini. Selepas subuh nanti dia perlu menyiapkan tempahan Irfan. Tidak kisahlah hari cutinya lebur. Rezeki jangan ditolak.
.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience